Skip to main content

Ibn Arabi, Sufi dan Golongan Kiri



Oleh: Zin Mahmud

Seronok melihat generasi muda golongan kiri Muslim dekad kedua abad ke-21, membicarakan mengenai Ibn Arabi. Ketika generasi itu membicarakan mengenai Marx pun sudah mengujakan, ini pula ditambah dengan minat terhadap Ibn Arabi.

Sebab itu beberapa tahun lalu, ada pihak yang mendakwa bahawa terdapat usaha untuk menghidupkan semula fahaman Marxis. Penulis ini menjawab bahawa Marxisme tidak pernah mati, bagaimana pula mahu menghidupkannya semula. Fahamannya sentiasa ada sejak beliau gagaskannya melalui buku Das Kapital dan Communist Manifesto. Walaupun setelah kejatuhan Soviet Union pada tahun 1989, ia sudah tidak  laku di Rusia dan banyak golongan kiri berpaling daripadanya, tetapi ada saja para intelektual dunia, malah di Amerika Syarikat sekalipun yang mahu memperkenalkan diri mereka sebagai Marxis. Mereka melawan arus.

Ibn Arabi jauh lebih lama lagi daripada Marx. Fahamannya juga tidak pernah mati. Dalam sejarah Islam, ada dua tokoh yang dikenali sebagai Ibn Arabi. Seorang ulama fekah yang tidak kontroversi. Tetapi tokoh yang dibincangkan ini adalah seorang sufi sebaris dengan Jalaluddin Rumi, Abdul Qadir Jailani dan lain-lain yang pengaruhnya tetap ada walaupun ke hari ini.

Apakah kaitan Ibn Arabi dengan golongan kiri? Tiada. Dalam sejarah Islam, tokoh yang sering disebut oleh golongan kiri Muslim ialah Abu Dzar Al-Ghifari, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Baginda amat menghargai beliau dan tidak menyanggah pandangannya, walaupun sikapnya berbeza daripada sahabat lain.

Abu Dzar bukan saja terkenal dengan zuhudnya tetapi ia tidak mengumpul harta. Ia hanya memiliki sesuatu untuk keperluan hidup. Baginya Islam melarang pemilikan harta. Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyanggah pendapatnya dalam hal itu. Kedekatan Abu Dzar dengan Rasulullah s.a.w dapat dilihat bagaimana banyak hadis yang diriwayatkan melalui beliau. Bagaimanapun, Rasulullah s.a.w tidak melarang sesiapa untuk mengumpul harta seperti mana Saidina Uthman bin Affan, khalifah ketiga. Ada seorang sahabat jaya yang mempunyai hubungan baik dengan Abu Dzar. Kalau dalam perjalanan berdagang, beliau sering singgah ke kampung Abu Dzar iaitu di Ghifar. Beliau akan melihat sebarang keperluan Abu Dzar untuk dipenuhi.

Dalam sejarah Islam, Abu Dzar terkenal sebagai sahabat Rasulullah yang pergi ke istana Khalifah Muawiyah di Damsyek. Muawiyah adalah juga seorang sahabat dan khalifah yang menggantikan Saidina Ali Abu Talib. Ketika itu kekayaan Darul Islam sedang meningkat apabila banyak harta rampasan dibahagi-bahagi di kalangan para mujahid. Menurut catatan sejarah, Muawiyah sendiri mempunyai ladang kurma yang besar dengan diusahakan oleh banyak para hamba.

Abu Dzar berjumpa Muawiyah bahawa Islam tidak mengajar mengumpul harta dan hartanah. Harta dan hartanah harus dibahagi-bahagikan pada golongan yang susah dan memerlukannya. Walaupun Muawiyah terkenal sebagai seorang yang hilm iaitu penyabar pada penentang-penentangnya dan melayan Abu Dzar dengan baik tetapi  beliau tidak bersependapat dengannya.

Dalam sejarah kiri, salah seorang pelopor sosialisme pada abad ke-19 dari Perancis, Prodhoun yang rasanya tidak mengetahui mengenai Abu Dzar mempunyai pendapat yang sama. "Property is theft," katanya. Harta adalah pencurian. Masa beliau berkata demikian, komunisme dan anarkisme belum muncul.

Perlu dibezakan antara harta dan keperluan. Harta adalah lebihan daripada keperluan. Rumah kediaman bukan harta tetapi keperluan. Tetapi rumah yang banyak untuk dispekulasi hingga menaikkan harga pasaran dan menafikan anak-anak muda membeli rumah adalah harta.. Malah hartanah juga disebut properti. Kemudahan awam pun tidak patut jadi harta syarikat. Taman, pantai, hutan, bekalan air adalah harta awam.

Golongan Syiah menganggap tinggi dua orang sahabat iaitu Abu Dzar dan Salman Al-Farisi serta menerima riwayat hadis mereka walaupun mereka menolak banyak sahabat lain termasuk Abu Bakar, Omar, Usman dan tentunya Muawiyah kerana menafikan hak Ali untuk menjadi khalifah. Bagaimanapun Ahli Sunnah wal Jamaah menerima kedua-dua, Abu Dzar dan Salman.

Keistimewaan Salman adalah beliau seorang pencari kebenaran. Beliau mengembara dari Parsi untuk mencari pemikir dan guru hinggalah ke Syam dan Hejaz, yang akhirnya bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mengikrarkan syahadah.

Inilah semangat yang ditunjukkan oleh banyak anak-anak muda intelek golongan kiri. Kebanyakan orang secara default adalah golongan kanan. Mereka memerima saja apa yang ibu bapa masing-masing pegang, apa yang sekolah mereka ajar serta media arus perdana kata.

Tetapi anak muda intelek yang  berjiwa memberontak akan mencari kebenaran. Dalam pencarian ini mereka akan menemui aliran kiri, sosialisme, Marxisme, komunisme dan anarkisme. Terhadap agama, mereka akan baca mengenai kepercayaan lain. Mereka tidak akan duduk diam dengan Ahli Sunnah wal Jamaah saja. Akhirnya mereka akan jumpa sufi dan Ibn Arabi.

Walaupun bukan arus perdana, Ibn Arabi sudah lama berada di Nusantara. Membaca Ibn Arabi menggugat minda tetapi terjebak dengan kumpulan Batiniah bukan saja menyesatkan tetapi jelas mengarut bagi mereka yang rasional.

Ibn Arabi ini juga popular di kalangan pengkaji-pengkaji Islam di Barat,  umpamanya para orientalis di Jerman. Ada yang memeluk Islam kerana minat itu. Ada yang suka pada sufi saja dan tidak mahu syariah.

Dua tokoh yang orang Barat minat selain Ibn Arabi ialah ibn Rushd atau dipanggil mereka Averroes kerana rasionalisme. Kedua-duanya berasal dari Andalusia, European Islam, kata mereka.

Gelombang minat orang Barat terhadap sufi adalah sekitar tahun 60-an. Pada masa itu mereka sudah kecewa dengan agama arus perdana Kristian dan ideologi Komunis. Ada golongan kiri pergi ke New Left, Eurocommunism, Democratic Socialism, social democracy, libertarian socialism atau anarkisme. Mereka menolak Marxisme-Leninisme yang totalitarian.

Dalam hal agama, banyak anak muda ketika era gerakan Hippie tertarik pada hal-hal mistisisme (bukan mistik yang difaham orang Melayu). Mereka minat pada mistisisme Hindu seperti Vedanta, Buddhisme Zen dan sufisme. Mereka datang ke timur mencari guru dan syaikh.

Anak-anak muda di negara-negara Isam terbalik pula, mereka menunjukkan minat terhadap komunisme. Kecuali Arab Saudi dan negara di Teluk Parti, hampir semua negara negara Islam mempunyai parti komunis, kebanyakannya bawah tanah. Negara majoriti penduduk Islam yang menjadi komunis ialah Albania. Ia diisytiharkan sebagai negara atheis pertama dunia dan termaktub dalam perlembagaan. Presidennya, Enver (Anwar) Hoxha datang dari keluarga syeikh tarikat sufi. Sebuah lagi negara orang Islam yang turut menjadi Marxis ialah Yaman Selatan yang nama rasminya ialah Republik Demokratik Rakyat Yaman. Parti komunis terbesar di kalangan negara-negara Islam ialah Parti Komunis Indonesia (PKI) yang hampir memperolehi kuasa.

Di Malaysia, pada tahun 60-an, anak-anak muda intelek yang mahu bergaya menyertai Parti Rakyat Malaya (PRM). Dengan sokongan mereka, Kasim Ahmad mengalahkan Ahmad Boestamam, tokoh nasionalis kiri berfahaman marhaenisme. Kasim membawa fahaman sosialisme saintifik yang mula bertapak di Eropah Barat. Ia adalah lanjutan pada Marxisme tetapi menolak Leninisme. PRM ditukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Pada lewat 1980-an, Kasim hilang minat pada ideologi dan cenderung pada agama tetapi berbentuk progresif, rasional dan revisionis. Tetapi bukan sufi. Beliau mengemukakan Teori Sosial Islam dan kemudiannya menyarankan  supaya hadis dinilai semula. Beliau yang menyokong Mahathir Mohamad meninggalkan PSRM dan menyertai UMNO.

Menurut Ahmad Boestamam, pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ialah Mokhtaruddin Lasso, seorang atheis. Beliau mencadangkan supaya parti itu dinamakan Parti Sosialis Malaya tetapi cadangannya itu ditolak kongres pertama.


Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang