Oleh: Benz Ali
Saya pernah bertandang ke rumahnya sekali, ditemani bakal isteri saya ketika itu, juga bersama Arif Atan, seorang wartawan muda yang juga menurut saya pengikut dan mentee Ahmad Lutfi Othman.
Saya mengenali nama beliau sudah sangat lama, ketika di bangku sekolah rendah lagi. Melalui pembacaan di akhbar Harakah. Selain Ishak Surin, Ahmad Lutfi Othman adalah teraju utama Harakah selama ini. Tetapi PAS, selaku organisasi penaung Harakah seperti biasa, yang selama ini berfikiran binari (us or them, hitam putih) jarang sekali menghargai sosok seperti ini. Mereka yang berbeza dan punyai fikiran berlainan, selalunya akan dikesampingkan. Kesalnya dan kesannya, Harakah mati selepas para pelopor keluar dan generasi kemudian PAS, anak-anak gerakan Islam tiada sejarah, atau sejarah pergerakan mereka jadi kontang-kanting, digunting di sana sini, kerana para pelopor sudah tiada lagi, yang cuma ada hanyalah mereka yang berkuasa, dan masih mempertahankan kuasa.
Ahmad Lutfi Othman, seorang yang sangat prolifik dan produktif ini, entah dari mana dan dari siapa yang mengubah laluan hidupnya, seorang yang di kampus bukan mengambil pengajian media, kewartawanan mahupun bahasa dan sastera, apatah lagi agama, kemudian terjun melibatkan diri dalam perjuangan kewartawanan rakyat – dan Islam.
Islam menjadi kredo kepada Ahmad Lutfi Othman. Beliau
bukan seorang yang liberal, sekular, mahupun Kiri, atau Kanan (Nasionalis),
sebaliknya Islam. Antara sebab beliau disingkirkan dari UTM sebelum ini kerana
membela mahasiswi berpurdah yang dipecat. Jatuh bangun Ahmad Lutfi Othman atau
sebahagian umurnya dihabiskan dalam kegiatan pergerakan Islam – dalam
kewartawanan. Kita boleh melihat tendensi keislaman dalam politikal itu bilamana
beliau menghabiskan banyak masanya dengan PAS – bukan dengan PKR, DAP dll
–sebelum Amanah.
Rupanya beberapa tahun kemudian, selepas meningkat
usia barulah saya tahu bahawa penyair Dinsman itu ialah abang kepada Ahmad
Lutfi Othman. Nama panjang Dinsman ialah Shamsudin Othman. Dan kedua-dua adik
beradik berasal dari Kedah ini sememangnya banyak menyumbang untuk kegiatan
pergerakan Islam, yang tidaklah secara literal seperti politikal parti atau di
tamrin dan usrah. Tetapi Dinsman dari sudut seni-budaya, seperti puisi dan
teater, dan Ahmad Lutfi dari sudut kewartawanan. Yang kedua-dua ini sangatlah
lompong sekali, apatah lagi selepas era suratkhabar telahpun mati.
Ahmad Lutfi Othman terlibat dalam menerbitkan dan
mengasaskan majalah Tamadun, sebuah majalah siasah yang sangat gah waktu itu.
Di dalamnya saya ingat lagi, ada wawancara, tulisan-tulisan Suria Janib, novel
bersiri atau cerpen dari Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, yang ketika itu
semakin ganas menjolok pihak penguasa dengan mata penanya.
Majalah Tamadun yang sangat politikal itu sampai juga
ke Kedah, lewat tangan kakak saya yang belajar di UIA pada masa itu. Gelombang
perubahan yang sedang menggelegak dari Indonesia telah sampai ke Malaysia. Di
Indonesia, regim Orba (Orde Baru) Soeharto tumbang. Di Malaysia, Mahathir lebih
bijak membaca keadaan, terus mengundurkan diri selepas keputusan PRU 1999 menampakkan
kecenderungan dan kemenangan pada pembangkang. PAS menang di Terengganu. Regim
Haji Hadi naik. Mahathir mengatur Pak Lah yang lebih lembut darinya
mengambilalih posisinya. UMNO BN menang bergaya pada pilihanraya 2004.
Orang politik yang menggagalkan
Selain cd-cd ceramah yang membentuk latar penentangan
terhadap regim Dr. Mahathir Mohamad, percetakan juga memainkan peranan yang
sangat penting. Dan penggiat utamanya di Malaysia era reformasi ialah Ahmad
Lutfi Othman. Sementara tokoh-tokoh pembangkang yang lain lebih popular dan
dikenali di atas pentas, Ahmad Lutfi Othman dengan pena dan penerbitannya.
Saya lebih melihat Ahmad Lutfi Othman sebagai aktivis,
berbanding seorang wartawan atau penulis. Beliau seorang aktivis yang kental.
Penerbitannya satu demi satu ditutup. Tetapi beliau tetap cekal dan tekal.
Beliau tidak melarikan diri dari perjuangan atau mengundurkan diri dari
perjuangan perubahan. Walaupun bukan seorang agitator atau penceramah atau
terkenal sebagai demonstran di acara-acara demonstrasi, Ahmad Lutfi Othman
menunjukkan bahawa dengan pena (hari ini, papan kekunci) dan
penerbitan-percetakan juga boleh dan penting untuk melancarkan perubahan. Tidak
mesti petah bercakap atau berdada dengan pihak polis sahaja untuk
memperjuangkan perubahan.
Saya nampak beliau pada banyak masa lebih lone
ranger berbanding bergerak secara jamaah atau kolektif atau parti. Beliau
keluar masuk Harakah beberapa kali sebelum ini. Ketangkasan dan kelincahan
penanya tidak sesuai untuk organisasi yang lembab dan konservatif untuk membuat
perubahan. Setahu saya penerbitan-penerbitannya adalah dari duit koceknya
sendiri. Nampaknya takdir hidup dan matinya di dunia ini, ialah untuk melakukan
kerja-kerja ini; penulisan, penerbitan, kewartawanan dan aktivisme. Inilah
Ahmad Lutfi Othman.
Beliau gigih berhempas pulas membongkar salah laku
Khir Toyo. Yang pada akhirnya, Khir Toyo ini menerima hukum yang sangat sedikit.
Saya tertanya sendiri, berbaloikah perjuangan ini? Sementara Ahmad Lutfi Othman
di kemudian hari menerima sakit yang bukan sedikit. Dalam kes Khir Toyo itu
beliau bertindak lebih dari sekadar wartawan biasa. Tidak cukup dengan puluhan
aduan kepada BPR, beliau turut mengedarkan risalah, memorandum dan kenyataan
akhbar (termasuk mengadakan sidang akhbar di lobi sidang Dun Selangor ketika
Khir Toyo membentangkan bajet Selangor); menerbitkan akhbar tidak berkala
(tetapi semua 43,000 naskhah dirampas di kilang percetakan sebelum sempat
diedarkan); menganjurkan forum awam di sebuah hotel dekat Stadium Merdeka;
berkempen dalam pilihan raya kecil di Anak Bukit (Kedah) dan Indera Kayangan
(Perlis); merakamkan video (dengan bantuan Dinsman dan Nasir Jani), juga berceramah
di Tanjung Karang (termasuk di sebelah rumah Khir di Simpang Lima! (Sumber:
Buku Detik Utopia)
Ahmad Lutfi terlibat dalam kegiatan kewartawanan-aktivisme
ini bukan baru. Seperti disebutkan, hampir separuh umurnya diperuntukkan untuk
itu. Beliau ada di era Fadzil Noor masih hidup yang memimpin Barisan
Alternatif, seterusnya selepas barisan itu berkubur, naik pula Pakatan Rakyat,
yang akhirnya nasibnya pun berkubur sepertimana Barisan Alternatif. Kemudian
naik pula Pakatan Harapan yang kali ini tanpa PAS di dalamnya, tidak seperti
Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Pun, persekongkolan ini juga tidak mampu
bertahan lama. Pastinya orang politik mendapat laba yang bukan sedikit.
Sementara rakyat di bawahnya termasuk para aktivis seperti Ahmad Lutfi Othman,
tetap tidak mendapat apa-apa. Malahan semakin sakit. Detik Utopia, Revolusi
Tanpa Darah, antara buah tangan Ahmad Lutfi Othman dalam membayangkan sebuah
Malaysia yang baru. Tetapi impian murni dan luhur seperti ini nampaknya masih
kabur, ataupun sudah terkubur? Sehingga Ahmad Lutfi Othman semakin uzur hari
demi hari, belum nampak sinar harapan pada Pakatan Harapan.
Ahmad Lutfi Othman selaku aktivis media nampak optimis
dengan pakatan pembangkang, meskipun dari sudut realitinya, pakatan pembangkang
sering sahaja gagal –bergabung untuk satu jangka masa yang sangat sementara,
kemudian berpecah– kerana keinginan masing-masing untuk merebut kuasa dan
menjadi pemimpin.
Pemergiannya baru-baru ini buat kita yang pernah mengenalinya
jadi canggung. Riwayat tokoh ulung ini akhirnya berakhir jua. Beliau
meninggalkan kita semua di dunia fana ini, pada tarikh yang sama beliau
dilahirkan. Sehari sebelum hari raya aidiladha tahun ini.
Orang politik mendapat laba begitu banyak dari
perjuangan rakyat. Sama ada perjuangan rakyat itu menang atau tidak, orang
politik tetap menang. Sementara orang perjuangan yang bukan menjadi orang
politik banyak yang menderita dan sengsara. Ramai yang mati, sakit, terseksa,
menderita kerana idealism dan ideologi politik yang mereka imani. Orang politik
seperti melihat orang lain hanyalah sebagai alat demi cita-cita kuasa mereka. Ramai
tokoh politik dari PAS dan Amanah (kedua-dua parti yang Ahmad Lutfi Othman
sertai) telah berjaya dari sudut karier politik. Ada yang sudah menjadi MP, ada
yang telah mendapat Dato’. Tetapi belum lagi sehinggalah hari kematiannya,
Ahmad Lutfi Othman, mendapat apa-apa penghormatan yang wajar, atas dedikasinya
selama ini. Sekurang-kurangnya dari organisasi atau parti politik yang beliau
pernah ceburi dan dokongi.
Di Malaysia ini, inilah nasib yang kita harus tengok
dan telan untuk beberapa lama.
Comments
Post a Comment