"Sentimen kebangsaan, imperatif kuasa dan pelbagai kepentingan boleh dengan mudah mengaburi mata intelektual, sama ada menjadikan mereka apologis rejim yang zalim atau menjadi minda upahan kelompok yang bergerak untuk mencapai agenda tersendiri di mana-mana pihak.
"..Kejujuran intelektual amat mudah disebut, sama mudahnya dengan seseorang intelektual tergelincir dari jalan yang benar kerana pelbagai faktor, daripada ego peribadi hingga kepada kepentingan-kepentingan lain."
(Haris Zalkapli dalam Politik Pop pada esei, Intelektual, Politik dan Minda Upahan)
Ada banyak hal yang perlu dilakukan sekarang. Di ranah yang kekeringan aktivis, ketandusan idea, intelektual yang tidak mahu turun bekerja dan oportunis yang membiak sebanyak-banyaknya, kerja menjadi sangat banyak. Tetapi hal ini jika tidak ditulis, ia akan membiak dan mewabak tanpa henti. Maka tidak dapat tidak, hal mustahak sebegini haruslah dipukul.
Penulis pelacur dan sarjana upahan sebegini sangat handal menyembunyikan kedok atau kepalsuan mereka. Mereka bersembunyi di sebalik jargon-jargon bombastik, atau perkataan-perkataan yang di-italikkan- atau istilah Greek, cerita-cerita Yunani, Perang Tiga Negara dan pelbagai lagi, tujuannya untuk melegitimasikan surah-surah kepalsuan yang hendak dikisahkan. Keluasan mereka membaca tidak dinafikan, dalam masa yang sama pengetahuan mereka itu berbalik menjadi fitnah dan tipudaya yang mereka lemparkan kepada masyarakat. Mereka seperti ulama’-ulama’ yang mencari makan dengan nama agama, nak pro ke mana sahaja mereka bisa, kerana mereka mempunyai segudang atau bergudang-gudang ilmu pengetahuan dan seni retorika untuk mengabui mata masyarakat. Inilah definisi kepada penulis pelacur -sarjana upahan .
Dalam buku Tumit Achilles, Khalid
Jaafar tak ubahnya sama seperti Hisyam Rais, tak ubahnya sama seperti Faisal Tehrani,
iaitu sarjana upahan. Saya pernah membaca sehingga habis Tumit Achiles. Dan
berhasrat untuk mengulanginya lagi sebelum ini. Dalam buku
"monumental" Khalid Jaafar itu, berkali-kali ia memukul Mahathir
ibaratnya Mahathir itu tak guna satu sen pun dan sampah belaka. Khalid Jaafar
langsung mengangkat Anwar bak dewa Zeus. Saya akan sertakan kepilan-kepilan
tulisan beliau dalam penyanjungan dan penghinaan berlebihan terhadap Anwar dan
Mahathir dalam edisi editan kemudian. Saya tak sempat mencari bukunya sekarang.
Lebih hina Khalid Jaafar atau biasa
disebut Pak Khalid oleh teman-teman liberalnya adalah tiadanya kesetiaan pada
ideologi. Inilah masalah paling utama kepada penganut “ideologi” liberal – jika
liberal boleh dikatakan sejenis ideologi. Kerana kebanyakan mereka tidak setuju
bahawa liberal itu adalah ideologi. Ideologi selalunya lebih dikaitkan pada
Kiri. Kerana ketidakpunyaan kesetiaan itu (loyalist pada ideologi) maka dia
sanggup memukul bekas tuannya ketika bekas tuannya di saat yang paling lemah. Dia
sanggup pergi kepada musuh tuannya dan menyerang bekas tuannya. Cuba beritahu,
apa kesetiaan yang ada pada ideologi/ideolog pasaran bebas sebegini? Apa yang
boleh dipegang dengan mereka? Tiada apa boleh dipegang.
Hal yang sama juga dilakukan oleh
Isham Rais, iaitu banyak kali beliau mendewakan Anwar dengan kata Pak Syeikh,
bahkan ada tulisan Isham yang sampai hendak mendirikan
politik dinasti, memberi legitimasi kepada keluarga Anwar dan membandingkan dengan
Benazir Bhutto.
Begitu juga
dengan Faisal Tehrani yang saya menganggapnya sebagai sarjana upahan. Umum yang
mengikutinya dengan cermat, membeli buku-bukunya, membacanya, bahkan lebih awal
mengikutinya dari zaman Tehranifaisal.blogspot.com akan mengetahui bagaimana
perjalanan dan perubahan pemikiran beliau. Dari seorang yang berpemikiran
Syi’ah fundamentalist (walaupun istilah ini tak tepat dan dia sendiri pun tak
mengaku) kepada Syi’ah yang lebih liberal. Kita boleh melihat bagaimana beliau
sangat sensitif terhadap persoalan liberal seperti yang tercermin dalam
tulisan-tulisan awalnya tentang filem Gubra dan juga novel Kombat 1511H beliau
yang mana pernah beliau dikatakan cuba mengangkat watak Osama Laden dalam
bentuk perempuan bernama Nusaybah, seorang bilionair philanthropist jihadist. Ini
antara sebab saya menjejaki perubahan pemikiran Faisal Tehrani.
Tetapi perubahan
pemikiran tiada masalah. Kerana manusia berubah. Dan ianya masih boleh
didebatkan tentang mana yang lebih baik. Tetapi yang kita permasalahkan adalah
sifat kepencacaian. Faisal menulis banyak kali tentang kepentingan dan
keperluan penulis untuk mengambil sikap dan berpihak – kepada yang tertindas.
Dalam novelnya
Cinta Hari-hari Rusuhan menaratifkan tentang pergolakan zaman mahasiswa yang
merusuh terhadap perpolitikan sedia ada. Dan kini menjelang pemerintahan regim
baru BN, Faisal menulis tentang jika Tun Fatimah hidup dia (Tun Fatimah) pasti
akan bersama dengan Mahathir Mohamad. Ini adalah suatu kejelikan dalam
kepencacaian beliau.
Terkini beliau
menuliskan tentang “Saidina” (agak lunak beliau menggunakan terma ini) Ali Menolak
“Reformasi”.
Sekiranya beliau
mahu berpolitik, dia tak perlu bertaqiyyah dalam mencari tuan/tuhan baharu. Dia
boleh lepas bebas menulis di era Najib. Selepas Najib kalah/hampir kalah, dia
bergegas mencari penyelamat baru (bukan Imam Mahdinya) tetapi Mahathir Mohamad.
Berhempas pulas beliau menjaja nama itu dan nama ini untuk menjustifikasikan
sokongan politiknya. Dan terbaru dia mengheret “Saidina” Ali untuk ditampilkan
berpedang dengan Anwar Ibrahim iaitu musuh ketat pada Mahathir Mohamad. Ini adalah
suatu pelacuran oleh sarjana upahan sepertinya.
Sepatutnya sarjana
yang selalu mengajarkan bersikap sepertinya haruslah menunjuk contoh terbaik
pada masyarakatnya. Bukan menjadi sarjana pencacai yang hidup atas ehsan
parti/patron politik.
Hujah saya dalam
hal ini adalah seperti berikut;
(1) Saya tiada
masalah pun untuk sesiapa nak pro kepada PH-Mahathir. Tiada masalah bukan dalam
ertikata bersetuju, tetapi sedia berbahas di atas ketidaksetujuan.
(2) Bukan juga
isu tak konsisten.. Seseorang itu pada satu masa, sokong dan berhujah untuk
puak A, kemudian satu masa yang lain, selepas satu jarak masa akan sokong B,
dan berhujah-memberi justifikasi untuk sokong B, saya tak ada masalah juga..
kita kena akui, semua berubah.
(3) Tetapi yang
patut kita ada masalah adalah (A) yang selalu berubah-ubah, tiada pendirian
tetap dan (B) ketika dia berubah menyokong pihak lain, dia tidak membuat satu
perisytiharaan atau pemakluman akan perpindahan dan sokongannya terhadap pihak
lain, yang mana hujah-hujahnya ketika menyokong pihak terdahulu yang diimani
secara bulat oleh orang lain, nak campak ke mana?
Contohnya
seperti Haji Hadi berbaik dengan UMNO dengan mengabaikan Amanat Haji Hadi,
Hisyam Rais, Khalid Jaafar dan Faisal yang menyokong Mahathir walhal sebelum
itu beria memaki Mahathir dengan berbakul hujah dan justifikasi intelektual
yang dibuat mereka. Ianya samalah seperti yang dilakukan Anwar (padanlah dia menjilat
semula ludahnya dan diludah para pengikut dan balacinya) apabila memaafkan
musuh politiknya dalam sengketa 20 tahun tanpa apa-apa justifikasi bahkan tiada
sekelumit permintaan maaf pun dari musuhnya itu.
Kesemua sialan
ini terus sahaja melompat ke kem politik yang berlainan tanpa meminta maaf atau
memberi maklum akan hujah-hujah yang ditulis secara bercetak pada buku-tulisan
mereka.
Mengenangkan
semua orang selalu bercakap tentang manusia berubah, maka saya akhiri dengan
puisi yang ditulis sendiri tahun lepas, berjudul Pokok.
Pokok
Yang tidak berubah
Tetap bertabah
Tetap berbuah,
berbakti
Semakin kuat hari demi
hari
Semakin cekal tekal
melindungi
Semakin kukuh mengakar
membumi
Makin usiamu bertambah
Makin kau lihat banyak
yang berubah
Seperti sesumpah yang
menelan apa yang rebah
Atau haiwan yang makan
apa sahaja meski bangkai
Tiada punya ketahanan
untuk kelaparan
Tiada mampu bertahan
untuk punya pendirian.
Tetaplah kau wahai
pokok,
Tetap bertahan walau
hujan panas mentari
Tetap memayungi mereka
di sini
Tidak berubah sehingga
mati
Atau berubah menjadi
lebih berani.
Menentang intelektual
masyarakat sampah,
Chow Kit Kiri,
2.10. 2018.
(dikarang oleh Benz Ali)
(dikarang oleh Benz Ali)
Comments
Post a Comment