Skip to main content

Realiti Pencemaran Plastik Di Malaysia



Oleh: Komrad Semaun


Gambar: Sampah plastik yang diimport. Lokasi Jenjarom, Selangor Darul Ehsan.

Baru-baru ini dikhabarkan bahawa Malaysia telah menghantar pulang sebanyak 150 kontena sampah bahan plastik yang telah dibawa masuk ke negara ini dari negara luar seperti Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Perkara ini dengan megahnya telah diumumkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. 

Tindakan ini telah mendapat liputan yang meluas oleh pelbagai media di dalam dan di luar negara. Seperti biasa, sebagai seorang ahli politik yang penuh dengan retorik, perkara ini diangkat dan dimainkan berulang-ulang kali, sehingga tindakan yang sebenarnya tidak memberikan apa-apa kesan untuk mengurangkan pencemaran di dalam negara ini dilihat sebagai hebat dan positif.

Penolakan 150 kontena sampah untuk dihantar balik ke negara asal mereka ini merupakan satu tindakan yang terlalu tidak signifikan, atau hanya memberikan kesan yang amat kecil kepada negara kita Malaysia.

Hakikatnya, ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa Malaysia masih lagi membenarkan kemasukan plastik terpakai dari negara luar dengan menggunakan approved permit (AP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT).

Perkara ini telah berlaku puluhan tahun lamanya, tetapi pada tahun 2008 keadaan semakin meruncing apabila sampah plastik (plastic waste) telah diharamkan untuk diimport oleh kerajaan China. Ini kerana pada ketika itu China merupakan pengimport sampah plastik terbesar dunia. Apabila terdapat kelompongan ini, para pengusaha kilang memproses plastik di negara tersebut mencari alternatif lain untuk kesinambungan perniagaan mereka. Setelah banyak negara mereka cuba untuk dekati, hanya Malaysia dan beberapa negara asia tenggara sahaja yang sudi untuk menjadi pusat operasi mereka.

Mengapa KPKT yang mengeluarkan permit mengimport plastik?
KPKT merupakan kementerian yang menjaga hal ehwal kerajaan tempatan, oleh yang demikian kilang pemprosesan sampah plastik tertakluk kepada perlesenan kerajaan tempatan yang berada di bawah setiap kerajaan negeri. Tetapi oleh kerana KPKT menjaga hal ehwal kerajaan tempatan di peringkat persekutuan, maka, KPKT menjadi pengawal selia kemasukan sampah plastik ke negara ini untuk diproses.

Hasil daripada perubahan operasi dari China ke negara kita Malaysia dan penguatkuasaan yang amat lemah oleh kerajaan terdahulu, negara ini dibanjiri dengan kemasukan sampah plastik dengan tujuan untuk diproses semula dan dijadikan produk tertentu untuk dijual kepada umum.

Dua masalah utama yang muncul daripada kebanjiran plastik ini adalah (1) fasiliti yang tidak mencukupi untuk memproses plastik dan (2) lambakan sisa plastik yang tidak diproses menyebabkan pencemaran kronik di beberapa tempat di Malaysia.

Sememangnya jika dilihat dari sudut keuntungan, pemprosesan plastik ini merupakan perniagaan yang sangat bagus. Tetapi apabila fasiliti seperti kilang, mesin dan lokasi yang sesuai tidak disediakan dengan mencukupi dan lengkap, maka ia mendatangkan kesan yang amat buruk kepada alam sekitar. Kilang plastik haram juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan, dan mereka menjalankan operasi tanpa mengikuti prosedur yang betul. Hasil daripada pemprosesan yang tidak mengikut standard atau piawaian ini, bahan-bahan toksik telah dilepaskan ke dalam air, tanah dan udara sehingga menyebabkan pencemaran yang amat serius.

Lambakan sisa plastik juga menjadi satu kecelakaan bagi negara kita, kerana apabila sampah plastik yang terlalu banyak tiba di negara ini, kita tidak mempunyai ruang yang baik untuk menyimpannya. Akhirnya, ia diletakkan di kebun-kebun dan di tanah-tanah pertanian, ada yang lebih teruk apabila tempat yang seharusnya dijadikan kolam ternakan ikan dan udang telah dijadikan tempat menyimpan plastik sampah dalam kuantiti yang amat besar.

Lebih mencelakakan lagi, apabila kilang-kilang haram (dan juga kebanyakan kilang yang berlesen) sudah tidak mampu lagi memproses sampah plastik yang berada dalam pemilikan mereka, jalan mudah yang diambil adalah dengan membakar plastik-plastik tersebut secara terbuka. Gas-gas yang terlalu toksik itu dilepaskan sehingga menyebabkan pencemaran pada kadar yang amat tinggi dan sekiranya dihidu oleh manusia atau haiwan, boleh menyebabkan kecacatan atau kematian.

Zuraida Kamaruddin, Menteri KPKT bermula garang dengan menyerang kilang-kilang plastik berlesen dan haram apabila didapati mereka tidak mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh kementeriannya. Begitu juga dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilihat menjadi kroni kepada pengusaha kilang-kilang ini. Pada waktu ini, di awal pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang bermula pada 9 Mei 2018, kelihatan Zuraida Kamaruddin dan Yeo Bee Yin berlumba-lumba untuk melakukan serbuan terhadap kilang haram dan pengusaha kilang yang tidak menetapi piawaian dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Setiap kali serbuan dibuat, media dipanggil dan gambar diambil untuk dipertontonkan kepada umum. Perkara ini terjadi sebelum Yeo Bee Yin dikaitkan dengan pencemaran di Sungai Kim-Kim di mana suami beliau dikatakan terkait dengan syarikat yang melakukan pencemaran tersebut. (Dikatakan beliau mahu menyaman pihak yang mengatakan suaminya terlibat, tetapi sehingga kini masih belum mendengar khabar berita mengenai tindakan saman tersebut)

Kedua-dua menteri ini lagaknya bagaikan srikandi yang berjuang untuk memastikan Malaysia bebas dari cengkaman sampah plastik yang merosakkan tanah, air dan udara negara ini. Namun begitu, pada penghujung tahun 2018 dan awal 2019, setelah melawat beberapa kilang dan bertemu dengan towkey-towkey besar kilang-kilang ini, nada garangnya telah dilembutkan.

Zuraida Kamaruddin yang dahulunya begitu garang dan gagah menyerang kilang-kilang kini duduk semeja dengan Malaysian Plastic Manufacturers Association (MPMA) dan juga Malaysian Plastic Recyclers Association (MPRA) yang terdiri daripada towkey-towkey besar industri plastik telah mula menyatakan bahawa perniagaan mereka perlu diselamatkan kerana industri ini bernilai berbilion ringgit.



Gambar: (Dari kiri) Prof. Pervais K. Ahmed, Prof. Andrew Walker (Dua ahli akademik yang telah menjual intelektual mereka untuk menyokong pencemaran), Timbalan Presiden MPMA CC Cheah (Towkey Besar), Zuraida Kamaruddin (Menteri KPKT), Suliman Abdul Rahman (Ketua Pengarah JPSPN) dan Setiausaha MPRA Datuk Johnson Yoon (towkey besar juga)

Pada Mei 2019, Zuraida Kamaruddin, telah cuba untuk meyakinkan masyarakat bahawa satu garis panduan yang lebih ketat dan tegas akan dilaksanakan bagi memastikan industri plastik ini terus dilaksanakan. Menurutnya SOP terbaru ini bakal mereformasikan industri plastik Malaysia kerana kononnya hanya plastik “bersih” sahaja akan dibawa masuk melalui AP yang dikeluarkan oleh kementeriannya.

Namun begitu, SOP yang dinyatakan oleh KPKT hanyalah menarik di atas kertas sahaja, ini kerana penguatkuasaan terhadap perkara-perkara berkenaan sampah plastik ini tertakluk kepada 4 pihak berkuasa iaitu Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (di bawah Jabatan Alam Sekitar), Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (sebagai pengeluar AP), Kementerian Dalam Negeri (Jabatan Kastam) dan Kerajaan Negeri (Pihak Berkuasa Tempatan).

Hasilnya, berlaku pertelingkahan dan percampuran bidang kuasa yang amat jelas sehinggakan setiap pihak menolak tanggungjawab ini dari satu pihak kepada pihak yang lain. Akhirnya, sehingga kini masih lagi terdapat kemasukan sampah plastik secara haram dan kilang-kilang haram yang memproses plastik secara lewa.

Boleh dikatakan tindakan yang diambil sangat minima dan jumlah denda yang dikenakan amatlah sedikit. Pengusaha kilang pemprosesan plastik sehingga kini bermaharajalela, apatah lagi apabila kerajaan baharu yang sebelum ini tampak garang telah dijinakkan, tiada lagi kegusaran untuk mereka memungut untung tanpa memikirkan masalah yang bakal dihadapi oleh masyarakat umum.

JENJAROM DI MATA DUNIA
Mungkin ramai dikalangan rakyat Malaysia tidak tahu lokasi sebuah pekan bernama Jenjarom. Jenjarom ini merupakan satu kawasan pinggir bandar yang terletak di negeri Selangor Darul Ehsan. Sungguhpun tidak popular dikalangan rakyat Malaysia, lokasi tersebut telah menjadi sebutan bagi aktivis alam sekitar di luar negara kerana keadaan yang amat kritikal disebabkan oleh pencemaran daripada sisa sampah plastik dan juga sampah plastik yang tidak mampu diproses oleh kilang berlesen mahupun kilang haram.

Keadaan bahaya di Jenjarom:
1. Lebih 19,000 tan sampah plastik terdapat di Jenjarom.
2. Asap toksik yang dilepaskan ke udara akibat daripada aktiviti membakar plastik secara terbuka oleh pengusaha kilang.
3. Bau busuk dan kesihatan lebih 30,000 penduduk terancam.
Ini hanya jumlah yang terdapat di Jenjarom sahaja, belum dikira lagi tempat-tempat lain di Negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak yang masih lagi mempunyai kilang pemprosesan plastik berlesen dan haram.

APA SUDAH JADI?
Isu sampah plastik di Malaysia tidak akan tamat sehingga kerajaan benar-benar mengambil langkah radikal untuk menghapuskan secara terus dan langsung kemasukan sampah plastik import samada bersih atau kotor secara total!

Ya memang benar, perkara ini telah terjadi terlalu lama, namun begitu apabila diteruskan oleh kerajaan baharu, kita merasakan satu pengkhianatan, kerana sebelum ini mereka menjanjikan bahawa kerajaan ini akan berbeza dengan kerajaan terdahulu.

Ini bukan masalah politik, ini adalah masalah golongan yang gelap mata apabila ditayangkan dengan wang ringgit. Apakah kerana ingin mengkayakan golongan pemilik kilang (berlesen atau haram) kita terus menidakkan kecelakaan yang bakal menimpa rakyat Malaysia?

Kesan daripada pencemaran sampah plastik ini bukan hanya menyebabkan bau busuk atau ketidak selesaan sahaja. Tetapi ia boleh mendatangkan masalah yang lebih besar seperti kanser, asthma, kecacatan bayi dalam kandungan dan pelbagai lagi masalah kesihatan dikalangan rakyat di negara ini.

Apa yang sedang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha kilang celaka ini adalah satu kebejatan nyata yang tidak boleh diampunkan. Namun, pengkhianatan yang lebih besar, adalah menteri-menteri dan pemimpin yang dari tangan kita diberikan kuasa, menggunakan kuasa itu untuk menyebelahi towkey-towkey besar yang sedang giat membunuh rakyat Malaysia dengan pencemaran, hanya kerana ingin memuaskan nafsu rakus haloba mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang