Skip to main content

Mengapa Sosialisme Masih Relevan?



Oleh: Zin Mahmud

Sosialisme pada waktu ini mempunyai nama buruk bukan saja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Walaupun di negara-negara Eropah tertentu, parti yang bernama sosialis atau demokrasi sosial masih boleh meraih undi, jangan harap Parti Sosialis Malaysia (PSM) boleh menang kerusi jika bertanding sendirian.

Ini kerana kebanyakan orang bukan saja tidak faham apa itu sosialisme, malah tidak mengenalinya. Untuk memahami apa itu sosialisme, seseorang itu perlu daya intelektual yang lebih daripada kebanyakan orang, Atau sekurang-kurangnya seseorang itu mesti rajin dan minat membaca. Maknanya perlu usaha. Maka tidak hairanlah, orang yang memahami sosialisme adalah golongan ideologi. Iaitu sedikit sebanyak elitis otak.

Seringkali orang yang menjadi sosialis adalah mereka yang berminat terhadap kebenaran dan keadilan dan pencarian itu membawa kepada pemahaman ideologi itu.

Sementara sebahagian yang mengenalnya lain pula melihat sosialisme dengan penuh kebencian dan penghinaan. Terdapat tiga golongan dalam kategori ini. Pertama, mereka yang mengambil tahu mengenai sosialisme sebagai suatu ilmu pengetahuan, tetapi mengambil keputusan untuk menolaknya. Kedua, mereka yang bukan saja memahami sosialisme, tetapi pada suatu ketika pernah menyokongnya, tetapi kini menolaknya. Ketiga adalah golongan yang anti-sosialis di aras prasangka yang terbentuk daripada propaganda golongan kanan. Golongan ketiga ini umumnya menyamakan sosialisme dengan komunisme. Mereka melihat sosialisme ini sebagai ideologi yang menggunakan kekerasan, penderaan dan pembunuhan. Sosialis juga dilihat sebagai golongan yang tidak beretika kerana banyak menipu, menggunakan propaganda dan polis  perisik rahsia. Selain itu sosialis juga dilihat sebagai anti-demokrasi, anti-kebebasan dan anti-agama. Dalam pada itu, sosialis juga dilihat sebagai taksub pada tokoh dan obses pada teori daripada buku, dan tidak berdiri di atas realiti dan fakta. Penting sekali ialah, sosialis dilihat sebagai yang tidak cekap kerana sistem ekonomi berperancangan pusat yang mana di dalamnya terdapat kilang milik negara serta ladang kolektif membawa kepada kemerosotan pengeluaran dan kekurangan barangan. Selain itu, sosialisme dilihat sebagai menggalakkan kemalasan  dan menyekat inovasi dan kreativiti. Dalam sistem sosialis, motivasi untuk maju dan produktiviti hilang kerana ketiadaan dorongan meraih keuntungan. 

Golongan yang mengkaji sosialisme dan menolaknya adalah dapat difahami yang mereka melakukannya secara rasional dan intelektual, itu adalah tindakan wajar dan tentulah manusia mempunyai pendapat berbeza. Kelihatannya ialah manusia terbahagi pada dua golongan teras iaitu yang konservatif dan progresif. Golongan konservatif ini seringkali gemar pada masyarakat yang berhierarki, ada kelas atas, menengah dan bawah. Mereka menganggapnya sebagai suatu yang lumrah alam. Tetapi bagi golongan progresif, masyarakat itu wajar menjadi sama rata dan semua lapisan masyarakat diberi peluang sama. Golongan konservatif gemar pada identiti dan kebesaran kaum masing-masing. Sementara golongan progresif menekankan soal kemanusiaan. Maknanya tidak timbul soal kaum dan bangsa. Banyak lagi perbezaan antara konservatif dan progresif. Jadi benda yang merupakan jati diri seseorang ini sukar untuk diubah. Perubahan hanya berlaku apabila muncul generasi baharu yang mempunyai kecenderungan lain daripada ibu bapa mereka.

Sementara golongan kedua pula adalah mereka yang pernah menerima sosialisme tetapi kini menolaknya. Antara lain mungkin kerana kekecewaan mereka terhadap kegagalan golongan kiri dalam usaha menegakkan sosialisme di dunia. Mungkin sebab para pemimpin dan aktivis yang merupakan manusia tidak cukup beretika dalam erti kata berperikemanusiaan, kejujuran dan bertoleransi terhadap pandangan berbeza di kalangan rakyat yang diperintah. Golongan ini akan kembali semula pada sosialisme jika berlaku perubahan pada kepimpinan gerakan yang lebih bagus daripada yang terdahulu dan aktivis-aktivis sosialis hari ini adalah lebih bagus daripada dahulu.

Golongan ketiga ini adalah musuh pada sosialisme. Ini kerana mereka sememangnya anti-sosialis dan tidak boleh bertoleransi pada golongan kiri. Golongan pertama dan kedua tadi mungkin boleh bertoleransi pada sosialis, tetapi tidak bagi golongan ketiga ini.

Mereka menyamakan sosialisme dengan komunisme sedangkan ia tidak sama. Komunisme adalah sebahagian daripada sosialisme. Tetapi tidak semua sosialis itu adalah komunis. Sosialisme adalah istilah yang merangkumi pemahaman politik yang luas dan mengandungi banyak aliran. Daripada demokrasi sosial yang diamalkan oleh parti-parti demokrasi sosial di negara-negara Scandinavia hinggalah kepada aliran Marxis-Leninis yang masih diperjuangkan oleh Parti Komunis di negara-negara tertentu.

Komunis pula ada dua jenis iaitu Komunis dengan huruf K besar dan komunis dengan huruf k kecil. Apa yang dimaksudkan dengan Komunis adalah mereka yang menjadi anggota Parti Komunis di negara masing-masing. Sementara komunis adalah mereka yang berfahaman komunisme tanpa menjadi ahli mana-mana Parti Komunis. Umumnya Komunis dan komunis adalah Marxis iaitu mereka yang menjadi pengikut fahaman Karl Marx. Terdapat banyak intelektual yang menjadi Marxis tetapi bukan komunis. Marx pula menganggap dirinya komunis tetapi bukan Marxis. Begitu kompleksnya dunia kiri dan sosialisme, maka tidak menghairankan bahawa orang mudah keliru dan mudah untuk dikelirukan oleh golongan kanan.

Ditambah pula negara-negara komunis sendiri memahami sosialisme dengan cara berbeza. Mereka, walaupun diketuai oleh Parti Komunis tidak menamakan negara dan program mereka sebagai komunis. Ini kerana keadaan cita-cita komunis itu belum dapat tercapai oleh mereka. Peringkat yang mereka lalui dan laksanakan dipanggil sosialisme saja. Sebab itu nama penuh Soviet Union ialah Kesatuan Republik-republik Sosialis Soviet (USSR) tanpa menyebut komunis pun. Republik Rakyat China juga menamakan dasar mereka sebagai Sosialisme dengan Ciri-ciri China.

Bagi mereka, sosialisme adalah peringkat transisi untuk sampai kepada komunisme. Jadi program yang mereka laksanakan adalah sosialisme yang merupakan transisi kepada komunisme.

Tetapi sebahagian besar aliran sosialisme di dunia ini menolak komunisme. Matlamat mereka adalah sosialisme itu sendiri dan tiada kena-mengena dengan komunisme.

Umpamanya Parti Buruh di Britain mahu melaksanakan sosialisme dan bukan komunisme. Begitu juga Bernie Sanders yang pernah menjadi calon presiden bagi Parti Demokratik Amerika Syarikat  yang mengaku dirinya sosialis demokrasi mahu melaksanakan sosialisme, dan bukannya komunisme.

Walaupun komunisme kini sudah tidak popular, tetapi ada dua tokoh falsafah yang mengakui dirinya komunis, iaitu Alan Badiou dan Slavoj Zizek. Kedua-duanya mempunyai pengikut yang tidak sedikit di kalangan anak-anak muda. Tetapi komunis yang disebut sebagai komunisme abad ke-21 berbeza sangat dengan komunis abad ke-20 yang mereka anggap telah melakukan kesilapan besar hingga membawa kepada imej buruk pada ideologi ini.



Golongan sosialis tentunya mempelajari apa yang silap telah berlaku pada abad ke-20 dan mereka bangkit semula dengan semangat dan pemikiran baharu. Sementara itu di sebelah kanan pula, sepanjang Perang Dingin dan abad ke-20, mereka telah juga mengambil nilai-nilai dan progran aliran kiri dalam pentadbiran mereka sebagai reaksi kepada tuntutan-tuntutan gerakan kiri.

Sebab itu di Amerika Syarikat, ada satu ketika timbul gagasan Compassionate Capitalism atau Kapitalisme yang Belas yang merupakan satu fahaman di kalangan aliran kanan yang turut menyantuni orang susah dan kelas bawah.

Keadaan itu berlaku apabila gerakan kiri kuat. Tetapi apabila gerakan kiri lemah, maka mereka tidak mempedulikan lagi soal-soal kemanusiaan ini. Tamak haloba yang menjadi ciri-ciri kapitalisme akan timbul balik, malah akan mengheret masyarakat untuk menjadi cenderong pada fasisme.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang