Haramnya Muzik dan Perkara Yang Berkait
Sekitarnya - Menyanggah Logik Falasi Ustaz Noor Deros (UND).
Oleh: Timor Jagat
Aku terpanggil untuk menulis tentang perkara
yang agak hangat ketika ini melibatkan seorang Ustaz muda yang menjadi bualan
di media sosial atas sanggahan kasar beliau terhadap fahaman Wujudiyah dan
perkara-perkara sekitarnya.
Penulisan aku ini tidak akan mengambil keseluruhan penghujahan beliau di dalam siri-siri video yang tular di media sosial dan Youtube. Aku akan hanya mengulas dan mengupas sedikit sahaja apa yang aku rasa ada ketempangan dalam apa yang beliau katakan dalam ulasannya di dalam video ini
Perbualan antara penanya soalan dan UND
bermula dengan pengenalan diri beliau, iaitu seorang graduan dari Universiti
Al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Usuluddin dan Falsafah.
Kemudian, soalan ditanya iaitu mengenai
peristiwa sambutan dari masyarakat Ansar terhadap penghijrahan Nabi SAW dari
Mekah ke Madinah. UND ada menyatakan, apabila ditanya tentang hukum nyanyian
dan paluan muzik semasa majlis sambutan itu. UND mengatakan itu digalakkan atas
dasar meraikan sesuatu perkara yang besar, seperti menyambut seorang wira yang
datang sesuatu tempat. Baik, khalas.
Seperti yang dikatakan, ianya digalakkan.
Kalau ia betul digalakkan, mengapa selepas itu, UND mengatakan muzik ini pada
hukum asalnya adalah haram? Ditambah atas sebab ia boleh mendatangkan kemabukan
atas sebab dimainkan dengan alat-alat muzik tertentu seperti gitar dan
seruling.
Apa yang menjadi kayu ukur sesuatu alat muzik
itu menjadi haram kerana buatan hakiki dan fizikalnya? Kenapa gendang dan
rebana tidak diharamkan seperti gitar atau seruling, kalau pada asalnya fungsi
masih sama? Yang haram sebenarnya apa? Muzik secara hakiki atau alat muziknya?
UND ada mengatakan dengan menggunakan alat
muzik tertentu seperti gitar dan seruling haram kerana cenderung untuk
memabukkan. Siapa yang menentukan kenyataan ini? Adakah wujud kepastian dari
pihak UND atau mungkin sumber-sumber ‘sahih’ dari UND yang mengatakan alat-alat
ini PASTI menyebabkan kemabukan berbanding alatan yang diketuk seperti gendang
dan rebana?
Aku nampak, jelas hujah dan qias yang cuba
dibawa sangat falasi dan fatal. Dengan hanya berkira-kira dan berhujah dengan
hukum yang sudah lama digunakan oleh ulama dulu (katanya Imam Ghazali), UND
mengharamkan terus penggunaan alatan muzik ini.
Penanya juga ada menyebut tentang hujah dari
seorang ulama Zahiri dari Andalusia, Ibn Hazm yang mengharuskan permainan muzik
dan UND menjawab bahawa ia boleh jadi hujah ini berdasarkan fahaman ulama ini
(mungkin beliau tujukan kepada Ibn Hazm, kerana memang spesifik ditanya dengan
nama ulama ini) yang cenderung kepada hujah falsafah. Baik, khalas. Kalau betul
ia adalah hujah falsafah, masihkah boleh dianggap muzik ini diharuskan, malah
digalakkan? Dalam pernyataan ini seolahnya UND ingin mengatakan hujah berdasar
pada falsafah Greek adalah salah dan cenderung untuk jatuh haram, mungkin
kerana naturenya dari tamadun bukan Islam.
Apa jadi dengan pernyataan awal beliau yang
mengatakan muzik ini digalakkan tadi? Adakah kerana ia berkait dengan Nabi SAW
ia menjadi halal dan jika tiada kaitan dengan Nabi, walaupun muziknya bagus dan
baik, cenderung untuk haram? UND perlu lebih jelas dalam membentangkan hujah.
Kalau haram, perlu jelas dari segi apa, dan adakah haram total atau tidak.
Kalau tidak total, dalam kondisi apa ia tidak haram dan menjadi harus. Lebih
lagilah kalau dimainkan dengan gitar. Untuk pengetahuan, gitar moden hanya
wujud pada kurun ke-13 sahaja, jadi aku rasa logiklah di zaman Nabi SAW tiada
gitar pun, hanya alatan muzik tradisional tanah Hijaz yang dibawa dari kawasan
sekitarnya. Itu akan jadi perbincangan yang lain tentang sejarah peralihan alat
muzik.
Kalau UND merasakan muzik ini sesuatu yang
tidak perlu dalam hidup dan ia bersifat peribadi, baiklah. Khalas. Silakan,
jangan dengar muzik. Tapi adakah adil hendak menghukum ia menjadi haram dan cenderung
membuat orang khayal dan mabuk hanya kerana minat mendengar muzik? Tolong
jangan jadi terlalu dangkal dan bermudah-mudah. Apa yang UND buat ini adalah
satu generalisasi tahap tertinggi yang hanya akan menyempitkan worldview
masyarakat.
Muzik sudah menjadi wadah menyampaikan ilmu.
Malah, muzik juga sudah menjadi salah satu cabang ilmu itu sendiri. Belajar dan
mengetahui muzik secara umumnya dapat membuka minda masyarakat pada perkara
yang lebih luas. Muzik boleh menjadi bahasa sejagat dalam menyampaikan maklumat
secara langsung atau tidak langsung. Jangan sempitkan fikiran yang hanya bila
mendengar muzik itu untuk berhibur dan terarah kepada perkara tidak baik. Come
on UND, you better than this.
Tidak patut wujud isu evolusi muzik secara
umum menjadi kepada wadah memperempuankan (istilah UND sendiri) kaum lelaki.
Ini falasi bodoh namanya. Mengaitkan secara umum satu genre muzik kepada kesan
yang khusus dan kompleks bukan benda yang bijak wahai saudara UND. Anda belajar
jauh-jauh, falsafah lagi, takkan ini yang keluar dari pemikiran dan mulut anda.
Kemudian, UND ada mengaitkan muzik juga menjadi wadah penyebaran doktrin
Freemason melalui lambang-lambang dari album dan muzik Dewa 19 (spesifik
dinyatakan dalam lagu Satu). Kalau betul UND adalah lulusan falsafah, takkan
perkara tentang Freemason ini tidak diajar mana asal-usul dan tujuannya.
Aku tak tahu dari mana beliau mendapat idea
sampai dengan begitu yakin mengatakan lagu itu jelas ada unsur Freemason, dan
mungkin pluralisme agama. Lirik lagu itu adalah terinspirasi dari sajak-sajak
Mansur Al-Hallaj yang terkenal dengan doktrin wahdatul wujud. Aku tak setuju
tentang over-generalisation ini sebab terlalu bermudah-mudah
mengatakannya tapi tak mengapa. Tapi apa aku nak sentuh adalah apa yang ada dalam
imej-imej video itu tidak lebih dari satu aliran dan pergerakan seni avant
garde yang dipanggil surrealism atau dadaism yang dimulakan
sekitar selepas Perang Dunia Pertama. Ia tiada kaitan langsung dengan apa yang
secara dangkal disebut oleh penanya dan UND sendiri sebagai Freemason.
Lagi sekali, do your research.
Kemudiannya, perbincangan dari video ini
melalut kepada realiti semasa yang memperlihatkan perubahan penyebaran ilmu
melalu buku bergambar. Lagi sekali aku facepalm bila dengar, seolah itu
adalah perkara yang tak elok, dan cubaan gagal UND yang mengaitkan dengan
realiti semasa (kononnya) ini menjadikan kurang daya imaginasi dan penggunaan
akal oleh masyarakat Islam. Apa benda yang UND mengarut ini? Kalau sudah adanya
perubahan penyebaran ilmu dari berbentuk tulisan kepada lukisan bergambar, bukankah
lebih mudah? Bukankah ini menunjukkan adanya evolusi berguna dan penggunaan
akal yang jitu dalam mengubah cara menyampaikan ilmu? Tulisan, lukisan,
penceritaan, muzik itu hanya form sahaja wahai UND. Penting sangatkah
perkara ini sampai hendak nak dipersoalkan peranannya?
UND juga ada mengulas dengan mengatakan dengan
muzik akan membuat orang menjadi lembik dan tidak tegas dalam berbuat apa-apa
kerja dan keputusan, dan beliau memetik kata ini dari Ibn Qayyim.
Buat pengetahuan UND, negara-negara barat, dan
mungkin yang paling dekat dengan kita adalah Jepun, budaya muzik semasa mereka
sangat rencam dan bergerak laju. Setiap tahun akan ada sahaja pertunjukkan
muzik dan konsert, yang mana ini menunjukkan betapa mereka meraikan muzik
secara total. Tetapi, kemajuan mereka juga tidak boleh dipersoal. Pelbagai
kemajuan dan invensi dari pihak mereka yang memberi manfaat kepada satu dunia.
Jadi, mana buktinya yang muzik itu membuat manusia menjadi lembik dan hanya
hendak berseronok?
Kalau ada keburukan yang nampak seperti
disebabkan oleh muzik, salahkan pendengarnya, salahkan pemuziknya, jangan
diharamkan disesatkan muziknya, Ustaz. Orang yang tak dengar muzik pun, yang
haramkan muzik pun, masih berpotensi jadi jahat, Ustaz. Al-Qaeda, ISIS malah
Hizbut Tahrir (contoh terdekat kita), adakah mereka meraikan muzik? Tidak,
malah mengharamkan. Adakah mereka jadi baik dan menggunakan akal?
Ulasan ini akan jadi panjang kalau aku kupas
komen UND tentang lirik-lirik M.Nasir, arwah Loloq dan S.Amin Shahab. Aku
tinggalkan buat sementara waktu dan membiarkan persoalan dan mungkin sanggahan
aku ini untuk dinilai. Mungkin ada kesempatan lain, dan aku ada idea untuk
menulis, aku akan komen panjang lebar tentang perkara lirik itu.
Sebarang pendapat dan maklumbalas aku
alu-alukan. Selagi kita boleh berbincang dengan sihat tanpa bermudah-mudah
dalam menyesatkan orang lain, aku raikan sahaja walaupun aku tak setuju.
Terima kasih.
Comments
Post a Comment