Skip to main content

Jacinda Si Perempuan Agnostik



Oleh: Benz Ali

Jacinda Ardern adalah seorang perempuan agnostik. Pada mulanya dia dibesarkan sebagai seorang Mormon (satu aliran dalam Kristian). Kemudian dia meninggalkan gereja pada tahun 2005 kerana dia mengatakan, ia (fahaman gereja itu) bertentangan dengan pandangan peribadinya. Secara lebih khusus, kerana Jacinda menyokong hak-hak kaum gay. Pada Januari 2017, dia mengatakan dirinya sebagai seorang agnostik.

Bagaimanapun, itu tidaklah menghalang Perdana Menteri New Zealand itu, yang pernah menganggap dirinya sebagai seorang sosial demokrat, progresif, republikan dan feminis, bahkan Perdana Menteri New Zealand yang pertama berarak di perbarisan gay, untuk memakai tudung (lebih tepat, scarf) sebagai menghormati mangsa serangan genosid di Christchurch. Di sini isunya ialah bukan kau percaya apa, tetapi kau berbuat apa?

Bahkan kumpulan gang motor yang menakutkan, Mongrel Mob juga turut mengucapkan takziah, simpati dan solidariti terhadap apa yang berlaku, meskipun berlainan bangsa dan agama.

Hal-hal ini sangatlah menakjubkan lagi mencengangkan. Ia bisa sahaja membuatkan kita jadi kehairan-hairanan. Ia seharusnya membuatkan kita terpana dan berfikir sejenak. Semestinya membuatkan fikiran Islamis-konservatif dan Liberal-feminis berkocak semesta fikiran mereka. Mereka seharusnya membuka seluas-luasnya kotak fikiran mereka tentang apa yang sedang berlaku di New Zealand. Dan ini bukanlah isu yang pertama. Telah banyak berlaku kejadian bukan Islam di Barat (termasuk New Zealand, Australia dll) yang bermatian membela kehormatan orang Islam, walaupun mereka berbeza agama, kepercayaan-ketidakpercayaan, ideologi politik, ekonomi, bahkan seksualiti! Ini yang membezakan antara kita dan mereka. Sementara kita di sini (yang sentiasa merujuk Barat dan sangat cherry picking) masih bertekak tak sudah isu tudung tak tudung, Rachel Corrie seorang aktivis wanita (juga tidak bertudung) telah menyarung kesyahidan yang sangat luarbiasa dengan bertembung dan dilenyek bulldozer IDF (Israel Defense Forces).  



Kita tidak tahu apakah kepercayaan beliau. Agnostikkah beliau? Atheistkah beliau? Deistkah beliau? Animiskah beliau? Jewishkah beliau? Lesbiankah beliau? Kita tidak tahu. Ya, kita tahu dia tidak bertudung. Tetapi apakah itu begitu penting berbanding pembelaan dan keberpihakan beliau yang jitu lagi bulat terhadap penentangan rakyat Palestin mempertahankan tanahair mereka?

Rachel Corrie, Jacinda Ardern dan banyak lagi nama perempuan mat saleh di luar sana lebih cermat dan hemat dalam memilih apa yang hendak diperjuangkan. Jika ada yang mengatakan "..konteks sosial di barat sangat berbeza dengan konteks sosial di sini. Tidak boleh disamakan...," maka bukankah hipokrasi maha besar apabila apa sahaja yang dibuat di Barat mahu diikuti secara membuta tuli di sini, tanpa memikirkan apa konteks dan situasinya?



Tanpa perlu pergi menyelak kain, paha atau tudung, atau mengusung sepanduk yang tidak senonoh untuk menimbulkan kontroversi yang tak sudah-sudah, atau terbang berjihad ke Palestin, kita boleh sahaja mencari perjuangan di bumi sendiri yang lebih real. Sehingga sekarang pekerjaan pembantu rumah masih belum diharamkan, sedangkan hak-hak (ASASI) mereka sebagai seorang pekerja dinafikan, seperti gaji minima, jam kerja, waktu cuti, rumah sewa yang lain (luar) dari majikan dan banyak lagi. Kerana itu seorang perempuan Indonesia, Suyanti Sutrinso diperlakukan lebih teruk dari binatang oleh tuannya bernama “Datin” Rozita Mohamad Ali, tanpa apa-apa pembelaan serius yang wajar (atau berdegar-degar) sepertimana mereka (yang sama) menjerit sampai pecah anak tekak tentang apa benda yang tidak jelas.

Kita boleh sahaja mengatakan, setuju atau tidak bersetuju bahawa pandangan (lebih tepat, tindakan) Jacinda itu adalah populis kerana beliau seorang politikus (PM). Tetapi bukankah itu lebih meraikan suasana kesedihan dan perkabungan di kalangan kaum Muslim yang terbunuh anggota keluarga mereka? Atau sepatutnya dia harus berbogel sahaja di masjid tanpa perlu memikirkan apa sensitiviti masyarakat? Mana tindakan yang lebih benar?

Bukanlah kita tidak boleh berbahas tentang keimanan-ketidakimanan. Jikalau perbahasan akademik, ilmiah, buku vs buku, tulisan vs tulisan, atau pada masa yang sesuai, apa masalahnya? Berbahaslah. Tidaklah kita pergi sekolot itu, untuk diam dan tidak perlukan perbahasan. Akan tetapi apabila ada kematian, dibunuh secara kejam pula, takkanlah kita yang mendabik dada mengaku sebagai manusia paling rasional di muka bumi, tidak boleh mengendurkan sedikit ego, untuk mengucapkan takziah, dan berasa kasihan terhadap mangsa dan keluarga mangsa?

Sekali lagi diulang, isunya ialah bukan kau percaya apa, tetapi kau berbuat apa?

Perhatikan kata-kata Jacinda, Si Perempuan Agnostik,

But I have a real respect for people who have religion as a foundation in their lives. And I respect people who don't. I'm agnostic. I don't spend a lot of time trying to figure it out. I just think people should be free to have their personal beliefs and not be persecuted for it, whether they be atheist or staunch church members.

Comments

  1. bukan salah agama..
    tetapi salah kita yang memberikan tafsiran dan interpretasi yang salah terhadap agama..
    lalu membuatkan manusia takut, benci dan memilih cara hidup untuk tidak beragama..

    dakwah kita gagal menemukan manusia dengan Tuhan..
    malahan "dakwah" kita membuatkan Tuhan dibenci, bukan dicari..

    muhasabah diri..

    😔😔😭😭

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan pe...

Michel Foucault, Khomeini dan Kehilangan Etika Ahmad Faezal, Penulis The Patriots.

  Oleh: Faisal Mokhtar (Buruh Kilang) Sejauh manapun penulis The Patriots itu menghina dan menyebarkan fitnah pun, Khomeni tetap dicatatkan oleh dunia sebagai seorang yang mampu menggerakkan jutaan rakyat Iran ke jalan untuk melakukan revolusi dan menumbangkan monarki berusia 2,500 tahun. Sejauhmana penulis The Patriots menghina Khomeini sekalipun, asas ajaran Khomeini iaitu mengikuti jalannya revolusi al-Hussien (cucu Rasulullah saw) tetap dikenang pada 10 Muharam bahkan bukan berkurang tetapi makin bertambah manusia yang mengenang serta mengikuti dan bahkan rentas mazhab dan agama. Antara penulis The Patriots dengan Michel Foucault cukuplah Michel Foucoult seorang filsuf besar memuji revolusi yang dibawa Khomeini. Foucault (ilmuwan Perancis) yang berada di Iran ketika itu menulis artikel bertajuk ‘Mimpi Apa Yang Dibayangkan Warga Iran’. Beliau menulis, 10 bulan rakyat Iran berhadapan dengan tentera yang memiliki persenjataan paling lengkap. Itupun dengan tangan kosong dan tanpa m...

Agama Sebagai Candu Masyarakat

Oleh: Benz Ali Krisis Covid-19 ini yang dicatat bermula awal tahun 2020 nampaknya sehingga masuk tahun kedua (Jun 2021) belum menunjukkan tanda akan berakhir. Pandemik global ini setakat ini telah membunuh jutaan nyawa umat manusia. Selain varian baru Covid-19 yang makin banyak mulai muncul, Covid-19 memaksa mewujudkan Movement Control Order (MCO) di hampir seluruh pelusuk dunia. MCO atau di Malaysia dikenali dengan nama PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kemudian mewujudkan pula masalah-masalah baru yang lebih besar dan serius. Dilaporkan pada 10 April 2021, 1700 rider P-Hailing (penghantaran barangan dan makanan) telah maut kemalangan sepanjang tempoh PKP tahun 2020. Dikatakan jumlah kematian ini pada tahun lepas lebih banyak berbanding mati akibat Covid-19. PKP ini pada awalnya sedikit sebanyak memberi bantuan kepada orang ramai. Namun selepas peningkatan kes, bersiri-siri PKP kembali diperkenalkan tetapi tanpa apa-apa bantuan. Ada bantuan RM500 tetapi dikerat dua. Rakyat berta...