(gambar tidak ada kena mengena, hanya slide show sahaja yang ada kena mengena)
Oleh: Benz Ali
Untuk menjadi popular, buku laku keras, evergreen, nama disebut-sebut, penulis harus jadi pelacur. Dia mesti sanggup untuk melondehkan apa sahaja, membuat apa sahaja yang diminta oleh pelanggannya.
Dia tak perlu memikirkan apa-apa pegangan, baik Kiri, Kanan, Depan, Belakang, Atas, Bawah. Dia tak perlu memikirkan apa-apa hujah moral, ideologi mahupun agama. Yang penting, untuk menjadi viral atau terkenal di langit, dia mesti jadi pelacur.
Dia tak perlu memikirkan tentang syariah-compliant, syariah-gimnastik, syariah law dsbnya. Itu bukan kerjanya langsung. Itu kerja PAS. Ya, PAS yang harus fikir soal itu. Sementara persoalan yang dia harus fikir, adalah tentang bagaimana nak mencari duit dengan banyak, dan popular dengan cepat. Maka kerana itu penulis harus jadi pelacur. Persoalan ini adalah persoalan fundamental. Tiada yang paling asasi, melainkan persoalan ini. Penulis tidak perlu dibebankan atau diberatkan dengan apa-apa tanggungjawab moral atau sosial. Itu bukan tugasnya. Yang dia harus fikir dan kalikan, berapa banyak dia akan dapat dengan mengangkang melalui penulisan? Persoalan ini adalah persoalan-persoalan wahid lagi wajib bermain di fikiran penulis.
Dia mesti sanggup untuk digiliri sesiapa sahaja, asalkan tulisannya dibaca. Dia mesti sanggup memuaskan selera pelanggan-pelanggannya, dan jangan sesekali membuat para pembacanya berfikir, tersinggung ataupun marah. Membuat para pembacanya berfikir dan kritikal seperti Socrates adalah suatu dosa.
Prinsip boleh pergi mati. Prinsip boleh dicampak ke dalam tong sampah sepertimana kondom yang telah habis digunakan. Untuk menjadi penulis di hari-hari moden ini, penulis harus jadi pelacur. Penulis tidak perlu berprinsip. Penulis tidak perlu pada apa-apa perjuangan. Penulis tidak perlu jadi pejuang atau penukang apa-apa idea. Prinsip tidak boleh dimakan, digigit atau ditokak. Untuk boleh makan, kenyang dan senang, penulis harus jadi pelacur.
Penulis tidak perlu mempunyai ‘konten’ dalam tulisannya. Penulis mesti jadi pelacur. Penulis yang jadi pelacur mestilah mempunyai ‘data base’, ‘followers’ dsbnya. Ini sangat penting sekali. Untuk menjamin kelestarian hidup seorang penulis-pelacur, hal itu sangat penting. Ilmu, isi, isu boleh pergi berambus. Semua benda harus ditanam atau dikambus hidup-hidup dalam kamus penulis-pelacur. Kerana semua benda ni bukan boleh makan pun. Masyarakat bukan nak baca pun kalau tulis. Masyarakat perlukan penulis-pelacur. Masyarakat perlu orgasm dengan penulis-pelacur, dan hanya boleh di-orgasm-kan dengan penulis-pelacur.
Penulis-pelacur tidak perlu mengambil Pak Samad Said, Pramoedya Ananta Toer, Keris Mas, Usman Awang dan ramai lagi sebagai mentor atau rujukan. Mereka yang disebutkan, di akhir-akhir atau di hujung-hujung hidupnya juga tak kaya raya. Mati pun miskin jua. Hidup miskin, mati pun miskin. Jualan buku mereka, terutama di Malaysia, hidup segan mati tak mahu-mahu. Hanya dengan menjadi penulis-pelacur sahaja, buku-buku akan dibeli dan dibaca dengan rakus sekali.
Penulis-pelacur sebenarnya tidak perlu berkerut muka, menyakitkan kepala dengan berfikir terlalu banyak benda, untuk tulis, untuk hidup dsbnya. Dan dia sepatutnya tak perlu tulis apa-apa pun. Cukuplah menggedis-gedis di sosial media, ataupun di Instagram, pos gambar-gambar yang paling memberahikan minat para pelanggannya, apa sahaja yang pelanggannya akan suka dan tertarik, video aksi-aksi dan lawaknya yang hambar tapi digilai peminatnya, cukuplah. Cukup bulan nanti, akan datanglah berderet-deret penerbit-pelacur yang akan menerbitkan entah apa tulisannya. Dan ini sudah terbukti. Sudah ada berpuluh testimoni.
Penulis-pelacur juga tak perlu baca buku atau lebih tepat tak perlu sentuh buku pun. Biar orang yang bingai berebut-rebut menyentuhnya, dalam bengkel, dalam itu, dalam ini (dalam seluar dalam). Yang penting orang beli bukunya, walau sesampah manapun dia tulis. Biar mereka yang keluar duit dari ratus sampai ke ribu ringgit untuk menjadi popular a.k.a penulis-pelacur sepertinya. Tak akan dia dedahkan rahsia paling agung itu. Siapa yang mahu dedahkan rahsia menjadi terbaik dengan jalan cepat?
Penulis-pelacur usah fikir soal memandaikan bangsa. Ia bukan pekerjaan atau perjuangannya. Buat apa fikir? Nampak sangat hipokrit walaupun ia bertudung sekalipun.
Aku suka. Penulisan macam ni dadah terbaru aku selain musik dari Sonny Moore.
ReplyDeleteterima kasih kerana membaca dan suka. terus membaca tulisan-tulisan kami :)
Deleteharap benz dan yang seangkatan dengan yang lain tak jadi penulis yang tidak ada prinsip.
ReplyDeleteterima kasih. marilah kita berdoa Benz dan yang seangkatan dengannya kekal menjadi penulis berprinsip.
Delete