Skip to main content

Pemuliharaan Alam Sekitar: Negeri Pahang Perlu Dijadikan Contoh.




Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff (Marahaen Institute)


Tahun 2019 merupakan tahun yang amat menyedihkan khusus bagi para pencinta haiwan, aktivis alam sekitar dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Dengan kematian Iman, Badak Sumbu Sumatera terakhir di Malaysia dan pembunuhan berterusan Gajah Borneo merupakan antara episod duka yang menghantui senario penjagaan alam sekitar di negara ini. 

Penjagaan haiwan liar dan pemuliharaan hutan merupakan suatu perkara yang perlu dijadikan agenda utama oleh pihak berwajib, selain menguruskan isu-isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Kesan dari pembangunan tidak terancang dan tidak beretika akan memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada flora dan fauna, tetapi juga mendatangkan impak yang sangat besar kepada manusia. 

Sebermula dari abad ke 20, telah dianggarkan sebanyak 10 juta km2 hutan di seluruh dunia telah musnah disebabkan oleh pembangunan. Menurut satu kajian yang telah dilaksanakan oleh Bank Dunia (The World Bank) dalam tempoh masa 25 tahun yang lepas, keluasan hutan di dunia telah mengecil sehingga 1.3 juta km2. 

Di Malaysia, dari tahun 1990 hingga 2010, telah dianggarkan bahawa kita telah kehilangan 8.9% daripada jumlah keseluruhan kawasan hutan. Ini jelas memberikan kesan yang sangat mendalam kepada alam sekitar dan perubahan iklim di negara ini. Haiwan dan tumbuhan liar juga menjadi terancam akibat daripada pengecilan kawasan hutan yang menjadi habitat hidupan ini.   

Penulis terpanggil untuk mengutarakan isu ini apabila melihat tindakan positif yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang, dalam usaha untuk memelihara alam sekitar. 

Peka dengan keadaan semasa, Pahang telah mengambil inisiatif untuk mewartakan kawasan seluas 127.893 hektar sebagai hutan simpan kekal dalam usaha memastikan kawasan hutan di negeri ini terpelihara dan proses pemuliharaan dapat dijalankan dengan lebih efektif. 

Kawasan yang merangkumi Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Daerah Lipis ini merupakan habitat kepada spesis Panthera Tigris Tigris atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya yang menjadi simbol dan kebanggaan kita rakyat Malaysia.  

Dibawah inisiatif kerajaan Negeri Pahang melalui Pelan Induk Ekologi (CFS 1), kawasan hutan simpan kekal yang diluluskan ini akan menghubungkan Hutan Simpan Kekal Ulu Jelai dan Tanum, yang mana kawasan-kawasan ini akan terlibat secara langsung dalam pembentukan rangkaian Central Forest Spine (CFS). 

Kerajaan Negeri Pahang juga mengambil kira suara pertubuhan-pertubuhan atau NGO yang aktif dalam pemuliharaan dan pemeliharaan haiwan liar dan alam sekitar. Atas cadangan Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT), Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia, Wildlife Conservation Society Malaysia Programme dan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia, kerajaan negeri bersetuju untuk menutup jalan lama Sungai Yu, bagi memelihara habitat hidupan liar di kawasan tersebut. 

Jalan tersebut juga ditutup bagi menghalang para penjenayah alam sekitar seperti pemburu dan pengambilan flora hutan secara haram untuk masuk ke kawasan Eco-Viaduct, yang merupakan laluan utama haiwan liar di kawasan Sungai Yu. Projek Eco-Viaduct ini merupakan satu inisiatif kerajaan persekutuan yang telah dimulakan pada tahun 2014, untuk memastikan laluan haiwan liar tidak terganggu oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. 

Begitu juga dengan isu pembasmian pekebun haram yang sedang giat dijalankan di Cameron Highland, yang mana kerajaan negeri tersebut telah mengambil inisiatif yang tepat bagi memastikan keadaan Sungai Ichat, Kuala Terla dapat dipelihara sebelum dirosakkan akibat pertanian yang tidak terkawal. 

Penulis berharap agar kerajaan negeri lain dapat mencontohi inisiatif dan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam menjaga alam sekitar. Pada tahun 2020 ini, kita harus peka bukan sahaja dalam isu-isu yang membabitkan pembangunan sahaja, tetapi juga menyantuni alam sekitar yang merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. 


Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan pe...

Michel Foucault, Khomeini dan Kehilangan Etika Ahmad Faezal, Penulis The Patriots.

  Oleh: Faisal Mokhtar (Buruh Kilang) Sejauh manapun penulis The Patriots itu menghina dan menyebarkan fitnah pun, Khomeni tetap dicatatkan oleh dunia sebagai seorang yang mampu menggerakkan jutaan rakyat Iran ke jalan untuk melakukan revolusi dan menumbangkan monarki berusia 2,500 tahun. Sejauhmana penulis The Patriots menghina Khomeini sekalipun, asas ajaran Khomeini iaitu mengikuti jalannya revolusi al-Hussien (cucu Rasulullah saw) tetap dikenang pada 10 Muharam bahkan bukan berkurang tetapi makin bertambah manusia yang mengenang serta mengikuti dan bahkan rentas mazhab dan agama. Antara penulis The Patriots dengan Michel Foucault cukuplah Michel Foucoult seorang filsuf besar memuji revolusi yang dibawa Khomeini. Foucault (ilmuwan Perancis) yang berada di Iran ketika itu menulis artikel bertajuk ‘Mimpi Apa Yang Dibayangkan Warga Iran’. Beliau menulis, 10 bulan rakyat Iran berhadapan dengan tentera yang memiliki persenjataan paling lengkap. Itupun dengan tangan kosong dan tanpa m...

Agama Sebagai Candu Masyarakat

Oleh: Benz Ali Krisis Covid-19 ini yang dicatat bermula awal tahun 2020 nampaknya sehingga masuk tahun kedua (Jun 2021) belum menunjukkan tanda akan berakhir. Pandemik global ini setakat ini telah membunuh jutaan nyawa umat manusia. Selain varian baru Covid-19 yang makin banyak mulai muncul, Covid-19 memaksa mewujudkan Movement Control Order (MCO) di hampir seluruh pelusuk dunia. MCO atau di Malaysia dikenali dengan nama PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kemudian mewujudkan pula masalah-masalah baru yang lebih besar dan serius. Dilaporkan pada 10 April 2021, 1700 rider P-Hailing (penghantaran barangan dan makanan) telah maut kemalangan sepanjang tempoh PKP tahun 2020. Dikatakan jumlah kematian ini pada tahun lepas lebih banyak berbanding mati akibat Covid-19. PKP ini pada awalnya sedikit sebanyak memberi bantuan kepada orang ramai. Namun selepas peningkatan kes, bersiri-siri PKP kembali diperkenalkan tetapi tanpa apa-apa bantuan. Ada bantuan RM500 tetapi dikerat dua. Rakyat berta...