Skip to main content

Falasi Ideologi Kanan Ayman Rasydan (Bahagian 2)


Oleh: Pencinta Wollstonecraft

Kalau pada bahagian pertama kita sama-sama menyelami falasi penulis esei ‘Falsafah Politik Konservatisme’ (FalPoK) dari segi pendekatan analisis Revolusi Perancis serta hujah-hujah substantifnya yang lain, dalam bahagian kedua ini kita akan membedah pula nasib fatal Robespierre, persoalan-persoalan penulis mengenai revolusi serta renungan-renungan penulis mengenai konservatisme, terutamanya sebab-sebab penentangannya terhadap politik Kiri (yang dia labelkan radikalisme - sekali lagi, muslihat istilah yang amat janggal. Kanan tiada radikalisme? Mahu saya sebut?).

Sebelum itu, mari kita menyudahkan kritikan-kritikan Burke terhadap revolusi. Pertama, penulis ada menyebutkan serangan revolusioner terhadap institusi tradisional adalah tidak wajar kerana ianya “wujud bersebab”. Pada saya - kalaupun kita menerima hujah ini - ia adalah seperti kata dulang paku serpih. Kerana apa? Kerana penulis sendiri gagal menjustifikasikan pendirian “wujud bersebab” tradisi ini. Apa sebab-sebab itu, sehingga ia lebih penting berbanding nasib rakyat yang ditindas dan diperleceh? Nampak tidak, betapa tidak wajarnya kewujudan tradisi monarki mutlak yang penulis sangat bela ini? Di samping itu, penulis juga ada menulis mengenai “kebijaksanaan berkurun-kurun”. Ini juga suatu perkataan “fancy” yang melindungi konsep divine rights of Kings, sama ada versi Robert Filmer dalam Patriarcha; or the Natural Power of Kings, James IV of Scotland dalam The True Law of Free Monarchy dan Basilikon Doron, atau kultus Imperial Roman Prinsipat of Augustus.

Selanjutnya, penulis mengungkit kepentingan Raja sebagai simbol perpaduan. Saya belum dapat menemukan mana-mana sumber kepada dakwaan ini. Akan tetapi, menurut saya, kegagalan Louis XVI lah yang menyebabkan rakyat bercerakin kepada kelas sosioekonomi yang sangat senjang, menyebabkan perpaduan suatu fantasi. Kalaupun ia benar, para revolusioner sememangnya dari awal bersetuju. Mereka tidak berhajat menghapuskan sistem beraja pun, namun memulihkannya, menjadikannya lebih baik dengan Raja Berperlembagaan England sebagai inspirasi. Bukankah juga Raja Berpelembagaan wujud seketika pasca Revolusi oleh golongan perevolusi?

Seperti idea lain, gagasan Burke berkenaan Konservatisme bukan tanpa kritikan bagus. Wollstonecraft menulis A Vindication of the Rights of Men pada 1790, manakala Thomas Paine menghasilkan Rights of Man setahun selepas itu. Antara lainnya, mereka percaya bahawa manusia harus dinilai dari usaha dan merit, bukan warisan dan hak sejak lahir. Di samping itu, Alfred Cobban, ahli sejarah Revolusi Perancis konservatif terhormat mencatatkan dalam Aspects of the French Revolution, penilaiannya terhadap penulisan Burke sebagai tidak lengkap dan memesongkan. Sewaktu berhadapan kesan Zaman Pencerahan, Burke dilihat menentang keras debat rasional yang berterusan kerana baginya ia boleh mencetus kebangkitan anarkisme.



Pemahsyuran patung Robespierre oleh Russian Soviet Federative Socialist Republic.

Antara babak paling menarik penulisan FalPoK ini adalah pertanyaan mengenai kegagalan revolusi. Sebenarnya, kegagalan revolusi tidak harus disangkutkan kepada idea pembebasan dan tuntutan keadilan kelas ekonomi itu sendiri, namun kepada sang pelaksana yang tidak berkredibiliti: Maximillian Robespierre. Dia goyah dan paranoid. Konviksinya lembik, tindakannya liar dan angkuh. Ditambah dengan tekanan konflik politik melalui War of the First Coalition dan War of Vendee, Robespierre ditakdirkan gagal. Menulis Hippolyte Taine dalam Origins of Contemporary France (1876 - 1885), bahawa polisi Robespierre memindahkan kuasa daripada divinely chosen aristocracy kepada elit “yang tercerahkan” namun tak berhati perut, lebih cela dan zalim. Kalaulah Robespierre teguh kepada idealisme revolusi seperti saranan Desmoulins, mungkin sekali kerajaan lebih luhur dan demokratik dapat dibentuk.



Leopold II of Austria

Tekanan dari luar, khususnya oleh golongan konservatif diraja Eropah (crowned heads of Europe) turut memuncak. Charles Messenger dalam Wars That Changed The World, mencatatkan bagaimana Revolusi Perancis juga telah menghantar kengerian kepada raja-raja Eropah. Kenapa? Kerana buat julung-julung kalinya, rakyat mempersoal mandat Ilahiyah yang buat sekian lama menjadi sumber kuasa, takhta dan kedaulatan mereka. Raja Frederick William II of Prussia dan Maharaja Leopold II of Austria mengiystiharkan mereka telah siap sedia membantu memulihkan kuasa Louis XVI ke takhtanya, dan mengajak raja-raja Eropah lain untuk turut sama membantu. Messenger menambah, pada awal 1792, persekutuan diraja ini mula mengumpul kekuatan, memaksa kerajaan revolusioner ketika itu yang berada di bawah Robespierre untuk memukul semboyan perang. Hasilnya, Austria dan Prussia berjaya dihalau. Perancis Baharu yang baru dilahirkan, terselamat dari penaklukan baharu.

Pergi kepada poin penulis yang berikutnya, yakni penilaiannya mengenai sifat-sifat revolusi. Beliau mengatakan “perubahan radikal memansuhkan peraturan serta institusi tradisional” dan “revolusi pembuka kesumat”. Bahkan, beliau menyenaraikan tiga contoh lain revolusi berdarah yang gagal dalam sejarah. Pada saya, perubahan radikal bukan sekadar memansuhkan peraturan lama, malah memansuhkan tradisi yang sudah ketinggalan zaman, bahkan menzalimi manusia. Misalnya, di bawah peraturan lama, perhambaan adalah sah di sisi undang-undang, keistimewaan golongan bangsawan dilindungi dan rakyat tidak mempunyai jalan untuk menyuarakan keresahan mereka, khususnya mengenai hal hak asasi. Revolusi Perancis juga telah menjadi dasar Perlembagaan 1791 yang antara lainnya, mengesahkan kebebasan rakyat untuk hidup, bersuara, serta keadilan berhadapan undang-undang tanpa mengira kasta. Revolusi juga meningkatkan penglibatan wanita dalam perihal negara, menghapuskan perhambaan, sistem kelas sosial culas dan mempercepat perubahan sosial Eropah, khususnya dalam penyebaran demokrasi.

Mengenai senarai revolusi yang gagal, saya kira ini permainan stigma yang leceh. Marilah kita lihat pula senarai revolusi aman yang telah berjaya dalam sejarah dunia. Kita ada Revolusi Glorious 1688 di United Kingdom, Revolusi Kuasa Rakyat 1986 di Filipina, Revolusi Friedliche 1986 di Jerman, Prazska Jar 1968 di Prague, Revolusi Dos Cravos 1974 di Portugal, Revolusi Mongolia 1990, Revolusi al-Fateh 1969 di Libya, Revolusi Mawar 2003 di Georgia, Revolusi Jingga 2004 di Ukraine, Thawrat al-Arz 2005 di Lubnan, dan banyak lagi. Adakah revolusi-revolusi ini tidak cukup?



Mogok lapar dalam Revolusi Monggol 1990

Pergi kepada hujah apologetik penulis FalPoK mengenai konservatisme, saya tidak boleh menahan daripada berkerut hairan. Dakwaan-dakwaan sang pemegang pena bukan kepalang aristokratik. “Konservatisme tidak menentang perubahan” dan berhajat “memulihara tradisi”. Tambahnya lagi, “perubahan harus dilakukan dalam kerangka mesra masyarakat”. Semua ini adalah tindakan cuci tangan, selepas dia berusaha membela monarkisme mutlak Perancis yang kita sudah sedia maklum, penuh korupsi, nepotisme, autoritarian dan tidak boleh dipersoalkan. Untuk itu, kita gandingkan semula pandangan penulis mengenai konservatisme dengan Revolusi.

Bagi saya, pendekatan perubahan gradual boleh terpakai dalam suasana suara rakyat boleh didengar dan dibahaskan. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan pemerintah membuka pintu dialog dan kewarasan. Namun, di bawah monarki mutlak, bagaimana pendekatan gradualisme boleh menyelesaikan konflik kebuluran, ketidakadilan serta ketiadaan daulat yang rakyat deritai, apabila kedaulatan itu ada pada Raja sahaja? Kita boleh menyoal lebih lanjut, perubahan dalam kerangka mesra rakyat bagaimana yang membolehkan rakyat mendapat akses kepada makanan ruji (roti) yang tidak membebankan, jika Raja bersikap membela bangsawan, bukan jelata? Tidak cukup begitu, dengan ini kita melihat bahawa usaha menggunapakai naratif kesan buruk Revolusi Perancis demi mengukuhkan pegangan konservatisme adalah anakronistik.  Akhirnya, nyatalah, perubahan yang boleh diterima rakyat sebenarnya adalah penyelindungan usaha mengekalkan kedudukan golongan aristokrat nan keparat.



Aslan bukan seorang gradualis.

Sikap apologetik penulis disambung dalam perenggan selanjutnya. Kali ini, saya melihat retoriknya sangat tebal, ia mengaburi pandangan matanya sendiri sehingga ia melakukan tiga falasi dahsyat dalam dua perenggan berturutan! Penulis mengatakan setiap negara ada caranya, namun mengambil naratif negara yang tidak setara dengan negaranya. Itu pertama. Kedua, beliau melarang pemaksaan konteks dan tradisi, sedangkan Louis XVI membelanjakan harta negara bukan pada konteks rakyat, dan Burke, sang elit politik selesa, mengkritik bukan pada konteks rakyat kelas bawahan.

Pada hemat saya pula tradisi dan kebijaksanaan berkurun saja tidak boleh dijadikan sandaran merubah kehidupan rakyat. Ia membawa nada mempersenda Rakyat sebagai tidak mempunyai kebijaksanaan berkurun mereka sendiri. Selain itu, kalau kita mahu bercakap pasal konteks dan kebijaksanaan berkurun, bukankah kedua-dua inilah yang menyebabkan Perancis jatuh ke dalam kancah masalah hutang, sekaligus mencanai sentimen revolusi? Saya juga mempersoalkan, andainya konservatisme menerima perubahan, maka kebijaksanaan berkurun - tidak dapat tidak - perlu berubah seiring zaman. Dalam konteks Perancis pra-Revolusi, siapa yang menentukan kebijaksanaan berkurun tersebut perlu diubah, sedangkan rakyat tidak memiliki ruang bicara?

Falasi ketiga, penulis cuba menggunakan metafora untuk menggambarkan keadaan sesebuah masyarakat. Perumpamaan pokok ini adalah eksperimen mental yang melucukan. Saya bertanya: dalam analogi ini, di mana Raja yang culas? Di mana golongan bangsawan yang menumpuk kekayaan negara, sedangkan kebuluran menjadi fenomena? Di mana dasar-dasar yang menyebabkan kedua-dua hal ini berlaku? Ranting tidak sama boleh disamakan dengan Raja dalam simbolik ini, kerana dalam monarki, Raja adalah punca kuasa. Kalau batangnya buruk, maka cantaslah rantingnya berkurun lama manapun, ia tetap akan buruk. Batang itu harus dikapak.



Mary Wollstonecraft, penyokong Revolusi Perancis di England. Buah hati saya.

Mengenai pendapatnya yang menolak orang politik mentah, tidak berpengalaman dan nominal, saya setuju bahawa sesebuah negara wajib mempunyai ahli politik matang dan dapat mendalami kemelaratan rakyat. Dalam konteks perbahasan kita, Burke bercerita bukan sebagai apologetik rakyat, namun apologetik konservatisme. Lawan Burke pula, seorang wanita kelas pertengahan bernama Wollstonecraft yang menulis A Vindication of the Rights of Men. Untuk berlaku jujur, pada saya, Revolusi Perancis adalah salah sekiranya rakyat sediakala bahagia dan gembira. Masalahnya, yang mempertaruhkan nasib rakyat adalah Louis XVI sendiri, sewaktu ia membelanjakan separuh bajet kerajaan untuk membantu Revolusi Amerika dan Empayar Mughal.

Naratif sebenar revolusi dari kaca mata orang kebanyakan adalah ianya bukan perjudian nasib, kerana status rakyat sebelum Revolusi adalah derita, kelaparan dan keterbatasan suara. Pendek kata, sebelum revolusi, rakyat memang sudah kehilangan segala-galanya. Lagi, perbuatan penulis yang seolah-olah menisbahkan “kaedah cuba jaya” kepada golongan Kiri saja tidak tepat. Polisi Perang Iraq adalah cuba-jaya menghapus keganasan dan polisi perang Bashar Assad yang mengorbankan 400,000 nyawa adalah cuba jaya mengembalikan semangat Baathis. Kedua-dua cuba jaya ini didalangi oleh pihak Kanan dan konservatif. Atau saya tinggal di semesta berbeza?

Sebelum saya menutup esei ini, perlu kiranya saya menjelaskan sekali lagi, bahawa Pencinta Wollstonecraft adalah seorang relativis etik, neutralis, pendeknya seorang yang beraspirasi menjadi ahli kaji sosial. Penyataan saya ini mempunyai tiga insinuasi: 1) saya terpaksa untuk tidak berpihak (Kiri-Kanan, Liberalis-Konservatif), demi menjaga kejernihan pandangan saya, dengan tidak menolak terdapat bias dalam isu-isu tertentu, 2) sebagai seorang yang dahulunya datang daripada latarbelakang konservatisme, saya mengharapkan agar pihak seberang lebih jujur dalam membela pandangan politik mereka, kerana percayalah, konservatisme dekat dengan hati saya, dan 3) saya mengharapkan perbahasan sebegini berterusan, demi memberi lebih banyak polemik buat masyarakat santapi, sekaligus memperluas nuansa demokrasi.

Dan, demi menolak retorik terakhir penulis, saya katakan ini: kebijaksanaan berkurun di bawah monarki absolut tidak akan pernah lebih baik berbanding janji-janji ahli politik dalam suasana demokratik; kerana yang pertama itu tidak boleh dibahaskan, manakala yang kedua itu sentiasa boleh dicerap dan didebatkan di pentas demokratik.

Semoga hujah saya jelas. Atau perlu lukis?

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang