Skip to main content

May Day: Perarakan Tiada Henti




Oleh: Lucy M

Saya pernah membaca sebuah sajak berjudul Dongeng Marsinah, karangan penyajak besar, Pak Sapardi. Sajak itu, menurut Pak Sapardi, ialah sajak protes yang paling lama pernah disiapkannya. Mungkin kerana berita kematian Marsinah yang tragis dan juga kemelaratan kisah hidup dan perjuangannya- membuatkan jiwa Pak Sapardi tersiat-siat. Tangannya terketar-ketar barangkali apabila mengenang seorang perempuan yang meminta upah yang layak perlu dihabiskan semacam itu.

Itu cerita Pak Sapardi dan penyanjungannya ke atas kisah martir kelas pekerja, Marsinah. Sudah puluhan tahun berlalu sejak kematian Marsinah dan diharapkan ada perubahan dan keadilan yang akan dibawakan buat para buruh.
Malang beribu kali malang, kisah Marsinah lahir pula di Malaysia. Pada tahun 2016, seorang suri rumah bernama Suyanti ditemui di tepi longkang, bengang tubuhnya dan mukanya- dipercayai kerana didera majikannya.
Pelaku yang membuatkan Suyanti menderita kesakitan di seluruh anggota tubuhnya itu dan akan menjadi trauma sepanjang umur hidupnya ialah majikannya sendiri, seorang Datin yang saya haramkan lidah saya untuk menyebut namanya.

Suyanti tidak cukup nafas apabila ditemui. Melihat tubuhnya dan mukanya saja yang membengkak sehingga bibirnya pecah dan matanya mengecil kerana pipi dan keningnya ungu dan membiru- bakal meruntun hati sesiapa saja yang melihatnya, Barangkali, ketika itu Suyanti sudah meminta untuk dimatikan namun malaikat maut yang turun untuk mencabut nyawanya, tidak mampu menunaikan permintannya kerana bersimpati ke atas apa yang menimpanya.
Apakah sebabnya sehingga Suyanti dilakukan sedemikian rupa tidaklah diketahui. Adakah dia mencuba-cuba memakai tiara milik majikannya? Saya tidak tahu. Adakah dia mencuba-cuba bermain mata dengan suami majikannya? Saya juga tidak tahu. Sungguh, sebabnya tidak disampaikan kepada umum.
Jika kita rasa tersiat-siat membaca berita-berita duka ini, agaknya demikianlah perasaan Pak Sapardi. Setiap kali dia membuka bukunya untuk menulis nama Marsinah- wajah dan tubuh Marsinah yang bengkak dan ditembusi peluru akan merangkak naik ke matanya. Membayangkan situasi yang zalim sebegitu cukup membutakan dan memeritkan.

Kezaliman yang luar biasa ini dan wajib mendatangkan rasa jelik dan jijik buat setiap manusia yang mengaku beriman- tidak berakhir di sini. 10 Februari yang lepas, Adelina Lisao, seorang amah dibunuh oleh ibu majikannya setelah didera berulang kali. Adelina, ditemui dalam keadaan yang sama seperti mana Suyanti ditemui dengan pelbagai kesan lebam dan luka di seluruh badannya. Pendarahan dalaman dipercayai turut berlaku kerana hayunan tangan dan kaki seorang perempuan warga tempatan yang merupakan ibu kepada majikan Adelina mana saya turut haramkan lidah saya dari menyebut namanya juga. Biarlah nama-nama individu celaka ini hilang dari lipatan sejarah.
Saya percaya setiap hari ialah May Day. Saya juga percaya, May Day bukanlah hari merayakan kemenangan tetapi mengukuhkan perjuangan. Ketika hari ini berlangsung, saya percaya- berbanding tidur-tiduran dan wayang-wayangan, sebarang perarakan dan perhimpunan harus dilakukan. Kelas pekerja harus menyatakan tuntutan dan sikap mereka kepada kezaliman-kezaliman yang berlaku ke atasa saudara dan saudari mereka di alam pekerjaan seperti apa yang berlaku ke atas Suyanti dan Adelina. Mereka harus mengecam dan menyelar, bertempik dan menjerit.
Keputusan ini adalah sebuah tindakan yang bacul dan harus dikecam sekerasnya kerana memperlihatkan kerajaan gagal menjadi orang tengah untuk mencari kata putus yang adil dan sewajarnya buat kaum pekerja melainkan lebih cenderung menuruti kehendak para pemodal dan korporasi gergasi yang mahu menjimatkan kos dan menjaga keuntungan semata.

Suyanti dan Adelina, tidak diketahui lagi, apakah motif penderaan mereka. Apakah kerana mereka meminta gaji yang lebih layak? Cuti yang lebih banyak? Waktu rehat yang lebih mencukupi? Kita meneka-neka apa sebabnya tetapi jika benar mereka didera kerana permintaan-permintaan di atas, maka kesakitan mereka ini harus dikongsi bersama oleh seluruh kelas pekerja. Kesakitan ini harus dingiangkan ketika May Day berlangsung.
Upah yang layak, yang bermaruah adalah hak untuk setiap pekerja yang bekerja sesungguhnya apatah lagi jika mereka ialah para amah yang tidak mempunyai tempoh bekerja yang ditetapkan oleh mana-mana lembaga melainkan majikan mereka sendiri. Mereka juga tidak mempunyai kesatuan dan sering tersisih dalam mana-mana gerakan, Merekalah yang paling mudah dieksploit kerana tidak dianggap sebagai mengerjakan suatu bentuk pekerjaan yang sah.
Namun, penafian ke atas upah yang layak ini tidak dialami oleh Marsinah, Suyanti dan Adelina sahaja kerana kerajaan Pakatan Harapan telah pun memutuskan tiada peningkatan gaji minimum sehinggalah bulan Ogos tahun 2020 meskipun setahun yang lepas, cadangan gaji minima RM1500 yang diajukan oleh kesatuan-kesatuan sekerja tempatan telah pun dikurangkan kepada RM1100 sahaja, sebelum dinyatakan sebagai satu tingkat gaji yang terlalu tinggi untuk beberapa sektor.
Jika negara perlukan pelabur, maka pelabur perlukan pekerja. Logiikanya, kaum pekerjalah asas kepada perkembangan di mana-mana kawasan sekalipun kerana melalui kudrat mereka, tanah yang tandus menjadi subur, kota yang kecil menjadi besar.

Untuk tahun 2018 dan 2019, beberapa siri mogok umum dan piket dijalankan oleh para pekerja yang terdiri dari warga asing dan juga warga tempatan di sektor yang berlainan kerana isu gaji yang tertunggak sehingga berbulan-bulan lamanya. Isu kontrak pekerja yang ditamatkan tanpa pemberitahuan awal dan juga bagaimana sistem pekerjaan kontrak semakin menjadi pilihan utama untuk para pelabur di Malaysia dan direstui oleh pihak kerajaan- membuatkan kualiti hidup kelas pekerja di Malaysia semakin merudum dan merosot yang mana akan memberi kesan ke atas kualiti pekerjaan mereka juga.
Tidak semua kelas pekerja didera secara langsung oleh majikan mereka namun itu tidak sesekali bermaksud, kadar upah yang statik adalah lebih baik berbanding kekerasan majikan secara terus. Kedua-duanya sama bacul. Harus ditentang dan diubah.
Cerita lama di mana negara perlukan pelabur untuk berkembang dan kerana itu tingkat gaji yang sentiasa berubah setiap tahun adalah satu bentuk fear mongering. Naratif sebegini boleh dicipta sesuka hati untuk menyantuni dan menjaga kepentingan pihak tertentu.

Pihak kerajaan seharusnya menyedari bahawa kos hidup semakin meningkat setiap tahun dan kerana itu tuntutan dan desakan untuk upah yang lebih bermaruah- yang bermaksud lebih relevan dan manusiawi, dilakukan dari masa ke semasa. Untuk itu, mereka harus lebih adil dan lebih bijak dalam merespon keresahan yang sedang berlaku dan tidak pula menjadi rakan karib kaum pemodal. JIka kepentingan mereka tidak disantuni dan dihormati- ia adalah sebuah tindakan biadab.
Marsinah tidak mati sia-sia selain untuk memerdekakan kaum pekerja.
Jadi, pada May Day kali ini dan pada tahun-tahun yang akan datang- haruslah setiap tuntutan dan desakan untuk meningkatkan kualiti hidup kelas pekerja diangkat dan ditayangkan. Kelas pekerja tidak harus menunduk dan begitu lekas selesa dan terbuai dengan apa yang mereka telah kecapi. Harus kita mengatakan ya untuk kadar gaji yang lebih bermaruah, ya untuk hak keselamatan kepada setiap pekerja tanpa mengira agama, bangsa, jantina, seksualitas dan warganefara dan ya untuk hak serta kebebasan menubuhkan kesatuan sekerja. Harus kita mengatakan tidak untuk mana-mana penafian ke atas tuntutan di atas.
Dan, lagi penting, wajib dan lagilah harus kita mengatakan tidak untuk mana-mana lagi pusingan U yang akan dibuat kerajaan.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang