Skip to main content

Dosa Terbesar Dalam Sebuah Negara Adalah Menjadi Ateis



Oleh: Lucy M

Dengar-dengar, jiran sebelah kita bakal menjalankan undang-undang Islami. Bukanlah undang-undang ini tidak pernah kita dengari namanya, tapi berita ini menjadi riuh kerana di dalam undang-undang ini, melakukan seks secara sedar dan disertai keinginan antara dua orang dewasa; sejenis atau tidak- adalah sebuah kesalahan dan bakal dihukum dengan lontaran batu sehingga mati.

Panas memang panas. Orang mula berbahas mengenai perkara ini sama ada dari dalam kalangan Muslim atau yang bukan Muslim. Untuk makluman, undang-undang syariah secara teorinya hanya boleh dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja tetapi dalam beberapa kes seperti yang berlaku di Acheh, ada individu non-muslim yang disebat di hadapan warga kerana menjual minuman keras.

Saya tertarik dengan sebuah set komedi Pandi Pragiwaksono, warga Indonesia, yang mengatakan bahaya terbesar untuk sebuah negara ialah seorang ateis. Katanya kerana di dalam Pancasila, perkara paling pokok adalah kepercayaan kepada tuhan.

Untuk menjadi warga yang baik, harus perkara ini diamalkan terlebih dahulu kerana jikalau tidak- sesiapa pun yang ateis dianggap mempunyai kecenderungan untuk membawa ancaman kepada negara.

Jika dicermati, rata-rata negara Nusantara turut menjadikan kepercayaan ke atas wujudnya tuhan sebagai hal utama untuk pembentukan identiti negara bangsanya. Ateisme dilihat sebagai ancaman meskipun ateisme tidak pernah pun sampai ke satu tahap meletupkan hotel dan rumah ibadat untuk membuktikan ketiadaan tuhan melainkan jenayah kebencian sebegini dijalankan oleh warga yang bertuhan.

Untuk negara yang masih berpegang kepada konsep monarki, perkara pokok kedua adalah kepercayaan ke atas institusi diraja dan negara yang dinaunginya. Menolak konsep ini turut dilihat sebagai membawa unsur berontak dan ancaman kerana dianggap menderhaka yakni petanda untuk kemudaratan ke atas negara walaupun warga yang menolak konsep monarki dan kewujudan negara adalah pasifis dan cintakan damai.

Yang buatkan saya merenung jauh ke atas kalimat-kalimat ini adalah betapa ia menyinggung secara tidak langsung ke atas perjuangan keKirian di mana semasa ia disebarkan, para kamerad di Barat berpegang kepada tiada tuhan, tiada raja, tiada negara.

Teorinya, penolakan kepada kepercayaan lazim masyarakat ketika itu yang masih dirangkul oleh sistem feudal adalah kerana korupnya sistem feudal yang didukungi institusi keagamaan bagi menjaga empayar dan negara.

Ketiadaan tuhan bukanlah penolakan secara total oleh para penganut gagasan Kiri namun menolak konsep ketuhanan yang dibayangi oleh sosok raja-raja agar tidak ditentang oleh rakyat mereka.

Tindakan ini adalah satu manipulasi politikal dan dilihat memanjangkan lagi perhambaan yang mana konsep ini adalah ketidakadilan dan lawan besar kepada konsep kesaksamaan dan kesamarataan semua individu dan kelompok.

Saya bakal menyentuh soal undang-undang syariah sebentar saja lagi. Sekarang, saya mahu mengusik terlebih dahulu.

Apabila perang dunia tercetus, perang propaganda turut mendapat tempat dan dijalankan secara habis-habisan. Hampir kebanyakan negara dunia ketiga yang sebelum ini beraja, menolak raja-raja mereka dan konsep ketuhanan yang dibawanya kerana seruan keKirian. Semua manusia adalah sama rata di sisi yang maha Esa. Hierarki kewujudan adalah permainan manusia dan bukannya datang seperti wahyu.

Kuasa kolonial yang membawa panji raja-raja mereka tersentak dengan perubahan radikal ini. Seruan gagasan Kiri menewaskan seruan kolonial yang berjuang demi kemegahan empayar ratu dan raja.

Saya fikir, tiada keperluan untuk saya menjelaskan lebih lanjut tentang penolakan dunia Kiri kepada gerakan kolonialisme dan imperialisme cuma bagaimana ia mempengaruhi banyak negara untuk menjadikan tiada tuhan, raja dan negara sebagai musuh utama- begitu menarik minat saya.

Jadi, apa kaitannya dengan usaha jiran kita yang mahu menjalankan undang-undang syariah?

Agama begitu rapat dengan kewujudan manusia. Meski dibahaskan sehingga dunia habis binasa- agama tetap dilihat sebagai satu jalan hidup dan gagasan Kiri melihat kebebasan beragama yakni mempercayainya atau tidak bukanlah isu pokok untuk membentuk dunia yang adil dan saksama. Ia perbahasan filosofikal dan tidak harus digunakan untuk meraih kuasa politik.

Jiran kita yang mahu melaksanakan hukuman daripada tuhan ini dikatakan mahu memakmurkan masyarakat, akan tetapi, golongan diraja terkecuali dari dihukum.

Adalah satu perkara yang menghairankan, pelik dan ajaib- apabila konsep kemakmuran bermaksud menjalankan perintah dan aturan ke atas sesetengah golongan sahaja sementara yang lain bebas hidup dengan apa saja cara yang mereka sukai.

Inilah konsep ketidakadilan yang ditolak gagasan Kiri. Jelas-jelas, kelas pemerintah menjadikan agama dan tuhan sebagai instrumen untuk kebaikan kerabat mereka semata. Ia dijadikan manipulasi politik dan dihalang dari dicabar oleh sesiapa pun.

Keculasan ini seharusnya mendatangkan rasa muak kepada sesiapa pun- sama ada yang bertuhan atau pun tidak. Baru saja hati kita merasa hangat dengan pendirian masyarakat New Zealand yang berlainan agama- bersekutu mencemuh tindakan supremasis agama dan bangsa; kita pula merosakkanya dengan melaksanakan perintah dan aturan hidup yang tempang sebegini.

Adalah meragukan, andai hukum syariah berjalan dengan pengecualian ke atas kaum kerabat diraja, ia akan bersifat adil dan membawa rahmat. Pastilah orang akan menolak dan mempersoal. Namun, andai mereka menolak, pastilah mereka didakwa tidak mempercayai tuhan, yakni tidak mempercayai raja yakni menolak negara. Mereka memberontak, menderhaka dan berdosa kepada tuhan.

Lalu, apakah kita sebenarnya mahu memakmurkan bumi dengan konsep-konsep itu, bertuhan, beraja dan bernegara atau cuma mahu menghalang pembenihan dan pertumbuhan gagasan Kiri yang bakal mencantas hak keistimewaan sebilangan orang?


Saya rasa anda tahu.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan pe...

Penulis Kena Jadi Pelacur

(gambar tidak ada kena mengena, hanya slide show sahaja yang ada kena mengena) Oleh: Benz Ali Untuk menjadi popular, buku laku keras, evergreen, nama disebut-sebut, penulis harus jadi pelacur. Dia mesti sanggup untuk melondehkan apa sahaja, membuat apa sahaja yang diminta oleh pelanggannya. Dia tak perlu memikirkan apa-apa pegangan, baik Kiri, Kanan, Depan, Belakang, Atas, Bawah. Dia tak perlu memikirkan apa-apa hujah moral, ideologi mahupun agama. Yang penting, untuk menjadi viral atau terkenal di langit, dia mesti jadi pelacur. Dia tak perlu memikirkan tentang syariah-compliant, syariah-gimnastik, syariah law dsbnya. Itu bukan kerjanya langsung. Itu kerja PAS. Ya, PAS yang harus fikir soal itu. Sementara persoalan yang dia harus fikir, adalah tentang bagaimana nak mencari duit dengan banyak, dan popular dengan cepat. Maka kerana itu penulis harus jadi pelacur. Persoalan ini adalah persoalan fundamental. Tiada yang paling asasi, melainkan persoalan...

Michel Foucault, Khomeini dan Kehilangan Etika Ahmad Faezal, Penulis The Patriots.

  Oleh: Faisal Mokhtar (Buruh Kilang) Sejauh manapun penulis The Patriots itu menghina dan menyebarkan fitnah pun, Khomeni tetap dicatatkan oleh dunia sebagai seorang yang mampu menggerakkan jutaan rakyat Iran ke jalan untuk melakukan revolusi dan menumbangkan monarki berusia 2,500 tahun. Sejauhmana penulis The Patriots menghina Khomeini sekalipun, asas ajaran Khomeini iaitu mengikuti jalannya revolusi al-Hussien (cucu Rasulullah saw) tetap dikenang pada 10 Muharam bahkan bukan berkurang tetapi makin bertambah manusia yang mengenang serta mengikuti dan bahkan rentas mazhab dan agama. Antara penulis The Patriots dengan Michel Foucault cukuplah Michel Foucoult seorang filsuf besar memuji revolusi yang dibawa Khomeini. Foucault (ilmuwan Perancis) yang berada di Iran ketika itu menulis artikel bertajuk ‘Mimpi Apa Yang Dibayangkan Warga Iran’. Beliau menulis, 10 bulan rakyat Iran berhadapan dengan tentera yang memiliki persenjataan paling lengkap. Itupun dengan tangan kosong dan tanpa m...