(sekeping gambar seribu tafsiran)
Ramai di Malaysia yang
salah sangka bahawa Kiri itu juga Liberal, apabila Kiri juga menggugat
Konservatisme. Ini adalah sebuah kefahaman yang agak karut. Selepas kejatuhan
UMNO-Barisan Nasional (yang menaungi faham Konservatisme di Malaysia) para
penyokong Konservatisme ketika bertempur dengan PH yang sangat Neo-Lib(eral),
mula mencari-cari identiti apakah yang mahu ditempekkan kepada PH supaya
masyarakat membenci PH. Maka dicari-carinya asal usul DAP iaitu PAP lebih jauh
sampai ke PKM. Usaha ini tidak lain tidak bukan, selain bertujuan memburukkan
DAP dan merosakkan imej PH ianya membusukkan Kiri sedangkan soalan yang pertama
harus ditanyakan sekarang adalah, adakah DAP masih Kiri/Sosialisme? Ini adalah
soalan yang pertama-tama harus ditanyakan. Apakah dasar atau polisi
Kiri/Sosialisme yang dilakukan oleh DAP? Sememangnya mereka boleh menamakan
sayap pemuda mereka sebagai DAPS(ocialist)Y(outh). Tetapi apakah benar tindak dan
tanduk mereka adalah berasaskan Kiri/Sosialisme? Adakah semata-mata Lim Guan
Eng makan kueytiaw di jalanan, menyebabkan dia masih lagi layak mengatakan
dirinya sebagai seorang sosialis sedangkan tanah-tanah di Pulau Pinang semakin
mahal dan ramai warga tempatan terpaksa berpindah ke Seberang Perai? Adakah ini
polisi Sosialisme?
Jadi hal pendefinisian
adalah sesuatu yang perlu dilakukan bukan sahaja semata-mata retorik politik.
Dan hal pendefinisian ini berkait rapat dengan sejarah masa lalu, tokoh-tokoh
yang terlibat, ideolog, buku bahkan polisi yang dilakukan sebaik sahaja
ideologi itu memerintah.
Sebenarnya
Konservatisme adalah fahaman status quo, yang mewakili makna-makna berunsur keselesaan,
kemapanan, tradisi dll lagi. (maaf tiada rujukan disertakan, sila cari sendiri)
Perlu dicatat dan
diingat, Revolusi dalam dunia moden yang pertama-tama berlaku adalah Revolusi
Perancis yang dipimpin oleh kaum borjuis, menumpaskan absolute monarchy di
Perancis. Revolusi Perancis ini juga selalu dikenang sebagai Revolusi Kaum
Liberal. Ia menghancurkan tatanan-tatanan lama lagi feudal, dan mula menggantikan
dengan perubahan berasaskan slogan liberté,
égalité, fraternité.
Bagaimanapun, ia
belumlah cukup radikal dan merata ke seluruh rakyat. Impaknya lebih dirasai
pada golongan pertengahan, sementara rakyat kebanyakan masih ramai yang
menderita dan melarat teruk.
Maka seterusnya,
berbagai usaha telah dilakukan untuk mengepalkan penumbuk ke udara.
Berbotol-botol dakwat telah kering, beribu-ribu kertas telah habis sama ada
diguna untuk dijadikan pamphlete atau manifesto pemberontakan, diedarkan secara
seludup, secara rahsia, dikejar di mana-mana oleh pihak berkuasa, dan akhirnya
pada tahun 1917, berlakulah sebuah lagi revolusi yang menggegarkan umat dunia,
iaitu Revolusi Rusia yang dipimpin oleh Parti Bolshevik.
Jadi revolusi sosial
dan politik yang berlaku – 2 revolusi besar di atas – sememangnya bertujuan
untuk menggugat status quo, kemapanan, keselesaan, tradisi, feudal, nilai-nilai
lama, dan selalunya diwakili dengan perkataan atau terma, “conservatism”.
(dalam Bahasa Melayu dieja dengan Konservatisme)
Jadi persamaan antara
Kiri dan Liberal adalah kedua-duanya bermatlamatkan pembebasan, satunya bernada
reformation (reformasi) dan keduanya bernada revolution (reformasi radikal).
Kedua-dua aliran ini bermatlamatkan perubahan, dan mempersoalkan nilai-nilai
yang sedang berlaku di tengah-tengah masyarakat. Kedua-duanya mahu
menelanjangkan kebobrokan sistem pemerintahan yang sedang diusung dalam
masyarakat. Kedua-duanya menentang kepatuhan membuta-tuli, kesetiaan tanpa soal
oleh masyarakat sedia ada terhadap tampuk pimpinan, struktur, ideologi yang
terlalu lama dan sedang rosak. Kedua-duanya bermatlamatkan perubahan, sama ada
sedikit demi sedikit (iaitu evolusi) atau secara drastik (iaitu revolusi).
Perbezaan antara
keduanya telah dinyatakan sedikit sebanyak dalam tulisan di atas. Tokoh-tokoh
kedua aliran juga berbeza. Sejumlah nama berikut adalah tokoh-tokoh liberal, seperti Montesquieu, Voltaire, Rousseau, Adam Smith,
Immanuel Kant, Thomas Paine, Thomas Jefferson dan ramai lagi. Sejumlah
nama berikut adalah tokoh-tokoh Kiri, seperti Marx, Lenin, Bakunin, Kropotkin
dll.
Cara dan pendekatan
kedua-dua aliran ini juga berbeza. Satunya lebih melalui pendekatan demokrasi
(borjuis) yang bersifat peti undi seperti, melalui pilihanraya, referendum dll walaupun
secara asalnya, melalui pemberontakan di jalanan seperti Revolusi Perancis. Dan
persoalan yang tidak terjawabkan dalam aliran ini, bagaimana si miskin akan
mendapat haknya dalam pilihanraya jika mereka-mereka yang kaya lebih mempunyai
modal untuk mempengaruhi masyarakat yang terbanyak?
Sementara Kiri lebih
revolusioner – selalunya melalui coup – selainnya melalui mogok, aksi massa dan
cara-cara yang lebih radikal berbanding Kanan. Kiri sekalipun berniat murni dan
mempunyai cita-cita idealis dan utopis yang radikal dan suatu semangat mengubah
dunia yang deterministik dan persisten, persoalan yang selalu ditempekkan ke
dahi para penganut aliran Kiri ialah, persoalan demokrasi, pilihanraya dan yang
sewaktu dengannya. Selalu cop mohor yang digunakan untuk mempertahankan
pemerintahan aliran Kiri adalah “revolusioner”. Fidel Castro, teman baik
Ernesto Che Guevera, pemerintah Cuba juga dikatakan berkata begitu semasa
beliau memegang tampuk pemerintahannya.
Bagaimanapun..
Spektrum politik yang
biasa dibelek sebenarnya tidaklah sebegitu kuat seperti Al-Qur’an yang sampai
sekarang tetap begitu jua. Adakalanya yang Kiri hari ini, boleh jadi Kanan.
Adakalanya yang Kanan juga boleh jadi Kiri suatu masa nanti. Misalnya Kassim
Ahmad yang sangat Kiri suatu masa dahulu (lebih Kiri dari Ahmad Boestamam),
akhirnya menjadi ‘agak’ Kanan walau cita-cita Sosialismenya tidaklah dibuktikan
pernah padam. Menjadi seorang Qur’anis bukanlah bermakna tidak boleh menjadi
seorang Kiri atau Sosialis. Nah, hal ini juga menjadi suatu dilema, iaitu sifat
ideologi yang kadangkala bisa mencair, seperti Ali Syari’ati yang selalu
dilabelkan sebagai penganjur Sosialisme Islam (meskipun sepanjang tulisannya
ditekuni penulis, beliau tidak pernah sekalipun mengatakan sedemikian), juga
seperti idea gerakan Sarekat Islam (Putih) di Indonesia yang mengadunkan antara
Sosialisme dan Islam. Ini menunjukkan betapa ideologi ini bukan sahaja bisa
menjadi ketat seketat yang mungkin, bahkan bisa mencair dengan beberapa unsur
dari yang bertentangan.
Dalam ertikata lain,
penulis tidak menolak kemungkinan atau keberadaan Kiri yang Liberal(is), juga
Kiri yang Nasional(is). Hybrid di antara ideologi(s) atau para penganut
ideologi sentiasa sahaja berlaku, boleh sahaja dikeranakan buku yang dibaca,
teman dan lawan yang digauli, NGO tempat mereka bekerja, mungkin juga keluarga
dan panutan ideologi/agama keluarga yang merangsang kepada hybrid antara
ideologi.
Antara isu yang menjadi
cabaran Kiri di bekas negara jajahan seperti Malaysia adalah, adakah Kiri mahu bersama
dalam dalam isu-isu nasional atau hanya menumpukan persoalan pada isu-isu
internasional? Utamanya adalah isu bangsa dan bahasa. Ia pernah dicatatkan
menjadi rekod berantakan antara Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh. Sekali lagi
ianya mencabar dalam isu UEC tahun lepas.
Ada Kiri yang mahu
merapatkan jurang antarabangsa ini dengan mendekatkan Kiri Malaya dengan Kiri
Indonesia. Ini boleh terlihat pada kekaguman dan usaha Boestamam dari PRM yang
sangat terkagum pada Soekarno dari PNI. Sementara ada Kiri yang menolak usaha
ini, seperti hujah Lim Kit Siang (DAP suatu masa dulu) dalam Debat Kebudayaan
dengan Syed Naquib Al-Atas.
Jadi artikel ini mahu
ke mana sebenarnya?
Comments
Post a Comment