Skip to main content

Falasi Ideologi Kanan Ayman Rasydan (Bahagian 1)


Oleh: Pencinta Wollstonecraft

Saya tertarik kepada siri dialektik Kiri dan Kanan yang sedang hangat berlarutan. Yang menarik perhatian saya adalah sisi pembela konservatisme oleh seorang penulis geopolitik yang amat popular. Meneliti butir perbahasannya, saya mula-mula bersetuju, namun renungan mendalam terhadap esei apologetiknya, saya hanya mampu menggelengkan kepala. Esei balas ini bukanlah suatu kritikan, lebih kepada teguran, kerana takut-takut, bila saya katakan ia kritikan, tidak dijumpai pula ia.


Masih mencari posisi. Namun lebih baik berkecuali.

Sebelum itu, saya kira perlu untuk meletakkan penafian di sini, bahawa saya tidak menyebelahi Kiri; dalam akaun peribadi maya, bukan sedikit persoalan terhadap kiri yang saya hamburkan. Tujuan saya menulis di MurbaReviu kerana ianya platform langsung dalam mendepani esei ‘Falsafah Politik Konservatif’ tersebut. Umumnya, pendirian saya adalah sebagai seorang relativis etis kepada penulisan berkenaan.

Apabila membaca tajuk, ‘Falsafah Politik Konservatisme’, saya mengharapkan penulis membahaskan mengenai idea-idea tonggak konservatisme seperti tradisi, ketidaksempurnaan manusia, hierarki, autoriti dan hak peribadi serta kaitannya dengan konteks Malaysia. Tekaan saya meleset. Yang penulis ceritakan adalah sejarah politik konservatisme, itupun ala Perancis dan bukan bertempat di negaranya sendiri.

Kalau kita bandingkan dengan esei Lucy M, yang menjurus kepada penceritaan konservatisme di Malaysia, esei ‘Falsafah Politik Konservatisme’ (saya pendekkan kepada FalPoK) tidak berani mendepani realiti masyarakat kita sendiri atas sebab dan niat, hanya Tuhan yang tahu. Namun, seperti yang disyaki oleh Lucy M sendiri, barangkali, apabila bercerita mengenai gerakan konservatif moden Malaysia, yakni UMNO, ceritanya akan menjadi kurang menginspirasi dan sukar dimenangkan.

Baiklah, selesai mengulas tajuk.

Kalau ada orang tanya apa pendirian politik saya, saya akan jawab: bukan konservatif.

Sebilangan konservatif tidak faham, apabila diacung dengan pertuduhan fasisme dan kaitannya dengan konservatisme. Sebetulnya, fasisme adalah konservatisme yang memburuk dan tidak terkawal. Kalau keju adalah fasisme, susu lembunya adalah konservatisme. Ringkasnya, fasisme hanya boleh wujud dengan terperciknya sentimen eksklusivisme yang berfokus kepada pemilikan wilayah atau kapital melalui status quo ras, kelas sosioekonomi dan hierarki sosial. Beza antara dua ini hanyalah dalam memandang keabsahan cara status quo ini diperjuangkan dalam masyarakat.



Satu lagi perkara yang menjengkelkan adalah apabila penulis menentang keras penyamaan konservatismenya dengan fasisme, namun dalam masa yang sama, memukul rata semua gerakan liberalisme sebagai identikal kepada Revolusi Perancis. Tolong beritahu saya, kalau ini bukan demagog, apa lagi? Di sini saya ingin mengheret perhatian pembaca kepada keculasan prinsip penulis esei berkenaan.

Kesalahan kedua penulis adalah dalam mengisahkan Revolusi Perancis tanpa menerangkan sebab-sebab di sebalik revolusi ini. Perkara ini mustahak, kerana daripadanya pembaca boleh menilai keberbaloian revolusi dengan kesan buruk revolusi itu. Tindakan tidak menceritakan latar belakangnya, adalah seperti menghukum mati seorang pembunuh, tanpa menilai motif jenayahnya itu. Sekali lagi, sama ada pengabaian ini bermotif, atau ianya kecuaian ilmiah yang perlu dikesalkan.


                        
Charles I dan Louis XIV dengan depiksi kedewaan

Sepengetahuan saya, terdapat empat faktor utama terjadinya Revolusi Perancis. Pertama, ia mengambil inspirasi daripada Zaman Pencerahan. Semua tahu ia adalah zaman yang membawa bersamanya keraguan terhadap tradisi biblikal-tekstual, khususnya berkenaan divine rights of Kings. Melalui konservatisme, raja-raja dianggap suatu mandat ilahiyah dan tidak boleh dicabar. Anekdot terkenal adalah penyampaian khutbah oleh Jacques-Benigne Bossuet di depan Louis XIV: “Raja memerintah oleh Aku, firman Kebijaksanaan Abadi: dan dari itu kita mesti menyimpulkan bukan saja hak diraja sah di sisiNya, bahkan pilihan seseorang yang menduduki takhta, adalah kesan penjagaan Tuhan di atas muka bumi”. Sudah pastilah, tidak lain tidak bukan, ia usaha memulihara status quo raja. Ringkasnya, humanis Zaman Pencerahan menentang gagasan idea ini dengan menyatakan, masalah sekular (keduniaan) memerlukan penyelesaian sekular (keduniaan), bukan atas providens.

Kedua, sebelum Louis XVI terpenggal kepalanya di mata guilottine, telah berlaku pergelutan kuasa dan kedudukan dalam negara. Pergelutan kelas sosioekonomi adalah isu masyarakat yang tidak akan selesai, malah dalam pemerintahan dengan “kebijaksanaan berkurun” sekalipun. Kebangkitan borjuazi berpengaruh yang membangkai kepada kasta dengan agenda tersendiri adalah atas aspirasi untuk ingin setara dengan Gereja dan Aristokrat. Dari sudut politik dalaman adalah faktor ketiga, iaitu wujudnya penentangan sedia ada terhadap Louis XVI oleh Parlimen Provinsial, peneraju penentangan kelas-kelas dengan hak istimewa terhadap pemulihan diraja.


 ‘Louis XVI Saying Fairwell to his Family’ oleh Mather Brown.

Sebab keempat dan barangkali paling penting Revolusi Perancis tercetus adalah kerana ketidakcekapan Louis XVI dalam pengurusan kewangan negara. Raja keparat ini telah berhutang banyak demi membantu Amerika dalam revolusi negara tersebut, sehingga separuh bajet nasional diperuntukkan untuknya. Kemudian, ada juga kos Perang Tujuh Tahun, yang mana antara lainnya Louis XVI membantu Empayar Mughal merampas Kalkuta daripada British, juga dalam menghalang British daripada menawan Benggali. Di negaranya sendiri, Louis XVI telah memperkenalkan cukai baharu bagi menampung hutang negara. Utamanya deregulasi gandum domestik yang menyebabkan makanan ruji rakyat mahal. Kebuluran jadi melata. Menambah garam ke luka warga Perancis masa itu adalah pengecualian cukai buat kaum bangsawan.

Setelah selesai memahami keempat-empat faktor ini, jelaslah ketidakcekapan Louis XVI yang tidak mendengar kata menteri-menterinya (beberapa inisiatif ekonomi gagal juga kerana bersifat konservatif). Selain itu, secara moralnya, Marie Antoinette, isteri Louis XVI yang kerap bermewah-mewah di tengah kebuluran, menghantar mesej persenda kepada rakyat (Burke sangat meromantiskan Antoinette; mungkinkah romantisasi sebegini antara ciri utama golongan konservatif? Hahaha). Intinya, Revolusi Perancis adalah ledakan inkrementalisme sosioekonomi yang tertangguh. Setelah semua kecacatan pemerintahan ini, adalah revolusi masih tidak berbaloi?


Lukisan portret Duc de Penthievre, sebuah keluarga aristokrat oleh Jean-Baptiste Charpentier. Amboi, duduk senang-lenang kalian, ya!

Menerusi eseinya juga, penulis FalPoK mengetengah idea bahawa revolusi yang dia lawan mengehadkan kuasa mutlak Raja menjadi Raja Berperlembagaan. Saya kira penulis perlu faham, revolusi asalnya dijalankan bukan untuk menghapuskan monarki semata-mata. Sasarannya adalah terhadap golongan kayawan yang terlepas dari cukai tanpa menanggung sebarang kesan hasil kejahatan Louis XVI, untuk mengambilkan keadilan sesama manusia dalam mengecap kesejahteraan hidup. Tambahan lagi, saya tidak melihat pengehadan kuasa ini sebagai bermasalah. Bukankah sebelum revolusi, monarki mutlak dijalankan dengan idea bahawa ‘Raja dilantik oleh Tuhan’ dan ‘Kerajaan ada kerana Raja ada’? Maka tindakan para revolusioner itu sebenarnya langkah moden pertama ke arah pengurangan kuasa mutlak raja yang tidak munasabah.

Seterusnya, penulis memaparkan kritikan-kritikan Burke terhadap penyokong revolusi di negaranya sendiri, khususnya dalam Parti Whig. Pada Burke - sebagaimana penulis mengutip - idea ‘hak alami manusia’ adalah perkataan “fancy” tanpa makna. Sebenarnya, idea hak alami manusia: untuk hidup, bebas dan berharta bukanlah suatu ungkapan idealistik; hanya teramat senget ke Kanan yang akan mengatakan sedemikian. Menurut John Locke dalam Two Treatises of Government,  hak alami merupakan keperluan semua manusia, baik raja, bangsawan mahupun rakyat, bukan sesuatu yang dirangka dalam masyarakat. Oleh itu, semua orang layak mendapatkan peluang sama rata dalam ketiga-tiga hak tersebut, tanpa divindikasikan oleh hak istimewa, providens kerabat mahupun kedudukan dalam masyarakat. Beliau menambah, seseorang mempunyai hak dan peranan dalam memelihara perkara ini, malah Locke meletakkan hak untuk revolusi, sekiranya Kerajaan cuba mencabulinya.


Edmund Burke, dengan suntingan penulis sendiri. Haha.

Dalam pada itu, amat menghairankan apabila penulis bersetuju dengan bantahan Burke, bahawa kedaulatan rakyat pun suatu idealisme yang samar-samar. Sekali lagi, idea kedaulatan rakyat bukanlah tanpa makna, lebih-lebih lagi kalau kita mahu bercerita mengenai posisi diri penulis dalam suasana politik negara. Idea kedaulatan rakyat telah menjadi asas kepada penegakan sistem demokratik di dunia moden. Dalam suatu cara, kita berhutang kepada para revolusioner. Sampai kini, kuasa rakyatlah yang menentukan kerajaan yang akan memerintah mereka mengulang idea Locke, Bacon, Mason, dan Paine: bahawa kerajaan ada kerana rakyat membenarkan.


Ratifikasi Magna Carta oleh Raja John di depan kelompok baronnya.

Menurut penulis FalPoK lagi, Burke mengatakan, dalam menyelesaikan isu sosioekonomi, Magna Carta dan Bill of Rights sudah mencukupi, dibantu kebijaksanaan berkurun. Menjadikan Magna Carta sebagai rujukan adalah dalam membincangkan isu sosioekonomi Perancis adalah jenaka, kerana a) ia ditulis di Britain atas wasiat Raja John, raja paling teruk England, tentang perjanjiannya dengan baron, bukan rakyat yang sedang mengikat perut; b) ia ditulis dalam Latin, rakyat berbahasa Inggeris, mengukuhkan kepercayaan ia dirangka untuk membela golongan elit saja dan; c) piagam ini adalah lapuk dan hanya menyentuh urusan kewangan feudal, ukuran-ukuran purba tanah dan pelbagai hal pelik lainnya. Tambahan pula, David Carpenter menulis dalam Magna Carta (Penguin Classics) bahawa piagam tersebut tidak lengkap, tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak relevan dalam menyelesaikan isu rakyat. Maka, secara perbandingan, Magna Carta adalah lebih “fancy” berbanding idealisme pembebasan yang diperjuangkan oleh golongan Kiri.

Secara ringkas, dalam bahagian pertama penulisan ini, dapatlah disimpulkan bahawa esei ‘Falsafah Politik Konservatif’ ini tidak lain dan tidak bukan suatu percubaan mengeksploitasi fakulti ketakutan manusia kepada perubahan radikal dalam memenangkan ideanya. Misalnya, penulis tidak menjelaskan dengan murni punca-punca revolusi, kerana beliau tidak mahu menunjukkan kebobrokan institusi diraja Perancis yang amat kritikal, kerana ini boleh menghayunkan pembaca untuk simpatetik kepada pihak revolusioner. Di samping itu, teknik apologetik kepada kuasa mutlak Raja (yang dianggap bertakhta dengan providens Ilahiyah) adalah menjengkelkan; belum mengira naratifnya mengenai ini yang dipotong-potong. Untuk kritikan-kritikan Burke mengenai revolusi, seperti yang telah saya jelaskan, ianya tidaklah samar-samar atau sekadar permainan kata “fancy”. Falsafah politik Rousseau dan Locke pada zaman ini, bukankah lebih pragmatik berbanding falsafah Burke?

Penulis FalPoK adalah seorang yang harus dipuji kerana keberaniannya mengakui pendirian sendiri selaku konservatisme. Namun, alangkah dikesalkan, jika fahaman itu terpenjara kepada zaman Burke dan bukan zamannya. Adalah lebih baik juga, dan lebih jantan, sekiranya penulis mengakui kelemahan konservatisme - selaku relativis etis, ini amat menyegarkan - daripada berusaha membaptis dosa-dosa Louis XVI.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang