Skip to main content

Bacaan Hari Selasa Buat Nami Cob Nobbler



Oleh: Pencinta Wollstonecraft

Saya suka melibatkan diri dalam dialog [atau dialektik] filosofi politik, walaupun terpaksa mengaku tidak ada major dalam hal ini. Hei, ini zaman libertarianisme, kan? Semua orang berhak berfikir dan bersuara.

Dalam pada itu, terdapat suatu artikel yang limpas di Suapan akaun Facebook saya. Ia artikel yang dikeluarkan oleh portal neokonservatif, tidak lain tidak bukan, The Patriots. Tajuk artikelnya: 'Liberal Di Saat Sakaratul Maut'.

Saya bukan liberal, atau konservatif atau sentris. Saya humanis, yang percaya kepada Idea Manusia. Ah, itu kita bahaskan lain kali.

Saya teliti satu persatu hujah dan untaian kata penulis artikel, saya fikir ini adalah nukilan yang agak ironi. Pada bahagian akhir, penulis ada mengatakan Orwellian akan tumpas di tangan libertarian. Anehnya, dengan pilihan kata yang fatalistik, penulislah yang lebih bersifat Orwellian.

Pertama, penghakiman kepada liberalisme dengan melihat tindakan beberapa liberalis radikal adalah penaakulan emosional.

Benar, ada liberalis di luar sana yang melakukan tindakan destruktif demi merubah masyarakat (menjadi lawan-produktif), namun itu tidak harus dijadikan ukuran untuk memburukkan keseluruhan gerakan liberalisme.

Kalaupun golongan radikal ini mengakui mereka liberal tulin, adalah janggal mempercayai kata-kata mereka lantas menggunakan kata-kata itu untuk menghujat semua liberalis; sebagaimana janggalnya mereka mahu menerima bahawa monarkisme sudah perlu diganti.

Kedua, penulis ada mengulas  mengenai idea kitaran zaman. Saya belum membaca buku 'The Fourth Turning' itu, tapi saya rasa ada kesilapan teknikaliti dalam penggunaan istilah kitaran.

'Kitaran' menurut fahaman saya, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan orang awam adalah suatu gerakan berpusing dan berputar, yang bukan sekadar punya turun-naik ('up-down') malah pergi-kembali ('to-fro').

Maka, jika dikatakan 'kitaran Revolusionari, adakah penulis memfirasatkan Revolusionisme akan kembali menjadi masa depan umat manusia yang tak tertolakkan? Kalau demikian, bergembiralah liberalisme!

Hipotesis lainnya adalah, di sini penulis seolah-olah hanya mampu menanti zaman kebangkitan semula konservatisme, seperti telah kehabisan hujah dalam mempertahankan ideologi itu.

Ketiga, sikap membahagi-bahagikan zaman ini, lalu dari itu mengekstrapolasikan masa depan manusia adalah sikap dan penyakit melihat sejarah (dan masa depan) yang primitif.

Perjalanan sejarah manusia bukan suatu proses saintifik yang padanya boleh digunakan kaedah induktif bagi menentukan masa depan. Masa lalu dipelajari untuk memperbaiki masa depan, bukan menghukumnya, dan menghukum orang yang mempercayai apa yang kita anggap sebagai tidak futuristik.

Keempat, disebut juga dalam artikel yang sama, modeniti adalah penggerak utama industri. Saya keliru. Di perenggan sebelumnya penulis menyatakan modeniti disebabkan oleh Revolusi Perindustrian, namun di bawah, peranan itu bertukar.

Modeniti sebetulnya adalah reaksi terhadap perkembangan masyarakat industri, urbanisasi global dan pemerluasan hedonisme dan budaya kreatif lewat pengalaman Revolusi Industri seterusnya Perang Dunia I.

Idea mengenai modeniti sebagai satu fahaman yang mengiktiraf satu standard seantero kedengaran agak asing pada saya. Sama ada oleh sebab saya belum membaca karya Turley, atau ini isyarat penulis kepada konspirasi 'Novus Ordo Seclorum', saya tidak pasti.

Lagi, saya keliru penulis merujuk kepada zaman bila "satu fahaman satu standard" berlangsung, kerana pada ayat seterusnya, dia menulis, "kemudian ia berpecah kepada liberal demokrasi, komunisme dan fasisme" (ini ayat penulis sendiri).

Kalau sebelum berpecah itu, sudah pastilah dia merujuk kepada merchantilisme dan imperialisme. Kedua-dua ini mempunyai citra berbeza relatif kepada sesuatu kerajaan, maka apa yang "satu fahaman satu standard" di sini?

Liberal demokrasi (sebetulnya, ikut nahu, 'demokrasi liberal', bukan?) yang dirujuk penulis adalah liberalisme klasik, yang menumpukan kepada kebebasan. Zaman ini ditandai operasi emansipasi hamba, hak korporat, kebebasan memilih pemimpin (identitatif kepada demokrasi) dan terlibat dalam politik.

Liberalisme sosial adalah rentetan kepada liberalisme klasik. Asasnya, liberalisme sosial adalah fahaman yang percaya kepada intervensi kerajaan dalam menyeimbangkan masyarakat, khususnya dari sudut ekonomi. Prinsip pasaran bebas kerajaan laissez-faire sewaktu liberalisme klasik ternyata memarginalkan sebilangan manusia, yang miskin, yang dibayar sedikit dan yang dinafikan hak, dan ini yang ditentang liberalisme sosial.

Saya fikir, kedatangan zaman pascamodernisme tidak memangkas keberadaan liberalisme (penulis tidak pun menulis sebab liberalisme akan mati). Liberalisme sosial akan terus wujud dan perlu terus wujud demi menyeimbangkan [fikiran] sosioekonomi dunia.

Liberalisme perlu harus berdiri untuk menjentik golongan neokonservatif, pascamodernis dan Kanan amnya. Mematikan liberalisme bermakna mematikan dialektik masyarakat.

Dalam perihal nasionalisme, saya setuju, harus ada demi mendepani globalisasi dan sebarang bentuk neokolonialisme. Namun, sekali lagi, bagaimana nasionalisme boleh membunuh liberalisme tidaklah jelas dalam artikel ini.

Bahkan, sejarah membuktikan, fahaman konservatif juga punya saham dalam memperluas hegemoni satu bangsa terhadap bangsa lain seperti yang dipegang oleh Hobson, Ratzel dan Mackinder.

Malah, saya boleh membidas, liberalisme sosial boleh saja berlaku pada peringkat tempatan, yakni mengangkat hak-hak asasi dalam sesuatu negara dengan menyemak tradisi yang sebahagiannya membelenggu masyarakat.

Berkenaan SJWs, saya bersetuju. Sesetengah liberal pascamoden agak keterlaluan dalam menjulang hak asasi sehingga berlaku intervensi destruktif antara budaya (liberal Malaysia mengaut liberal Amerika, misalnya).

Akan tetapi, ini hanyalah kemacetan pada pendekatan, bukan pada idea(lisme) liberalisme itu sendiri. Betulkah tidak ada langsung fahaman universaliti yang saling kita kongsikan pada peringkat antarabangsa? Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu itu gagal kerana tidak serius dalam hal inilah!

Kemudian, penulis pergi kepada libertarianisme, mengatakan ia mengutamakan kebebasan berfikir berbanding kebebasan bersuara (dan liberalisme, sebaliknya).

Saya kira inilah namanya teknik Orwellian, menggunakan kaedah psikologi bahasa 'double binding' demi mengangkat idea sendiri ("sama ada kau libertarian atau kau lebih utama bunyi berbanding idea").

Berdasarkan pemahaman saya, libertarianisme adalah gerakan yang mengangkat tiga perihal: kebebasan memilih (euthanasia, pengguguran bayi, perkahwinan sejenis, paternalisme dalam ekonomi), perikatan dengan fokus sepunya dan individualisme. Saya tidak fikir ini yang harus didokong neokonservatif.

Satu lagi, sebetulnya saya mahu bertanya: apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan berfikir? Bukankah liberalisme yang memberikan umat manusia nyawa untuk berfikir demi dirinya sendiri, menentukan nasibnya lewat Zaman Revolusionari menentang Filmerian dan monarkisme di Eropah?

Bukankah Edmund Burke, Bapa Konservatif, yang menyatakan pada Raja-Raja ada kebijaksanaan berkurun yang patut dipatuhi meskipun dengan kemelaratan di Eropah?

Lalu, bukankah liberalisme yang datang ke Eropah dan memberikan Eropah sekilas idealisme demokrasi melalui tangan Napoleon Bonaparte? Lalu, bagaimana liberalisme sosial hari ini, yang berupaya matang dianggap meminggirkan kebebasan berfikir?

Sepanjang perbualan saya dengan kawan dari kem liberal, saya merasakan ideologi ini tidak datang untuk menjadikan kebebasan bersuara mengatasi kebebasan berfikir. Liberalisme datang untuk memberikan manusia suara di saat pemikirannya dijajah. Mereka yang bercakap sebebasnya tanpa berfikir, itu juga ada dalam golongan libertarian dan mana-mana ideologi.

Ingat tidak saya kata penulisan ini ironis? Penulis marah apabila sebahagian SJWs menggunakan istilah-istilah tertentu untuk menghalang perbezaan pendapat. Namun, mendoakan liberalisme di ambang maut demi menutup kritik-kritik yang datang bersama liberalisme adalah ironis yang pekat sekali. 

Menghina liberal melakukan apa saja demi mempertahankan kedudukan juga, adalah ironis tajam buat The Patriot. Katakanlah hal itu kepada Raja-Raja Melayu kalian. Berani?

Sebetulnya, sekarang ini, pada zaman pascamodernisme, kita sudah mengambil wuduk dan mentalkinkan monarkisme, namun kalian masih berseloroh dengan "kebijaksanaan berzaman kalian". Hey, penulis sendiri yang sebut, "semua ideologi tidak akan kekal selamanya", kan?

Marilah kita berdoa agar liberalisme (yang baik, gradual, rasional dan sejahtera) terus bernafas.

Info tambahan: saya menyanjung Jordan Peterson. Kamu fikir Jordan Peterson sukakan idea monarkisme?

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang