Skip to main content

Koronavirus dan Laknat Manusia








Oleh: Lucy M

Damien, teman saya  pernah mengatakan kelawar, digelar sebagai daging merah oleh kaumnya yang menunjukkan dia pernah menjamahnya. Dia teruja mengatakannya. Katanya lagi, sayap kelawar sebenarnya lebih panjang dari yang kita bayangkan. Di suatu ketika yang lain, saya teringat majikan saya pernah berbual dengan mandor projek tentang biawak. Dia, seorang lelaki Cina pertengahan usia, ketika itu, menepuk tangan seperti baru saja memenangi sesuatu sebelum menyebut bagaimana biawak punya daging yang liat tapi dengan kaedah memasak yang tepat, ia mampu dilembutkan.

Penularan koronavirus dari China Merah membuatkan ramai orang, terutama bukan pemakan makanan eksotik, berang dan menuding jari. Kerana tekak sial masharakat Wuhan yang kemaruk daging ularlah, koronavirus merebak kepada manusia. Meskipun belum ada kata putus tentang siapakah vektor sebenar dalam cerita wabak Wuhan ini, yang jelas transmisinya disebabkan rantaian makanan.

Direkodkan, AIDS mula menjangkiti manusia setelah manusia memakan daging cimpanzi. Penyakit tanpa ubat ini memakan korban tiap tahun. Ia penyakit sepanjang zaman.

Rantaian makanan diakhiri dengan manusia. Meskipun 2 juta tahun lepas, kita bukan di hujung rantaian makanan lagi, tapi dengan kemajuan intelek manusia dan rangsangan evolusi, manusia menjadi pemangsa ulung. Baik tumbuhan atau daging, manusia melahap kesemuanya.

Memang benar, manusia punya selera yang besar. Jika kita cermati, biji nangka bukanlah untuk dimakan, tapi hari ini kita telah merebusnya untuk dijadikan makanan. Ulat sagu juga bukan untuk dimakan, begitu juga belalang - tetapi masharakat Borneo dan Kelantan, menjadikannya sebagai sumber protein dan kudapan. Manusia, seperti bayi, mencuba apa saja untuk dimasukkan ke dalam tekaknya.

Sesuatu yang di luar kelaziman pemakanan kita tidak bermaksud ia turut diamalkan di tempat lain. Orang Barat tidak menjadikan nasi sebagai menu harian utama tapi di Asia Tenggara, nasi adalah penyambung nyawa. Sehari dua tanpa nasi, membuatkan warga Asia menggigil.

Tapi saya bukan mahu membincangkan perkara-perkara gastronomi di sini. Yang saya mahu panjangkan adalah soal peluru-peluru sumbang yang dihalakan kepada masharakat Wuhan seperti Islam telah melarang agar jangan dimakan mahluk yang tidak halal kecuali di waktu darurat.

Peluru ini sumbang di mata saya adalah kerana ia sebuah lagi pengIslaman yang terdesak ke atas orang bukan Islam. Ia cuba membuktikan kebenaran agama yang dianuti seakan-akan puluhan jutaan tahun yang lalu, koronavirus telah mampu dihidu kemunculannya.

Saya percaya agama bukanlah wilayah yang rasional. Memang di waktu epidemik sebegini, saranan agama ini dan itu kedengaran relevan, tapi bukankah Islam juga kesayuan suaranya semasa orang mempersoal kerelevanan amalan korban? Mengapa Ibrahim perlu menyembelih Ismail? Meski digantikan dengan kibas, mengapa korban, (amalan yang turut dijalankan dalam pelbagai agama lain yang dianggap ortodoks dan barbarik) harus dijalankan juga jika di dalam Quran, Allah berfirman, tidak akan sampai darah dan daging hatta bulu dan kuku binatang korban melainkan keikhlasan ibadah?

Menafsirlah para penganut. Hikmah dingiangkan. Simbolisme dijelaskan. Teks demi teks disusun agar justifikasi menjadi kukuh.

Hal-hal makanan di dalam agama memang dititikberatkan kerana ia mempengaruhi kesejahteraan penganut. Namun, dalam kes koronavirus, masharakat Wuhan bukanlah orang Islam, jadi kenapa harus ditindihkan gesaan agama Islam kepada mereka semua?

Jika ini adalah tentang keperluan memperingatkan seperti saranan surah Al-Asr, saya juga fikir harus kita mengingati semula bagaimana kerosakan di muka bumi ini disebabkan tangan manusia itu sendiri baik yang bukan Islam atau yang Islam.

Jika masharakat Wuhan memasak makanan mereka tanpa api yang cukup panas untuk mematikan bakteria, daging mereka dihidangkan kotor dan kemudian dimakan mentah sampai virus menular - wajar kita ingati juga bahawa ayam dan udang yang kita beli di pasar, disumbat dengan antibiotik dalam jumlah yang  tinggi sehinggakan beberapa negara tidak mengimportnya kerana menakuti kesan jangka panjang darinya.

Padi dan sayur-sayuran yang kita tanam juga disembur dengan racun perosak yang sangat membahayakan sehinggakan ia tidak disentuh walau sedikit pun oleh ulat dan kumbang.

Sungai-sungai kita yang membekalkan ikan air tawar dicemari oleh aktiviti perlombongan dan pembalakan. Aktiviti perlombongn bauksit suatu masa dulu membuatkan sebuah daerah di Pahang tidak ubah seperti panorama di planet Marikh. Bukankah apabila keadaan menjadi separah itu, sumber makanan; baik tumbuhan atau daging- bakal membahayakan manusia? Bukankah aktiviti-aktiviti di atas dijalankn oleh orang Islam, jadi mengapakah tidak mereka menafsir dan memeriksa teks kitab semasa melakukan pekerjaan?

Kita hanya terngadah setelah terhantuk. Jika koronavirus tersebar kerana amalan pemakanan masharakat Wuhan yang tidak bersih dan selamat, yang mana haiwan eksotik ini turut dimakan di tempat lain, tapi tidak mencetuskan wabak kerana amalan penyediaan dan pemakanan yang berbeza - adakah argumen benda halal benda haram ini masih valid jika ikan-ikan di sungai Kelantan yang dijala orang ramai pula yang bermutasi dan menyebarkan virus?

Adakah valid untuk orang Barat mengatakan antara sebab mereka tidak memakan ikan seekor penuh seperti yang dilakukan masharakat Asia Tenggara adalah kerana mereka tahu virus akan datang darinya?

Wabak adalah peringatan terampuh agar kita merendah diri. Hutan Indonesia dan Australia yang terbakar memakan korban yang begitu besar. Kita meratib memikirkan manusia tidak layak berada di dunia ini. Bukankah dengan datangnya wabak sebegini, doa kita telah terjawab? Bukankah manusia adalah perosak utama alam yang indah ini, jadi mengapa kita menggeletar dan menuding jari kepada satu sama lain lagi semasa berhadapan dengannya?

Kita tidak pernah mampu menundukkan alam. Alam bukan soal pokok dan binatang semata, tapi juga tentang yang tidak tampak di mata seperti bakteria dan virus yang melihat perlakuan konyol dan celaka manusia sehari-hari.

Jika kita tidak belajar untuk bersahabat dan bersimbiosis dengannya, alam tidak perlu berfikir panjang untuk membasmi populasi manusia. Dari Homo Erectus yang sangat kekurangan itu sehingga lahirnya Modern Man seperti kita hari ini, alam telah menjadi penyelenggara spesies manusia agar berupaya hidup panjang, tidak terhapus.

Sebaliknya berterima kasih dan saling menjaga, kita melontar batu ke arahnya. Kita mendabik diri bahawa kita tahu segala perkara. Kita menjadi tamak haloba. Kita cuba menjadi tuan kepada sesuatu yang tak mampu dipertuankan. 


Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang