Oleh: Lucy M
Damien,
teman saya pernah mengatakan kelawar,
digelar sebagai daging merah oleh kaumnya yang menunjukkan dia pernah
menjamahnya. Dia teruja mengatakannya. Katanya lagi, sayap kelawar sebenarnya
lebih panjang dari yang kita bayangkan. Di suatu ketika yang lain, saya
teringat majikan saya pernah berbual dengan mandor projek tentang biawak. Dia,
seorang lelaki Cina pertengahan usia, ketika itu, menepuk tangan seperti baru
saja memenangi sesuatu sebelum menyebut bagaimana biawak punya daging yang liat
tapi dengan kaedah memasak yang tepat, ia mampu dilembutkan.
Direkodkan,
AIDS mula menjangkiti manusia setelah manusia memakan daging cimpanzi. Penyakit
tanpa ubat ini memakan korban tiap tahun. Ia penyakit sepanjang zaman.
Rantaian
makanan diakhiri dengan manusia. Meskipun 2 juta tahun lepas, kita bukan di
hujung rantaian makanan lagi, tapi dengan kemajuan intelek manusia dan rangsangan
evolusi, manusia menjadi pemangsa ulung. Baik tumbuhan atau daging, manusia melahap
kesemuanya.
Memang
benar, manusia punya selera yang besar. Jika kita cermati, biji nangka bukanlah
untuk dimakan, tapi hari ini kita telah merebusnya untuk dijadikan makanan.
Ulat sagu juga bukan untuk dimakan, begitu juga belalang - tetapi masharakat
Borneo dan Kelantan, menjadikannya sebagai sumber protein dan kudapan. Manusia,
seperti bayi, mencuba apa saja untuk dimasukkan ke dalam tekaknya.
Sesuatu
yang di luar kelaziman pemakanan kita tidak bermaksud ia turut diamalkan di
tempat lain. Orang Barat tidak menjadikan nasi sebagai menu harian utama tapi di
Asia Tenggara, nasi adalah penyambung nyawa. Sehari dua tanpa nasi, membuatkan
warga Asia menggigil.
Tapi
saya bukan mahu membincangkan perkara-perkara gastronomi di sini. Yang saya
mahu panjangkan adalah soal peluru-peluru sumbang yang dihalakan kepada masharakat
Wuhan seperti Islam telah melarang agar jangan dimakan mahluk yang tidak halal
kecuali di waktu darurat.
Peluru
ini sumbang di mata saya adalah kerana ia sebuah lagi pengIslaman yang terdesak
ke atas orang bukan Islam. Ia cuba membuktikan kebenaran agama yang dianuti seakan-akan
puluhan jutaan tahun yang lalu, koronavirus telah mampu dihidu kemunculannya.
Saya
percaya agama bukanlah wilayah yang rasional. Memang di waktu epidemik
sebegini, saranan agama ini dan itu kedengaran relevan, tapi bukankah Islam
juga kesayuan suaranya semasa orang mempersoal kerelevanan amalan korban? Mengapa
Ibrahim perlu menyembelih Ismail? Meski digantikan dengan kibas, mengapa korban,
(amalan yang turut dijalankan dalam pelbagai agama lain yang dianggap ortodoks
dan barbarik) harus dijalankan juga jika di dalam Quran, Allah berfirman, tidak
akan sampai darah dan daging hatta bulu dan kuku binatang korban melainkan
keikhlasan ibadah?
Menafsirlah
para penganut. Hikmah dingiangkan. Simbolisme dijelaskan. Teks demi teks
disusun agar justifikasi menjadi kukuh.
Hal-hal
makanan di dalam agama memang dititikberatkan kerana ia mempengaruhi
kesejahteraan penganut. Namun, dalam kes koronavirus, masharakat Wuhan bukanlah
orang Islam, jadi kenapa harus ditindihkan gesaan agama Islam kepada mereka
semua?
Jika
ini adalah tentang keperluan memperingatkan seperti saranan surah Al-Asr, saya
juga fikir harus kita mengingati semula bagaimana kerosakan di muka bumi ini disebabkan
tangan manusia itu sendiri baik yang bukan Islam atau yang Islam.
Jika
masharakat Wuhan memasak makanan mereka tanpa api yang cukup panas untuk
mematikan bakteria, daging mereka dihidangkan kotor dan kemudian dimakan mentah
sampai virus menular - wajar kita ingati juga bahawa ayam dan udang yang kita
beli di pasar, disumbat dengan antibiotik dalam jumlah yang tinggi sehinggakan beberapa negara tidak
mengimportnya kerana menakuti kesan jangka panjang darinya.
Padi
dan sayur-sayuran yang kita tanam juga disembur dengan racun perosak yang sangat
membahayakan sehinggakan ia tidak disentuh walau sedikit pun oleh ulat dan
kumbang.
Sungai-sungai
kita yang membekalkan ikan air tawar dicemari oleh aktiviti perlombongan dan pembalakan.
Aktiviti perlombongn bauksit suatu masa dulu membuatkan sebuah daerah di Pahang
tidak ubah seperti panorama di planet Marikh. Bukankah apabila keadaan menjadi
separah itu, sumber makanan; baik tumbuhan atau daging- bakal membahayakan manusia?
Bukankah aktiviti-aktiviti di atas dijalankn oleh orang Islam, jadi mengapakah
tidak mereka menafsir dan memeriksa teks kitab semasa melakukan pekerjaan?
Kita
hanya terngadah setelah terhantuk. Jika koronavirus tersebar kerana amalan
pemakanan masharakat Wuhan yang tidak bersih dan selamat, yang mana haiwan
eksotik ini turut dimakan di tempat lain, tapi tidak mencetuskan wabak kerana
amalan penyediaan dan pemakanan yang berbeza - adakah argumen benda halal benda
haram ini masih valid jika ikan-ikan di sungai Kelantan yang dijala orang ramai
pula yang bermutasi dan menyebarkan virus?
Adakah
valid untuk orang Barat mengatakan antara sebab mereka tidak memakan ikan
seekor penuh seperti yang dilakukan masharakat Asia Tenggara adalah kerana
mereka tahu virus akan datang darinya?
Wabak
adalah peringatan terampuh agar kita merendah diri. Hutan Indonesia dan
Australia yang terbakar memakan korban yang begitu besar. Kita meratib
memikirkan manusia tidak layak berada di dunia ini. Bukankah dengan datangnya
wabak sebegini, doa kita telah terjawab? Bukankah manusia adalah perosak utama
alam yang indah ini, jadi mengapa kita menggeletar dan menuding jari kepada
satu sama lain lagi semasa berhadapan dengannya?
Kita
tidak pernah mampu menundukkan alam. Alam bukan soal pokok dan binatang semata,
tapi juga tentang yang tidak tampak di mata seperti bakteria dan virus yang
melihat perlakuan konyol dan celaka manusia sehari-hari.
Jika
kita tidak belajar untuk bersahabat dan bersimbiosis dengannya, alam tidak
perlu berfikir panjang untuk membasmi populasi manusia. Dari Homo Erectus yang sangat
kekurangan itu sehingga lahirnya Modern Man seperti kita hari ini, alam telah
menjadi penyelenggara spesies manusia agar berupaya hidup panjang, tidak
terhapus.
Sebaliknya
berterima kasih dan saling menjaga, kita melontar batu ke arahnya. Kita mendabik
diri bahawa kita tahu segala perkara. Kita menjadi tamak haloba. Kita cuba menjadi
tuan kepada sesuatu yang tak mampu dipertuankan.
Comments
Post a Comment