Skip to main content

Mazhab Pendidikan Kaum Tertindas


Adalah sebuah mazhab pendidikan yang memfokuskan pada pemberdayaan (empowerment) pendidikan (education-pedagogy) dan kesedaran (consciousness) / pencerahan (enlightenment) untuk kaum tertindas (for the oppressed).


Mazhab ini yang memuat rumus – rumus dari pendiri pemikiran pemberdayaan orang – orang tertinas seperti Paulo Freire, Henry Giroux, Antonio Gramsci, Paula Allman, Mazhab Frankfurt, Asghar Ali, Ali Syari’ati, Agus Nuryatno, Eko Prasetyo, dll.

Mazhab ini mengemukakan konsep, KITA HARUS BELAJAR APA YANG KITA PERLU, dan APA YANG KITA MAHU. Bukan kita menjadi kuda tunggangan atau lembu pembajak mana-mana pihak yang belajar menurut apa yang "mereka perlu" atau apa yang "mereka mahu".

*"mereka" di sini merujuk kepada ibu bapa, guru, tuan tanah, pemaju, pemodal (tuan punya kapital) majikan, sultan, pengusaha, penguasa, daulah, negara dll.

Mazhab ini merayakan kebebasan untuk berpendapat, dan melindungi suara minoriti berbeza.

Sesiapa sahaja dibenarkan mengkritik apa sahaja asalkan ia punya argumen dan dakwaan berasas, dan keselamatannya dipelihara, terjaga dan dilindungi di bawah tajuk freedom of speech. Dan dia juga berhak untuk dikritik atas pandangannya, dan pihak yang mengkritiknya juga terjaga kehormatannya, terjaga darahnya dll.

Semua orang dibenarkan berhujah, mempertahankan hujah, dan dikritik hujah. Kesemua ini terjamin di bawah pendidikan kaum tertindas.

Apapun, freedom of speechfreedom to critique bukanlah bermaksud bebas dari pertanggungjawaban atau bebas menghinakan (freedom to insult).

Mazhab ini meyakini setiap jiwa anak yang lahir atas dunia punya potensi tersendiri untuk diperkembangkan.

Potensi ini ada pada setiap jiwa tanpa kecuali, sama ada lelaki atau perempuan, dari latar belakang kaya ataupun miskin, di kota bandar, atau desa pendalaman, sama ada sempurna upaya atau kurang upaya, mazhab ini meyakini semua anak punya potensi tersendiri. Terpulang pada setiap pendidik untuk menggilap potensi anak didik masing-masing.

Mazhab pendidikan kaum tertindas ini meraikan minat dan kebolehan anak didik masing-masing, bukan memaksakan minat dan kemahuan guru atau sekolah-ibu bapa kepada anak didik. Dengan meraikan minat masing-masing, setiap anak didik semuanya dipastikan mendapatkan keadilan dalam pendidikan, dengan setiap seorang tidak dilebihkan atau dikurangkan, bukan dilebihkan atas sebab bilangan A yang dikumpul, atau direndahkan kerana tidak mampu skor untuk satu-satu subjek. Bukan diajar untuk melihat ilmu sebagai komoditi yang perlu dimiliki, bukan sebagai sebuah sikap yang hadir sebagai minat (Zul Fikri Zamir).

Guru-pensyarah-ustaz-ustazah, bukanlah sebuah objek maksum, Tuhan yang serba tahu, atau Malaikat dan para Nabi yang suci untuk dikritik (Soe Hoek Gie). Apa yang diketahui atau dialami oleh kehidupan dan pengetahuan guru, belum tentu diketahui oleh setiap anak didik mereka. Dan begitulah sebaliknya. Apa yang diketahui oleh anak didik mereka, belum tentu diketahui sepenuhnya oleh guru-pensharah-ustaz-ustazah mereka. Di sini, mazhab pendidikan kaum tertindas menolak sepenuhnya pemahaman guru adalah subjek yang aktif dan murid adalah subjek yang pasif (Agus Nuryatno). Kerana proses pendidikan itu cumalah dapat berlangsung apabila kedua-duanya mulai berminat untuk saling memahami dan perasaan saling ingin mengetahui satu sama lain.

Setiap peserta didik dalam mazhab pendidikan kaum tertindas akan diajak untuk mengenalpasti potensi diri, apakah kelebihan yang dipunyai dalam diri, seterusnya mengenal pula apakah kekurangan diri yang sering dieksploitasi atau permasalahan sebenar yang mereka menghadapi dan bagaimanakah pula seterusnya upaya mereka selayaknya atau seharusnya mereka organisir untuk melawan penghisapan yang berlaku ke atas mereka.

Mempercayai perubahan untuk kaum tertindas itu kebanyakan kalinya digerakkan oleh tangan-tangan muda seperti Robbespierre, Georges Danton, Camiles Desmoulin, Saint-Just yang semuanya mati muda ketika memperjuangkan Revolusi Perancis (Farish Noor). Sebaliknya pula birokrat-birokrat tua yang menjadi anjing perkakas memperkuatkan sistem pendidikan bodoh lagi membodohkan,  membelenggu fikrah untuk berkekal lama dalam status quo, dan terpenjara dalam sistem pendidikan yang tepu penindasan.

Mahasiswa dan anak muda yang terlibat dalam pendidikan kaum tertindas ini, pula meyakini pendidikan itu partisan, akan tetapi bukanlah partisan atau terkotak dalam kotak politik kepartian yang sempit, tetapi partisan pendidikan kaum tertindas ini adalah memihak sepenuhnya pada kaum tertindas, bukan kepada oportunis dari regim atau kepentingan elit oportunis dari blok oposisi.

Apa jua tindakan yang dilakukan haruslah diselaraskan untuk memihak kepada kaum tertindas, dalam memproses pendidikan untuk kaum tertindas, bukan memihak kepada mana-mana elit politik.

Isu-isu pendidikan percuma, pendidikan berkualiti, akta-akta celaka, dll seharusnya di tangan anak muda ghairah menggebu untuk membumikan pendidikan bagi seluruh rakyat tertindas. Bukan pergantian retorik dari regim yang lama ke regim yang baharu.

Apa-apa sahaja yang ditawarkan oleh blok oposisi, lebih-lebih lagi dari regim, sewajarnya disemak oleh badan anak muda-mahasiswa yang tidak berkepentingan parti, dalam menangani hal sedemikian anak-anak muda-mahasiswa di dalam mazhab pendidikan kaum tertindas ini perlulah memikirkan lebih serius keperluan satu union yang menaungi think-tank tak berpihak pada mana-mana kelompok elit ini. Semangat Sumpah Pemuda di Indonesia (tanggal 28 Oktober) wajar sekali dihayati dalam permasalahan anak muda membentuk rupa negara.

Menolak sepenuhnya ilmu itu milik atau didominasi oleh gedung universiti yang dipagari sekian banyak akta drakonian. Universiti cumalah satu dari sekian banyak pemudah cara yang lain untuk memperolehi ilmu. Tidak masuk universiti atau tidak habis universiti tiadalah bermaksud proses pendidikan itu telah terhenti atau terputus buat selama-lamanya. Mazhab pendidikan kaum tertindas meyakini, pendidikan sebenar berupaya membela, memayungi, atau melindungi siapa sahaja yang tercicir kerana objektif matlamat pendidikan kaum tertindas adalah akhirnya kembali kepada kaum tertindas. Bukan cuma mau mengaut untung dengan sekeping diploma atau ijazah dan kemudian untuk siapa yang tidak mampu membayar, atau berbeza pandangan, melawan totalitarian dalam kandang universiti itu dihalang atau diberhentikan serta merta kerana tidak mau tunduk pada bejatnya kuasa akademik palsu.

Mazhab ini menolak sekerasnya pembodohan, berupa pendogmaan atau pendoktrinan yakni penerimaan secara total tanpa soal jawab, tanpa naluri inkuiri bertanya benar salah, sedangkan skeptik (meragukan sampai terlihat kebenaran pasti) itulah yang membezakan insan dan hewan.

Mazhab ini menggalakkan sebanyak mungkin pertanyaan demi pertanyaan, kritikan demi kritikan penyiasatan demi penyiasatan, pembuktian demi pembuktian, penerokaan demi penerokaan yang tak pernah henti-henti, yang tak pernah puas-puas kerana dengan inilah membuktikan pendidikan itu adalah sebuah proses yang hidup, tidak terhenti mati, tidak beku membeku, jumud dan kolot.

Agama menurut mazhab pendidikan kaum tertindas, bukanlah sebuah drama fatalistik yang menghalakan penipuan dan pendogmaan. Mazhab pendidikan kaum tertindas mempercayai agama adalah penting bagi setiap individu yang mempercayai agama dan Tuhan. Akan tetapi menolak sekerasnya kepercayaan menyerahkan nasib kepada takdir tanpa usaha melawan setiap kejahatan yang muncul dan memeras.

Di akhirnya, mazhab ini meyakini pendidikan adalah alatan penting (tool, instrumen) mencapai kesempurnaan insan dengan memainkan perubahan maha penting untuk massa yang tertindas. Bagaimana mungkin di sana ada kemanusiaan, dan di sana juga, adanya penghisapan? Bagaimana mungkin di sana rakyatnya beradab, dan rajanya zalim menghisap?

Kerana pendidikan yang sebenarnya, berupaya memberikan nafas yang baharu untuk kaum tertindas melawan segala bentuk penindasan di hadapan mereka.

Pendidikan yang palsu pula meskipun dikosmetik ataupun dikomersialisasi dengan istilah dari timur sampai ke barat, menggunakan perkataan-perkataan Arabik, Islamik, ataupun laras-laras bombastik dengan jargon ilmiah akademik, tetapi tak mampu atau tidak berupaya membebaskan kaum tertindas, tidak syak lagi inilah dia mazhab pendidikan kaum penindas (pedagogy of the oppressor).


RUJUKAN:
MAZHAB PENDIDIKAN KRITIS. AGUS NURYATNO.
ISLAM DAN CABARAN MASAKINI. ASGHAR ALI.
CATATAN SEORAN DEMONSTRAN. SOE HOEK GIE.
MALAYSIA-LAH. DISKOPI GROUP.
SEKOLAH BUKAN PENJARA ~ UNIVERSITI BUKAN KILANG. ZUL FIKRI ZAMIR.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang