Oleh: Benz Ali
Dr. Maza tidak dinafikan
lagi seorang agamawan yang oportunis. Naik kerana kedekatan hubungan akrabnya
dengan Shahidan Kassim, dan kuatnya beliau merapati (baca: menjilat) Dr.
Mahathir sampai terbaru, beliau ‘dipekakkan’ oleh orang yang kuat dijilatnya.
Dalam klip video sekitar 20
minit yang disiarkan di Pro Media Tajdid, kita dapat menyaksikan bagaimana
beliau keliru antara pemerintahan Islam yang authoritarian dan pemerintahan sekular.
Beliau sangat berpaut dengan pemerintahan Islam yang authoritarian dalam
hujahnya yang dimulakan pada minit 1:07, iaitu di mana beliau nampak sangat
bergayut atau berharap pada institusi atau jabatan agama menahan orang-orang
Syi’ah.
Pada minit 1:25, kekacauan
beliau makin bertambah apabila beliau mengatakan bahawa ambassador negara Barat
menanyakan kepada beliau, bukankah beliau (Maza) seorang yang terbuka, “you are
democratic person, why you cannot degree to have differences like Syi’ah and
whatever..,”.
Pada permulaan hujah ini
beliau cuba menyamakan Syi’ah dengan Daesh (IS), yang mana kedua-dua ini sangat
berbeza. Syi’ah lebih tepat disamakan dengan Sunni/Sunnah/Salafi/Asya’irah/Muktazilah,
kerana ia adalah aliran dalam agama Islam. Sementara Iran, haruslah disamakan
dengan Arab Saudi, Iraq, Yaman, Malaysia dll kerana ini adalah kategori negara.
Sementara Daesh, jika mahu disamakan pun, haruslah ke kategori kumpulan militant
Islam seperti Hizbullah, Hamas, Jihad Islam, Boko Haram dll. PAS, Amanah, PKS,
AKP, Ikhwanul Muslimin dll jika Maza tak tahu nak masukkan di mana, boleh
dimasukkan dalam kategori kumpulan politik demokrasi Islam.
Pada minit 2:00, beliau
mengatakan beliau tidak ada masalah dengan pemikiran, tetapi dia ada masalah
dengan consequence of thought (akibat daripada pemikiran). Jika hal ini
diambilkira, dan jika beliau jujur dengan apa yang dikatakan beliau, maka
harusnya beliau bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa
yang menekan pengikut pemikiran Wahabi dan Ibn Taimiyah, yang mana menurut
hujah pihak berkuasa, akibat daripada pemikiran dan pembacaan terhadap buku mereka
ini, baik Wahabi dan Ibn Taimiyah boleh mendorong pada kekacauan. Dan ini
telahpun terbukti, seperti IS yang sememangnya terkagum dengan Islam ala Wahabi
yang sangat literal. Adakah Maza sedia bersetuju dengan hal ini?
Pada minit ke 3:32 Maza
mengatakan Syi’ah adalah mazhab politik. So
what? Apa masalahnya dengan mazhab politik? Bukankah Salafi/Wahabi juga
didirikan melalui bantuan politik Ibn Saud dalam merampas pemerintahan Arab
dari tangan Uthmaniyyah? Bukankah itu juga politik? Dan bukankah aliran-aliran
teologi Islam hanya dapat menunjuk belang ketika mendapat patron politik
masing-masing? Muktazilah juga pernah menjadi ideologi politik negara
(Abbasiyah) suatu masa dulu. Asya’irah juga dibelai oleh para pemerintah yang
berkecenderungan tradisionalis dan menekan mereka-mereka yang tidak sealiran? Jadi
mana aliran dalam Islam yang tidak mempunyai unsur ‘mazhab politik’ sepertimana
yang didakwahkan Maza? Hujah Maza ini seperti meludah ke mukanya sendiri.
Pada minit ke 3:46, Maza
mengatakan bahawa teologi Syi’ah ini bukanlah sahaja berkutat-bergulat sekitar tentang
sembahyang-tak-sembahyang ini, bahkan ia (ajaran Syi’ah) mestilah mewujudkan cleric
state/negara mullah, yang mana pada minit ke 4:00, beliau mengatakan di mana
negara mullah ini, pemimpinnya mesti berdarah keturunan Nabi. Sanggahan terhadap
hujah begini adalah, bukankah telah disebutkan dalam hadith-hadith Nabi yang
masyhur tentang pemimpin berketurunan Nabi, pemimpin yang datang dari Arab
Quraisy? Baik Sunnah atau Syi’ah kedua-dua aliran ini berfikiran sedemikian. Hanyasanya
yang anti berfikiran sedemikian dan egalitarian awal adalah dari Khawarij yang
menolak idea kepimpinan keturunan Nabi juga Arab Quraisy. Adakah Maza berani
berfikiran Khawarij?
Pada minit ke 4:30, apabila
beliau mengatakan tentang konsep “wilayatul faqih”, persoalan kita kepada
beliau, adakah beliau benar-benar memahami konsep ini? Adakah semua Syi’ah
(khususnya di Malaysia) bersetuju dengan konsep ini? Konsep Wilayatul Faqih
bukanlah konsep yang wujud dari mula kewujudan Syi’ah, ia baru sahaja
diwujudkan ketika Khomeini muncul dengan memulakan teori politik pemerintahan
beliau. Ada yang mengatakan ramai ayatollah yang sezaman dengan Khomeini tidak
bersetuju dengan konsep politik beliau ini.
Pada minit ke 5:07, apabila
beliau mengatakan bahawa dalam pilihanraya di Iran, mereka tidak boleh
memilihkan untuk menjatuhkan yang paling teratas, iaitu para mullah dan ayatollah
yang menguasai. Sikap Maza yang oportunis, bias lagi double standard boleh
dikesan dalam penghujahan ini. Ini adalah kecela(ka)aan sistem negara. Mana-mana
negara mempunyai perlembagaan mereka yang tersendiri. Adalah hipokrit apabila
Maza mengkritik Iran yang katanya cleric state (tetapi masih mengadakan
pilihanraya) sedangkan Arab Saudi yang jarang-jarang disentuhnya, mempunyai
berhala monarki Saud yang tidak boleh dijatuhkan, apatah lagi tidak mempunyai
pilihanraya. Begitu juga di Malaysia. Dalam ertikata lain, beliau tidak jujur
menyampaikan pandangan ‘kritis’ beliau.
Pada minit ke 6:18 ini yang
beliau mulai celaru apabila mengatakan Syi’ah di Barat tidak sama seperti Syi’ah
di negara Islam lain, di mana menurut beliau Syi’ah di negara-negara majoriti
Islam lebih banyak menatijahkan tumpah darah, tanpa beliau membawakan
faktor-faktor lain seperti hegemoni US dan sikap mereka untuk pecah-perintah
umat Islam antara Sunnah-Syi’ah. Apa yang berlaku di negara-negara yang
majoriti umat Islam adalah kerana pemerintahan teokratik baik dari mazhab apa
pun. Dan apa yang berlaku di Barat kerana secular yang menjadi kuasa di sana,
maka tiada peluang untuk aliran mana pun untuk mendominasi masyarakat Barat di
sana. Ini tidak dijelaskan.
Menutup pembalasan terhadap
Maza, apabila dia mengatakan kepada Amri bahawa dia meminta Amri mendatangkan
scholar-sarjana yang mampu berhujah dengan beliau, kita boleh flashback ke
minit 3:00 mengapa Maza tidak mengambil kesempatan untuk berhujah dengan
mullah-mullah yang didakwanya makan bersama di Oxford? Kenapa tidak menjadikan
Oxford Union sebagai tempat perdebatan seperti ramai lagi, di mana Mehdi Hassan
(Syi’ah British-Muslim) pernah berdepan dengan Irsyad Manji dan Richard
Dawkins. Bahkan tokoh kesayangan Maza dan umat Salafi seperti Zakir Naik juga
pernah berhujah di Oxford Union? Kenapa kita mengemukakan hujah ini, kerana di
Barat yang lebih terjamin demokrasinya, lebih baik berhujah di sana betul?
Rujukan Video:
Comments
Post a Comment