Oleh: Chi Atman
Kita
kini sedang menghayati sebuah dunia di mana kekayaan sedang diciptakan pada
kadar yang tidak dapat dibayangkan oleh generasi-generasi dahulu.
Kejayaan-kejayaan teknologi, seperti kejuruteraan genetik dan dunia Internet,
sedang berkembang dengan pesat. Semua ini, kita diberitahu, adalah hasil
daripada kejayaan sistem kapitalis. Menurut penyokong-penyokong sistem
kapitalis di merata dunia, sistem inilah yang telah membolehkan umat manusia
mencapai tahap kemajuan yang tinggi, lantas menjadikan sistem kapitalis sebuah
sistem sempurna, yang tidak lagi dapat diubahkan.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa buat kali pertama dalam sejarah dunia, kita
mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memuaskan keperluan-keperluan setiap
insan di dunia. Namun, apa yang tidak dikatakan oleh penyokong-penyokong
kapitalisme itu adalah bahawa berjuta-juta orang masih mengalami kebuluran,
berjuta-juta orang masih mengalami penyakit yang mudah dicegah, kehidupan
berjuta-juta orang masih dikecewakan oleh kemiskinan. Masyarakat kita, iaitu
masyarakat kapitalis, dikuasai oleh ketidak-samarataan dan ketidak-adilan,
sambil kehidupan kita semua diancam oleh krisis ekonomi dan konflik bersenjata.
Pada masa apabila sistem kapitalisme masih muda, Karl Marx sudah melihat
percanggahan-percanggahan ini dengan jelas, lalu menulis:
Dalam
satu tangan, kuasa-kuasa perindustrian dan saintifik telah memasuki kehidupan,
yang mana-mana zaman sejarah manusia lalu tidak pernah mengharapkan. Dalam
tangan sebelah wujudnya ciri-ciri kereputan, yang jauh melintasi kengerian
Empayar Rom. Pada hari-hari ini, semuanya seolah-olah hamil dengan
percanggahannya. Jentera, dihadiahkan dengan kuasa memendekkan dan meringankan
usaha manusia, kita melihat melaparkan dan membebankan manusia. Sumber-sumber
kekayaan luas, oleh sesuatu keajaiban luarbiasa, diubahkan menjadi punca-punca
keperluan.
Di
sebalik perbincangan-perbincangan seperti ini, terdapat satu persoalan asas,
iaitu apakah sebenarnya sistem kapitalis? Apakah ciri-ciri asas sistem
tersebut, dan apakah kesan daripada ciri-ciri tersebut? Pada pandangan pertama,
jawapan kepada soalan-soalan seperti ini mungkin dikatakan ringkas. Bukankah
sistem kapitalis sebuah sistem di mana beberapa individu yang kaya memiliki
kilang-kilang, pejabat-pejabat dan perusahaan-perusahaan yang lain? Bukankah
pihak kapitalis menyokong pasaran bebas, tanpa apa-apa perancangan terpusat?
Namun, dewasa kini, persoalan-persoalan tersebut tidak dapat ditangani dengan
begitu mudah. Misalnya, kebanyakan perusahaan gergasi kini tidak lagi dimiliki
oleh seorang individu, tetapi mungkin digerakkan oleh pejabat perusahaan atau
kerajaan negara. Walau apapun perbezaan-perbezaan ini, yang jelas adalah bahawa
para pekerja dan golongan bawahan terus dieksploitasi dan ditindas di bawah
sistem kapitalis ini.
Maka,
erti kapitalisme perlulah dikaji dengam menyeluruh dan disesuaikan dengan
perkembangan ekonomi mutakhir. Dari segi ini, kajian Karl Marx terhadap sistem
kapitalis sangatlah penting, kerana, dalam kata-kata Georg Lukacs, teori Marx,
“meleburkan wajah pertubuhan-pertubuhan sosial yang kaku, tidak bersejarah dan
semulajadi; ia mendedahkan punca-punca bersejarah mereka dan maka menunjukkan
bahawa ianya tertakluk kepada sejarah dari setiap segi termasuk kemunduran
bersejarah.” Marx telah menunjukkan bahawa tindakan manusia pada masa yang lalu
telah menciptakan dunia moden, bahkan juga bahawa tindakan manusia dapat
membentukkan masa depan yang bebas dari percanggahan-percanggahan kapitalisme.
Berhadapan
dengan pendekatan ini, kita perlulah terlebih dahulu mengkaji sejarah sistem
kapitalis untuk mengenalpasti ciri-cirinya. Sebelum bangkitnya sistem
kapitalis, iaitu semasa wujudnya sistem feudal, manusia belum lagi memajukan
cara-cara untuk menguasai dunia semulajadi, atau untuk menghasilkan barangan
yang mencukupi bagi setiap insan. Marx telah menulis bahawa kesemua
hubungan-hubungan sosial dalam sistem feudal “diikat kepada tahap perkembangan
kuasa-kuasa produktif dan tenaga pekerja yang rendah serta hubungan-hubungan
terhad di antara manusia dan proses menciptakan dan menghasilkan semula
kehidupan materialis mereka, dan maka juga hubungan-hubungan terhad di antara
manusia dan alam.”
Dalam
sistem feudal, tanah merupakan sumber pengeluaran. Inilah yang dimaksudkan oleh
Marx apabila dia menulis bahawa “Dalam permilikan tanah feudal, kita sudah
menjumpai penguasaan tanah sebagai kuasa sesuatu yang asing ke atas manusia.
Hamba serf adalah sampingan kepada tanah. Serupa dengan itu, pewaris melalui
sistem pewarisan feudal, iaitu anak lelaki sulung, dimiliki oleh tanah. Ia
mewarisi dia.” Dalam satu tangan, tahap kuasa-kuasa produktif yang rendah
bermakna usaha berterusan bagi golongan petani, sambil dalam tangan sebelah,
tuan-tuan feudal dan pegawai-pegawai gereja mengambil apa yang mereka
menghendaki dari petani dengan kekuasaan.
Hubungan-hubungan
sosial dalam masyarakat feudal merupakan hubungan-hubungan penguasaan dan
penaklukan, tetapi ia sudah jelasnya merupakan hubungan-hubungan sosial di
antara individu-individu. Dari segi ini, batasan-batasan feudalisme sangatlah
berbeza daripada dinamik kapitalisme. Pihak borjuasi muda menginginkan sebuah
masyarakat di mana segalanya dapat dijual-beli dengan duit. Sebuah masyarakat
seperti itu sudah pasti bergantung kepada pembatasan-pembatasan tanah bersama
dengan kejam. Ini bermakna bahawa, buat kali pertama dalam sejarah manusia,
majoriti masyarakat dinafikan jalan secara langsung kepada pengeluaran dan
cara-cara menciptakan kekayaan. Maka, pada abad ke-17 dan ke-18 di Eropah,
sebuah kelas pekerja yang tidak memiliki tanah telah ditaklukkan kepada bentuk
pengeksploitasian yang baru, iaitu pekerjaan bergaji.
Pendek
kata, kapitalisme melibatkan perubahan asas dalam hubungan-hubungan di antara
manusia, peralatan-peralatan pengeluaran dan bahan-bahan pengeluaran.” Oleh
kerana perubahan-perubahan asas ini, setiap aspek kehidupan manusia telah
diubah. Namun, perubahan-perubahan ini hanya dapat dilaksanakan melalui apa
yang Peter Linebaugh telah menamakan ‘serangan-serangan perundangan’ pada
hujung abad ke-18 untuk memperdayakan kelas pekerja bahawa apa yang mereka
menghasilkan sebenarnya dimiliki oleh pihak kapitalis yang memiliki
kilang-kilang. Menjelang abad ke-19, pekerjaan bergaji telah menggantikan
kesemua bentuk pembayaran yang lain di Eropah.
Kajian
Marx terhadap sistem kapitalis muda pada abad ke-19 menunjukkan bagaimana
tenaga pekerja telah menjadi sebuah komoditi, yang dapat dijual-beli pada
pasaran. Pihak kapitalis dan para pekerja mungkin bebas dari satu sama lain
dari mana-mana segi rasmi, tetapi dalam realiti mereka berkait rapat.
Pengeluaran barangan tidak lagi berlaku di rumah atau bengkel-bengkel kecil
(seperti dalam sistem feudal), tetapi kini berlaku di kilang-kilang baru di
mana mekanisasi tenaga pekerja telah mengubah hubungan-hubungan manusia. Dalam
karyanya yang terpenting, iaitu Kapital, Marx membandingkan usaha tukang-tukang
kraf di bawah sistem feudal dengan pekerja kilang di bawah sistem kapitalis:
Dalam
kraftangan dan pengeluaran, para pekerja menggunakan peralatan; di kilang,
jentera menggunakan pekerja. Di sana, gerak-geri peralatan tenaga pekerja
bergerak baginya, di sini ia adalah gerak-geri jentera yang mesti mengikutinya.
Dalam pengeluaran, para pekerja adalah sebahagian daripada mekanisme hidup.
Dalam kilang, kita mempunyai mekanisme tanpa kehidupan yang asing daripada
pekerja, yang hanya menjadi sampingan hidup.
Salah
satu ciri kapitalisme yang paling membinasakan merupakan pembahagian tenaga
pekerja. Sebelum kapitalisme, memang terdapatnya pembahagian tenaga pekerja
secara sosial, dengan orang-orang berbeza terlibat dalam cabang-cabang
pengeluaran atau kraf yang berbeza. Dengan kapitalisme telah bangkitnya
pembahagian tenaga pekerja secara terperinci dalam setiap cabang pengeluaran.
Pembahagian tenaga pekerja ini bermakna bahawa pekerja terpaksa menjadi khusus
dalam tugas-tugas tertentu. Maka, tidak menghairankanlah bahawa John Ruskin
pernah menulis bahawa pembahagian tenaga pekerja adalah ungkapan palsu kerana
ia adalah manusia yang dibahagikan.
Dalam
sistem kapitalis, para pekerja semakin bergantung kepada pihak kapitalis yang
memiliki cara-cara pengeluaran seperti kilang-kilang dan pejabat-pejabat. Ia
menjadi semakin mustahil bagi pekerja untuk hidup secara bebas daripada
kapitalisme – jika dia bekerja, dia menjadi ibarat sebuah jentera; jika dia tidak
bekerja, dia akan hidup dalam kemiskinan. Marx menulis mengenai para pekerja:
“Kewujudan kapital adalah kewujudannya, kehidupannya, kerana ia menentukan
kandungan kehidupannya dalam cara yang tidak mempedulikannya.” Pendek kata,
para pekerja tidak mempunyai pilihan – bersedia bekerja atau bersedia mengalami
kemiskinan. Maka, di bawah kapitalisme, tenaga pekerja menjadi tenaga pekerja
yang dipaksa kerana para pekerja tidak dapat memilih untuk tidak bekerja, para
pekerja tidak memiliki apa yang diciptakan oleh mereka dan para pekerja tidak
dapat memilih apa yang patut diciptakan. Marx menulis:
… 'pekerja hanya merasai dirinya apabila tidak bekerja; apabila dia bekerja, dia tidak merasai dirinya. Dia berasa selesa apabila tidak bekerja, dan bukannya di rumah apabila dia bekerja. Maka usahanya bukan secara sukarela tetapi dipaksa, ia adalah tenaga pekerja dipaksa. Maka, ia bukan kepuasaan sesuatu keperluan, tetapi hanya cara untuk memuaskan keperluan tersebut secara asing daripadanya. Sifat asingnya ditunjukkan dengan jelas oleh fakta bahawa sesudah apa-apa fizikal atau pemaksaan lain wujud, ia dipulaukan seperti wabak penyakit'
Di
sini, kita dapat merumuskan perbincangan di atas dengan kata-kata berikut. Marx
sebenarnya tidak menganggap permilikan alat-alat atau cara-cara pengeluaran
oleh individu sebagai masalah utama kapitalisme. Dalam kajiannya ke atas sistem
tersebut, yang menjadi jelas adalah bahawa dia menolak situasi di mana
cara-cara pengeluaran dikuasai oleh sebuah minoriti (iaitu kelas kapitalis atau
borjuasi), dengan tujuan mengeksploitasi majoriti (iaitu kelas pekerja).
Pengeksploitasian ini dapat mengambil pelbagai bentuk dalam hubungan-hubungan
sosial di antara manusia. Seperti yang telah dikatakan di atas, para pekerja
tidak memiliki cara-cara pengeluaran, dan terpaksa menjual satu-satunya
komoditi yang dimiliki mereka, iaitu tenaga pekerja mereka. Inilah satu sebab
mengapa kemungkinan untuk merancangkan jalan-jalan ekonomi demi kepentingan
masyarakat umum tidak dapat bangkit dalam keadaan seperti ini.
Tambahan
pula, setiap kapitalis didorong untuk bersaing demi memajukan perusahaannya
sambil mengorbankan orang yang lain. Marx telah melaungkan: “Akumulasi!
Akumulasi! Itulah nabi-nabi baginya.” Ini bermakna bahawa kapitalis yang kuat
memakan kapitalis yang lemah, dan bahawa sistem kapitalis akan merosot dengan
dramatik apabila mengalami krisis ekonomi.
Sejak
abad ke-19, sistem kapitalis ini telah menyebar ke setiap penjuru dunia, dan
mungkin tidak terdapatnya negara yang bebas daripada cengkamannya. Inilah sebab
utama mengapa kajian Marx sangatlah relevan dan penting pada hari ini.
Cara-cara pengeluaran masih dikuasai oleh golongan minoriti, biarpun di sebuah
negara membangun seperti Malaysia atau sebuah negara maju seperti Amerika
Syarikat. Walaupun bentuk persaingan kapitalis mungkin berbeza dari satu tempat
ke tempat yang lain, hasilnya sentiasa sama: “Akumulasi! Akumulasi! Itulah
nabi-nabi baginya.” Dan para pekerjalah yang menjadi mangsa.
Maka,
apa yang dapat dilakukan? Kajian Marx juga telah mengenalpasti kelas pekerja
sebagai unsur yang dapat menumbangkan sistem kapitalis dan mengubah masyarakat.
Walaupun pihak borjuasi atau kelas pemerintah dapat menggunakan penguasaan
mereka ke atas ekonomi untuk menguasai kancah politik melalui kerajaan, tentera
dan polis, kejayaan sistem mereka juga mewujudkan sebuah kelas yang mempunyai
kuasa untuk membebaskan seluruh umat manusia – iaitu kelas pekerja. Kelas
pekerja ini tidak mengenali warna kulit, jantina, orientasi seksual, mahupun
sempadan negara. Hanya kelas pekerja sendiri yang dapat membina sebuah
masyarakat tanpa keperluan dan tanpa diktator kerana kelas pekerja sememangnya
berbeza daripada kelas-kelas yang lain. Kini terdapatnya beratus-ratus juta
pekerja dan jumlah mereka semakin meningkat setiap hari. Kerana kapitalisme
merupakan sistem antarabangsa, ia terus mengembang dan mengerjakan mereka yang
suatu hari nanti akan memusnahkan sistem kapitalis itu.
Kemampuan
unik kelas pekerja untuk mengubah dunia berpunca dari kedudukan kelas tersebut
dalam sistem kapitalisme. Secara asasnya, kapitalisme menarik penduduk dari
desa dan menghimpunkan mereka di tempat-tempat bekerja yang besar. Maka, para
pekerja mendapati bahawa mereka telah menjadi sebahagian daripada unit yang
melibatkan beratus-ratus atau beribu-ribu orang. Untuk mencapai pembaikan dalam
keadaan mereka, para pekerja perlulah bertindak secara kolektif, dengan
melibatkan rakan-rakan sekerja mereka. Untuk mengubah dunia, kelas pekerja
perlulah bersatu di bawah panji-panji demokratik lagi sosialis.
Comments
Post a Comment