Oleh: Pencinta Wollstonecraft
Kalau pada bahagian pertama kita
sama-sama menyelami falasi penulis esei ‘Falsafah Politik Konservatisme’
(FalPoK) dari segi pendekatan analisis Revolusi Perancis serta hujah-hujah
substantifnya yang lain, dalam bahagian kedua ini kita akan membedah pula nasib
fatal Robespierre, persoalan-persoalan penulis mengenai revolusi serta
renungan-renungan penulis mengenai konservatisme, terutamanya sebab-sebab
penentangannya terhadap politik Kiri (yang dia labelkan radikalisme - sekali
lagi, muslihat istilah yang amat janggal. Kanan tiada radikalisme? Mahu saya
sebut?).
Sebelum itu, mari kita menyudahkan
kritikan-kritikan Burke terhadap revolusi. Pertama, penulis ada menyebutkan
serangan revolusioner terhadap institusi tradisional adalah tidak wajar kerana
ianya “wujud bersebab”. Pada saya - kalaupun kita menerima hujah ini - ia
adalah seperti kata dulang paku serpih. Kerana apa? Kerana penulis sendiri
gagal menjustifikasikan pendirian “wujud bersebab” tradisi ini. Apa sebab-sebab
itu, sehingga ia lebih penting berbanding nasib rakyat yang ditindas dan
diperleceh? Nampak tidak, betapa tidak wajarnya kewujudan tradisi monarki
mutlak yang penulis sangat bela ini? Di samping itu, penulis juga ada menulis
mengenai “kebijaksanaan berkurun-kurun”. Ini juga suatu perkataan “fancy” yang melindungi konsep divine rights of Kings, sama ada versi
Robert Filmer dalam Patriarcha; or the
Natural Power of Kings, James IV of Scotland dalam The True Law of Free Monarchy dan Basilikon Doron, atau kultus Imperial Roman Prinsipat of Augustus.
Selanjutnya, penulis mengungkit
kepentingan Raja sebagai simbol perpaduan. Saya belum dapat menemukan mana-mana
sumber kepada dakwaan ini. Akan tetapi, menurut saya, kegagalan Louis XVI lah
yang menyebabkan rakyat bercerakin kepada kelas sosioekonomi yang sangat
senjang, menyebabkan perpaduan suatu fantasi. Kalaupun ia benar, para
revolusioner sememangnya dari awal bersetuju. Mereka tidak berhajat
menghapuskan sistem beraja pun, namun memulihkannya, menjadikannya lebih baik
dengan Raja Berperlembagaan England sebagai inspirasi. Bukankah juga Raja
Berpelembagaan wujud seketika pasca Revolusi oleh golongan perevolusi?
Seperti idea lain, gagasan Burke
berkenaan Konservatisme bukan tanpa kritikan bagus. Wollstonecraft menulis A Vindication of the Rights of Men pada
1790, manakala Thomas Paine menghasilkan Rights
of Man setahun selepas itu. Antara lainnya, mereka percaya bahawa manusia
harus dinilai dari usaha dan merit, bukan warisan dan hak sejak lahir. Di
samping itu, Alfred Cobban, ahli sejarah Revolusi Perancis konservatif
terhormat mencatatkan dalam Aspects of
the French Revolution, penilaiannya terhadap penulisan Burke sebagai tidak
lengkap dan memesongkan. Sewaktu berhadapan kesan Zaman Pencerahan, Burke
dilihat menentang keras debat rasional yang berterusan kerana baginya ia boleh
mencetus kebangkitan anarkisme.
Pemahsyuran patung Robespierre oleh Russian Soviet Federative Socialist Republic.
Antara babak paling menarik
penulisan FalPoK ini adalah pertanyaan mengenai kegagalan revolusi. Sebenarnya,
kegagalan revolusi tidak harus disangkutkan kepada idea pembebasan dan tuntutan
keadilan kelas ekonomi itu sendiri, namun kepada sang pelaksana yang tidak
berkredibiliti: Maximillian Robespierre. Dia goyah dan paranoid. Konviksinya
lembik, tindakannya liar dan angkuh. Ditambah dengan tekanan konflik politik
melalui War of the First Coalition
dan War of Vendee, Robespierre
ditakdirkan gagal. Menulis Hippolyte Taine dalam Origins of Contemporary France (1876 - 1885), bahawa polisi
Robespierre memindahkan kuasa daripada divinely
chosen aristocracy kepada elit “yang tercerahkan” namun tak berhati perut,
lebih cela dan zalim. Kalaulah Robespierre teguh kepada idealisme revolusi
seperti saranan Desmoulins, mungkin sekali kerajaan lebih luhur dan demokratik
dapat dibentuk.
Leopold II of Austria
Tekanan dari luar, khususnya oleh
golongan konservatif diraja Eropah (crowned
heads of Europe) turut memuncak. Charles Messenger dalam Wars That Changed The World, mencatatkan
bagaimana Revolusi Perancis juga telah menghantar kengerian kepada raja-raja
Eropah. Kenapa? Kerana buat julung-julung kalinya, rakyat mempersoal mandat
Ilahiyah yang buat sekian lama menjadi sumber kuasa, takhta dan kedaulatan
mereka. Raja Frederick William II of Prussia dan Maharaja Leopold II of Austria
mengiystiharkan mereka telah siap sedia membantu memulihkan kuasa Louis XVI ke
takhtanya, dan mengajak raja-raja Eropah lain untuk turut sama membantu.
Messenger menambah, pada awal 1792, persekutuan diraja ini mula mengumpul
kekuatan, memaksa kerajaan revolusioner ketika itu yang berada di bawah
Robespierre untuk memukul semboyan perang. Hasilnya, Austria dan Prussia
berjaya dihalau. Perancis Baharu yang baru dilahirkan, terselamat dari
penaklukan baharu.
Pergi kepada poin penulis yang
berikutnya, yakni penilaiannya mengenai sifat-sifat revolusi. Beliau mengatakan
“perubahan radikal memansuhkan peraturan serta institusi tradisional” dan
“revolusi pembuka kesumat”. Bahkan, beliau menyenaraikan tiga contoh lain
revolusi berdarah yang gagal dalam sejarah. Pada saya, perubahan radikal bukan
sekadar memansuhkan peraturan lama, malah memansuhkan tradisi yang sudah
ketinggalan zaman, bahkan menzalimi manusia. Misalnya, di bawah peraturan lama,
perhambaan adalah sah di sisi undang-undang, keistimewaan golongan bangsawan
dilindungi dan rakyat tidak mempunyai jalan untuk menyuarakan keresahan mereka,
khususnya mengenai hal hak asasi. Revolusi Perancis juga telah menjadi dasar
Perlembagaan 1791 yang antara lainnya, mengesahkan kebebasan rakyat untuk
hidup, bersuara, serta keadilan berhadapan undang-undang tanpa mengira kasta.
Revolusi juga meningkatkan penglibatan wanita dalam perihal negara,
menghapuskan perhambaan, sistem kelas sosial culas dan mempercepat perubahan
sosial Eropah, khususnya dalam penyebaran demokrasi.
Mengenai senarai revolusi yang
gagal, saya kira ini permainan stigma yang leceh. Marilah kita lihat pula
senarai revolusi aman yang telah berjaya dalam sejarah dunia. Kita ada Revolusi
Glorious 1688 di United Kingdom,
Revolusi Kuasa Rakyat 1986 di Filipina, Revolusi Friedliche 1986 di Jerman, Prazska
Jar 1968 di Prague, Revolusi Dos
Cravos 1974 di Portugal, Revolusi Mongolia 1990, Revolusi al-Fateh 1969 di
Libya, Revolusi Mawar 2003 di Georgia, Revolusi Jingga 2004 di Ukraine, Thawrat al-Arz 2005 di Lubnan, dan
banyak lagi. Adakah revolusi-revolusi ini tidak cukup?
Mogok lapar dalam Revolusi Monggol 1990
Pergi kepada hujah apologetik
penulis FalPoK mengenai konservatisme, saya tidak boleh menahan daripada
berkerut hairan. Dakwaan-dakwaan sang pemegang pena bukan kepalang
aristokratik. “Konservatisme tidak menentang perubahan” dan berhajat
“memulihara tradisi”. Tambahnya lagi, “perubahan harus dilakukan dalam kerangka
mesra masyarakat”. Semua ini adalah tindakan cuci tangan, selepas dia berusaha
membela monarkisme mutlak Perancis yang kita sudah sedia maklum, penuh korupsi,
nepotisme, autoritarian dan tidak boleh dipersoalkan. Untuk itu, kita
gandingkan semula pandangan penulis mengenai konservatisme dengan Revolusi.
Bagi saya, pendekatan perubahan
gradual boleh terpakai dalam suasana suara rakyat boleh didengar dan
dibahaskan. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan pemerintah membuka pintu dialog
dan kewarasan. Namun, di bawah monarki mutlak, bagaimana pendekatan gradualisme
boleh menyelesaikan konflik kebuluran, ketidakadilan serta ketiadaan daulat
yang rakyat deritai, apabila kedaulatan itu ada pada Raja sahaja? Kita boleh
menyoal lebih lanjut, perubahan dalam kerangka mesra rakyat bagaimana yang
membolehkan rakyat mendapat akses kepada makanan ruji (roti) yang tidak
membebankan, jika Raja bersikap membela bangsawan, bukan jelata? Tidak cukup
begitu, dengan ini kita melihat bahawa usaha menggunapakai naratif kesan buruk
Revolusi Perancis demi mengukuhkan pegangan konservatisme adalah
anakronistik. Akhirnya, nyatalah,
perubahan yang boleh diterima rakyat sebenarnya adalah penyelindungan usaha
mengekalkan kedudukan golongan aristokrat nan keparat.
Aslan bukan seorang gradualis.
Sikap apologetik penulis disambung
dalam perenggan selanjutnya. Kali ini, saya melihat retoriknya sangat tebal, ia
mengaburi pandangan matanya sendiri sehingga ia melakukan tiga falasi dahsyat
dalam dua perenggan berturutan! Penulis mengatakan setiap negara ada caranya,
namun mengambil naratif negara yang tidak setara dengan negaranya. Itu pertama.
Kedua, beliau melarang pemaksaan konteks dan tradisi, sedangkan Louis XVI
membelanjakan harta negara bukan pada konteks rakyat, dan Burke, sang elit
politik selesa, mengkritik bukan pada konteks rakyat kelas bawahan.
Pada hemat saya pula tradisi dan
kebijaksanaan berkurun saja tidak boleh dijadikan sandaran merubah kehidupan
rakyat. Ia membawa nada mempersenda Rakyat sebagai tidak mempunyai
kebijaksanaan berkurun mereka sendiri. Selain itu, kalau kita mahu bercakap
pasal konteks dan kebijaksanaan berkurun, bukankah kedua-dua inilah yang
menyebabkan Perancis jatuh ke dalam kancah masalah hutang, sekaligus mencanai
sentimen revolusi? Saya juga mempersoalkan, andainya konservatisme menerima
perubahan, maka kebijaksanaan berkurun - tidak dapat tidak - perlu berubah
seiring zaman. Dalam konteks Perancis pra-Revolusi, siapa yang menentukan
kebijaksanaan berkurun tersebut perlu diubah, sedangkan rakyat tidak memiliki
ruang bicara?
Falasi ketiga, penulis cuba
menggunakan metafora untuk menggambarkan keadaan sesebuah masyarakat.
Perumpamaan pokok ini adalah eksperimen mental yang melucukan. Saya bertanya:
dalam analogi ini, di mana Raja yang culas? Di mana golongan bangsawan yang
menumpuk kekayaan negara, sedangkan kebuluran menjadi fenomena? Di mana
dasar-dasar yang menyebabkan kedua-dua hal ini berlaku? Ranting tidak sama
boleh disamakan dengan Raja dalam simbolik ini, kerana dalam monarki, Raja
adalah punca kuasa. Kalau batangnya buruk, maka cantaslah rantingnya berkurun
lama manapun, ia tetap akan buruk. Batang itu harus dikapak.
Mary Wollstonecraft, penyokong Revolusi Perancis di England.
Buah hati saya.
Mengenai pendapatnya yang menolak orang
politik mentah, tidak berpengalaman dan nominal, saya setuju bahawa sesebuah
negara wajib mempunyai ahli politik matang dan dapat mendalami kemelaratan
rakyat. Dalam konteks perbahasan kita, Burke bercerita bukan sebagai apologetik
rakyat, namun apologetik konservatisme. Lawan Burke pula, seorang wanita kelas
pertengahan bernama Wollstonecraft yang menulis A Vindication of the Rights of Men. Untuk berlaku jujur, pada saya,
Revolusi Perancis adalah salah sekiranya rakyat sediakala bahagia dan gembira.
Masalahnya, yang mempertaruhkan nasib rakyat adalah Louis XVI sendiri, sewaktu
ia membelanjakan separuh bajet kerajaan untuk membantu Revolusi Amerika dan
Empayar Mughal.
Naratif sebenar revolusi dari kaca
mata orang kebanyakan adalah ianya bukan perjudian nasib, kerana status rakyat
sebelum Revolusi adalah derita, kelaparan dan keterbatasan suara. Pendek kata,
sebelum revolusi, rakyat memang sudah kehilangan segala-galanya. Lagi,
perbuatan penulis yang seolah-olah menisbahkan “kaedah cuba jaya” kepada
golongan Kiri saja tidak tepat. Polisi Perang Iraq adalah cuba-jaya menghapus
keganasan dan polisi perang Bashar Assad yang mengorbankan 400,000 nyawa adalah
cuba jaya mengembalikan semangat Baathis. Kedua-dua cuba jaya ini didalangi
oleh pihak Kanan dan konservatif. Atau saya tinggal di semesta berbeza?
Sebelum saya menutup esei ini, perlu
kiranya saya menjelaskan sekali lagi, bahawa Pencinta Wollstonecraft adalah
seorang relativis etik, neutralis, pendeknya seorang yang beraspirasi menjadi
ahli kaji sosial. Penyataan saya ini mempunyai tiga insinuasi: 1) saya terpaksa
untuk tidak berpihak (Kiri-Kanan, Liberalis-Konservatif), demi menjaga
kejernihan pandangan saya, dengan tidak menolak terdapat bias dalam isu-isu tertentu,
2) sebagai seorang yang dahulunya datang daripada latarbelakang konservatisme,
saya mengharapkan agar pihak seberang lebih jujur dalam membela pandangan
politik mereka, kerana percayalah, konservatisme dekat dengan hati saya, dan 3)
saya mengharapkan perbahasan sebegini berterusan, demi memberi lebih banyak
polemik buat masyarakat santapi, sekaligus memperluas nuansa demokrasi.
Dan, demi menolak retorik terakhir
penulis, saya katakan ini: kebijaksanaan berkurun di bawah monarki absolut
tidak akan pernah lebih baik berbanding janji-janji ahli politik dalam suasana
demokratik; kerana yang pertama itu tidak boleh dibahaskan, manakala yang kedua
itu sentiasa boleh dicerap dan didebatkan di pentas demokratik.
Semoga hujah saya jelas. Atau perlu
lukis?
Comments
Post a Comment