Oleh: Komrad Semaun
Gambar: Sampah plastik yang diimport. Lokasi Jenjarom, Selangor Darul
Ehsan.
Baru-baru ini dikhabarkan bahawa
Malaysia telah menghantar pulang sebanyak 150 kontena sampah bahan plastik yang
telah dibawa masuk ke negara ini dari negara luar seperti Perancis, United
Kingdom dan Amerika Syarikat. Perkara ini dengan megahnya telah diumumkan oleh
Menteri Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
Tindakan ini telah mendapat
liputan yang meluas oleh pelbagai media di dalam dan di luar negara. Seperti
biasa, sebagai seorang ahli politik yang penuh dengan retorik, perkara ini
diangkat dan dimainkan berulang-ulang kali, sehingga tindakan yang sebenarnya
tidak memberikan apa-apa kesan untuk mengurangkan pencemaran di dalam negara
ini dilihat sebagai hebat dan positif.
Penolakan 150 kontena sampah
untuk dihantar balik ke negara asal mereka ini merupakan satu tindakan yang terlalu
tidak signifikan, atau hanya memberikan kesan yang amat kecil kepada negara
kita Malaysia.
Hakikatnya, ramai di antara kita
yang tidak tahu bahawa Malaysia masih lagi membenarkan kemasukan plastik
terpakai dari negara luar dengan menggunakan approved permit (AP) yang
dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT).
Perkara ini telah berlaku puluhan
tahun lamanya, tetapi pada tahun 2008 keadaan semakin meruncing apabila sampah
plastik (plastic waste) telah diharamkan untuk diimport oleh kerajaan China.
Ini kerana pada ketika itu China merupakan pengimport sampah plastik terbesar
dunia. Apabila terdapat kelompongan ini, para pengusaha kilang memproses
plastik di negara tersebut mencari alternatif lain untuk kesinambungan
perniagaan mereka. Setelah banyak negara mereka cuba untuk dekati, hanya
Malaysia dan beberapa negara asia tenggara sahaja yang sudi untuk menjadi pusat
operasi mereka.
Mengapa KPKT yang mengeluarkan permit mengimport plastik?
KPKT merupakan kementerian yang
menjaga hal ehwal kerajaan tempatan, oleh yang demikian kilang pemprosesan
sampah plastik tertakluk kepada perlesenan kerajaan tempatan yang berada di
bawah setiap kerajaan negeri. Tetapi oleh kerana KPKT menjaga hal ehwal
kerajaan tempatan di peringkat persekutuan, maka, KPKT menjadi pengawal selia
kemasukan sampah plastik ke negara ini untuk diproses.
Hasil daripada perubahan operasi
dari China ke negara kita Malaysia dan penguatkuasaan yang amat lemah oleh
kerajaan terdahulu, negara ini dibanjiri dengan kemasukan sampah plastik dengan
tujuan untuk diproses semula dan dijadikan produk tertentu untuk dijual kepada
umum.
Dua masalah utama yang muncul
daripada kebanjiran plastik ini adalah (1) fasiliti yang tidak mencukupi untuk
memproses plastik dan (2) lambakan sisa plastik yang tidak diproses menyebabkan
pencemaran kronik di beberapa tempat di Malaysia.
Sememangnya jika dilihat dari
sudut keuntungan, pemprosesan plastik ini merupakan perniagaan yang sangat
bagus. Tetapi apabila fasiliti seperti kilang, mesin dan lokasi yang sesuai
tidak disediakan dengan mencukupi dan lengkap, maka ia mendatangkan kesan yang
amat buruk kepada alam sekitar. Kilang plastik haram juga tumbuh bagai cendawan
selepas hujan, dan mereka menjalankan operasi tanpa mengikuti prosedur yang
betul. Hasil daripada pemprosesan yang tidak mengikut standard atau piawaian
ini, bahan-bahan toksik telah dilepaskan ke dalam air, tanah dan udara sehingga
menyebabkan pencemaran yang amat serius.
Lambakan sisa plastik juga
menjadi satu kecelakaan bagi negara kita, kerana apabila sampah plastik yang
terlalu banyak tiba di negara ini, kita tidak mempunyai ruang yang baik untuk
menyimpannya. Akhirnya, ia diletakkan di kebun-kebun dan di tanah-tanah
pertanian, ada yang lebih teruk apabila tempat yang seharusnya dijadikan kolam
ternakan ikan dan udang telah dijadikan tempat menyimpan plastik sampah dalam
kuantiti yang amat besar.
Lebih mencelakakan lagi, apabila
kilang-kilang haram (dan juga kebanyakan kilang yang berlesen) sudah tidak
mampu lagi memproses sampah plastik yang berada dalam pemilikan mereka, jalan
mudah yang diambil adalah dengan membakar plastik-plastik tersebut secara
terbuka. Gas-gas yang terlalu toksik itu dilepaskan sehingga menyebabkan
pencemaran pada kadar yang amat tinggi dan sekiranya dihidu oleh manusia atau
haiwan, boleh menyebabkan kecacatan atau kematian.
Zuraida Kamaruddin, Menteri KPKT
bermula garang dengan menyerang kilang-kilang plastik berlesen dan haram
apabila didapati mereka tidak mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh
kementeriannya. Begitu juga dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilihat
menjadi kroni kepada pengusaha kilang-kilang ini. Pada waktu ini, di awal
pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang bermula pada 9 Mei 2018, kelihatan
Zuraida Kamaruddin dan Yeo Bee Yin berlumba-lumba untuk melakukan serbuan
terhadap kilang haram dan pengusaha kilang yang tidak menetapi piawaian dan
peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Setiap kali serbuan dibuat, media
dipanggil dan gambar diambil untuk dipertontonkan kepada umum. Perkara ini
terjadi sebelum Yeo Bee Yin dikaitkan dengan pencemaran di Sungai Kim-Kim di
mana suami beliau dikatakan terkait dengan syarikat yang melakukan pencemaran
tersebut. (Dikatakan beliau mahu menyaman pihak yang mengatakan suaminya
terlibat, tetapi sehingga kini masih belum mendengar khabar berita mengenai
tindakan saman tersebut)
Kedua-dua menteri ini lagaknya bagaikan
srikandi yang berjuang untuk memastikan Malaysia bebas dari cengkaman sampah
plastik yang merosakkan tanah, air dan udara negara ini. Namun begitu, pada
penghujung tahun 2018 dan awal 2019, setelah melawat beberapa kilang dan
bertemu dengan towkey-towkey besar
kilang-kilang ini, nada garangnya telah dilembutkan.
Zuraida Kamaruddin yang dahulunya
begitu garang dan gagah menyerang kilang-kilang kini duduk semeja dengan
Malaysian Plastic Manufacturers Association (MPMA) dan juga Malaysian Plastic
Recyclers Association (MPRA) yang terdiri daripada towkey-towkey besar industri plastik telah mula menyatakan bahawa
perniagaan mereka perlu diselamatkan kerana industri ini bernilai berbilion
ringgit.
Gambar: (Dari kiri) Prof. Pervais K. Ahmed, Prof. Andrew Walker (Dua
ahli akademik yang telah menjual intelektual mereka untuk menyokong
pencemaran), Timbalan Presiden MPMA CC Cheah (Towkey Besar), Zuraida Kamaruddin
(Menteri KPKT), Suliman Abdul Rahman (Ketua Pengarah JPSPN) dan Setiausaha MPRA
Datuk Johnson Yoon (towkey besar juga)
Pada Mei 2019, Zuraida
Kamaruddin, telah cuba untuk meyakinkan masyarakat bahawa satu garis panduan
yang lebih ketat dan tegas akan dilaksanakan bagi memastikan industri plastik
ini terus dilaksanakan. Menurutnya SOP terbaru ini bakal mereformasikan
industri plastik Malaysia kerana kononnya hanya plastik “bersih” sahaja akan
dibawa masuk melalui AP yang dikeluarkan oleh kementeriannya.
Namun begitu, SOP yang dinyatakan
oleh KPKT hanyalah menarik di atas kertas sahaja, ini kerana penguatkuasaan
terhadap perkara-perkara berkenaan sampah plastik ini tertakluk kepada 4 pihak
berkuasa iaitu Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (di
bawah Jabatan Alam Sekitar), Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan
(sebagai pengeluar AP), Kementerian Dalam Negeri (Jabatan Kastam) dan Kerajaan
Negeri (Pihak Berkuasa Tempatan).
Hasilnya, berlaku pertelingkahan
dan percampuran bidang kuasa yang amat jelas sehinggakan setiap pihak menolak
tanggungjawab ini dari satu pihak kepada pihak yang lain. Akhirnya, sehingga
kini masih lagi terdapat kemasukan sampah plastik secara haram dan
kilang-kilang haram yang memproses plastik secara lewa.
Boleh dikatakan tindakan yang
diambil sangat minima dan jumlah denda yang dikenakan amatlah sedikit.
Pengusaha kilang pemprosesan plastik sehingga kini bermaharajalela, apatah lagi
apabila kerajaan baharu yang sebelum ini tampak garang telah dijinakkan, tiada
lagi kegusaran untuk mereka memungut untung tanpa memikirkan masalah yang bakal
dihadapi oleh masyarakat umum.
JENJAROM DI MATA DUNIA
Mungkin ramai dikalangan rakyat
Malaysia tidak tahu lokasi sebuah pekan bernama Jenjarom. Jenjarom ini
merupakan satu kawasan pinggir bandar yang terletak di negeri Selangor Darul
Ehsan. Sungguhpun tidak popular dikalangan rakyat Malaysia, lokasi tersebut telah
menjadi sebutan bagi aktivis alam sekitar di luar negara kerana keadaan yang
amat kritikal disebabkan oleh pencemaran daripada sisa sampah plastik dan juga
sampah plastik yang tidak mampu diproses oleh kilang berlesen mahupun kilang
haram.
Keadaan bahaya di Jenjarom:
1. Lebih 19,000 tan sampah
plastik terdapat di Jenjarom.
2. Asap toksik yang dilepaskan ke
udara akibat daripada aktiviti membakar plastik secara terbuka oleh pengusaha
kilang.
3. Bau busuk dan kesihatan lebih
30,000 penduduk terancam.
Ini hanya jumlah yang terdapat di
Jenjarom sahaja, belum dikira lagi tempat-tempat lain di Negeri Selangor, Pulau
Pinang, Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak yang masih lagi mempunyai
kilang pemprosesan plastik berlesen dan haram.
APA SUDAH JADI?
Isu sampah plastik di Malaysia
tidak akan tamat sehingga kerajaan benar-benar mengambil langkah radikal untuk
menghapuskan secara terus dan langsung kemasukan sampah plastik import samada
bersih atau kotor secara total!
Ya memang benar, perkara ini
telah terjadi terlalu lama, namun begitu apabila diteruskan oleh kerajaan
baharu, kita merasakan satu pengkhianatan, kerana sebelum ini mereka
menjanjikan bahawa kerajaan ini akan berbeza dengan kerajaan terdahulu.
Ini bukan masalah politik, ini
adalah masalah golongan yang gelap mata apabila ditayangkan dengan wang
ringgit. Apakah kerana ingin mengkayakan golongan pemilik kilang (berlesen atau
haram) kita terus menidakkan kecelakaan yang bakal menimpa rakyat Malaysia?
Kesan daripada pencemaran sampah
plastik ini bukan hanya menyebabkan bau busuk atau ketidak selesaan sahaja.
Tetapi ia boleh mendatangkan masalah yang lebih besar seperti kanser, asthma,
kecacatan bayi dalam kandungan dan pelbagai lagi masalah kesihatan dikalangan
rakyat di negara ini.
Apa yang sedang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha
kilang celaka ini adalah satu kebejatan nyata yang tidak boleh diampunkan.
Namun, pengkhianatan yang lebih besar, adalah menteri-menteri dan pemimpin yang
dari tangan kita diberikan kuasa, menggunakan kuasa itu untuk menyebelahi
towkey-towkey besar yang sedang giat membunuh rakyat Malaysia dengan
pencemaran, hanya kerana ingin memuaskan nafsu rakus haloba mereka.
Comments
Post a Comment