Skip to main content

Squid Game dan Kegagalan Konsep Kesenian Islam

 


oleh: Benz Ali

-tulisan ini dihasilkan berkat komen teman-teman yang tersiar di status FB-

Squid game sebuah siri tv Korea yang baru sahaja melabuhkan tirai. Sebenarnya cerita ini biasa sahaja. Tentang sekumpulan manusia (berjumlah 400 orang lebih) yang terdesak untuk hidup; buruh imigran Pakistan yang mencari nafkhah sampai ke Korea Selatan, seorang tahi judi yang anak dan isterinya akan mengikuti suami dan bapa baru, penyeluk saku yang melarikan diri dari Korea Utara, samseng yang keputusan wang dan melarikan diri dari samseng-samseng lain yang mengejarnya untuk membunuhnya (no honor among thief). Mereka ditempatkan di sebuah pulau untuk saling berbunuh-bunuhan dalam satu pertandingan kanak-kanak di Korea. Dan mereka yang menang (1 orang sahaja) akan mendapat hadiah lumayan.

Sebelum cerita ini muncul, sebenarnya sudah ada cerita lain yang lebih ganas (bahkan lebih lucah) dari cerita ini. Dan format yang paling awal mendahului dalam cerita sebegini ialah Battle Royale. Ini adalah fiksi Jepun yang sebelum muncul dalam bentuk live action, ia pertama kali muncul dalam bentuk manga. Premisnya jua sama, sekumpulan pelajar nakal ditempatkan di satu pulau untuk saling berbunuhan. Cuma beza cerita ini dengan Squid Game, Battle Royale pemenangnya tidak ditawarkan hadiah duit.

Sebenarnya cerita Squid Game ini tidaklah ganas mana buat sesiapa yang kegemarannya menonton fiksyen-fiksyen luar negara (ataupun Korea Selatan sendiri). Saya rasa The Walking Dead lebih ganas dalam bab adegan menggunakan senjata dan darah manusia terpercik dan dikoyakkan oleh zombie. Begitu juga fiksyen-fiksyen lain, terutama juga seperti filem-filem dari Korea Selatan sendiri yang kadangkala lebih melampaui filem-filem Hollywood akhir-akhir ini. kita boleh sahaja menonton Train To Busan, I Saw The Devil, Bedevilled, V.I.P dan banyak lagi yang lebih ganas dan “kejam”. Lakonan Choi Min Shik yang brutal itu boleh juga ditonton dalam filem Lucy (teraju utama Scarlett Johansson), juga ganas. Tetapi apabila kalangan agamawan moralis datang bertenggek menumpang ‘hype’ tv series (Squid Game) ini, saya pula berasa terpanggil untuk mengomentari mereka.  

Sekurang-kurangnya terdapat tiga agamawan/ustaz (atau dikenali sebagai tokoh/influencer yang bercakap agama) yang memberi komen tentang tv series ini, iaitu PU Rahmat, Aiman Bana dan Ustaz Rohidzir Rais.

Kita tidak dapat melampirkan panjang berjela hujah dan komentar mereka di sini. Sebaliknya secebis sahaja pandangan mereka, dan selebihnya boleh cari sendiri di FB mereka seputar tv series ini (selagi mereka masih tak padamlah)

Kita mulakan dulu dengan PU Rahmat (boleh klik gambar screenshot untuk besarkan)


PU yang sama juga bercakap tentang tv series NARCOS



Aiman Banna


Rohidzir


Sebenarnya tiada isu besar atau ajaib manapun terhadap apa yang mereka katakan ini. Sebaliknya kita pula yang harus bertanya kepada mereka, adakah kamu baru tahu tentang filem dan tv series, dan perkembangan terbaru, streaming Netflix?

Mereka seperti baru keluar gua dan melihat masyarakatnya sudah hidup menghirup internet setiap hari. Internet sudah menjadi seperti elektrik di zaman ini. Saya juga bukanlah pemuja internet atau apa sahaja di internet itu betul, tiada yang salah atau kelucahan itu suatu yang baik untuk ditonton. Saya lebih menyarankan orang ramai untuk membaca buku. Tetapi kita pun tahu, orang tidak mampu membaca buku doplohempatjam. Pembaca buku tegar juga perlu merileksasikan kepala otaknya dengan melakukan benda-benda lain selain membaca buku sahaja. Jadi kita yang menonton filem dan tv series di internet bukanlah menonton atau ketagih itu sahaja tanpa melakukan hal-hal lain yang lebih asasi. Itu zombie namanya.

Aiman Banna berhujah tentang “cerita trending, yang di dalamnya ada unsur aurat, ikhtilat, maksiat, syirik, bid’ah..,"

Jadi pertanyaan kita, adakah suara perempuan masih aurat? Jika ya, berapa banyak drama dan filem Melayu yang patut dihentikan oleh Regim Islam Aiman Banna?

Adakah perempuan berlakon dalam filem itu dibenarkan oleh syara’? Jika suaranya masih aurat, maka apatah lagi lengguk tubuh dan pinggulnya dan segala-galanya tentang dirinya, baik senyumannya, mahupun raut wajahnya dll? Adakah suara aurat tetapi bentuk tubuhnya dalam pakaian pelakonnya itu tidak aurat? Jadi filem-filem dalam Regim Islam Aiman Banna itu adakah hanya pelakon lelaki sahaja yang dibenarkan? [terbaru dilaporkan bahawa kakitangan kerajaan perempuan Islam di Kelantan akan dikenakan tindakan jika berpakaian ketat. 1. Kita tidak pasti sejauh mana ketatnya kakitangan kerajaan perempuan Islam di Kelantan? Takrifan ketat mereka bagaimana? 2. Jika ditambah lagi dengan idea PAS begini, maka perempuan dalam drama-filem ini semuanya harus memakai jubah, purdah atau bagaimana?]

Aiman Banna juga berhujah bahawa Movie Netflix itu semua ibadah ke?

Benar sekali. Ia bukan ibadah. Maka Regim Islam Aiman Banna harus mengeluarkan fakwa terbaru bahawa, Netflix, Youtube, Amazon, Disney Plus adalah haram, haram dan haram. Sesiapa yang mempunyainya di dalam telefon pintar masing-masing harus dilastik telurnya.

Sementara itu PU Rahmat tidak banyak berhujah, sebaliknya, elok kita gunakan semula print screen tv series NARCOS yang beliau tonton itu.

Sementara Ustaz Rohidzir pula berhujah tentang keganasan cerita yang telah disebutkan di awal.

Kerana itu kita ingin mengesyorkan kepada kerajaan, parlimen bahawa kaum agamawan ini tidak patut dibenarkan ada akses internet. Atau para mufti kena mengeluarkan fakwa mereka, bahawa adalah haram di kalangan agamawan untuk mempunyai internet, atau jika boleh pun hukumnya adalah makruh yang hampir kepada haram, tetapi haram mutlak untuk para agamawan melanggan atau menonton Netflix. Kerana Netflix nyatanya tidak sesuai untuk mereka. Kalau cerita Squid Game itu sudah dianggap ganas dan lucah, maka mereka patut diharamkan berkeliaran di Netflix mahupun di Youtube.

Hujah cerita itu ganas maka tidak sesuai ditonton, ia adalah hujah sepele. Cerita rebel tidak semestinya akan membuat penonton itu menjadi rebel. Akhirnya ia jadi sekadar hiburan mengisi masa kita di dunia sahaja. Dan akhirnya akan dilupakan. Dan sudah begitu banyak cerita seperti ini yang telah dilupakan? Dan seperti teori kelakar Hisyamuddin Rais, ustaz-ustaz sebeginilah yang menjadi “promoter tak berbayar” kepada tv series sebegini.

Tv series Dirilis Ertugrul (Turki) juga ada babak berbunuhan (tidak seganas Hollywood atau Korea Selatan), tetapi tetap ada babak bunuh-membunuh. Jadi adakah itu sesuai (dalam masa yang sama, cerita ratusan episod itu juga mengangkat tokoh sufi kontroversial, Ibn ‘Arabi)? Atau kita kena tengok cerita Melayu sahaja dan melayan ceramah-ceramah agama doplohempatjam?

Kita harus ingat, penulis skrip, pengarah, penerbit tv series Squid Game itu bukanlah orang Islam. Mengapa dia (orang Korea Selatan) itu harus membuat tv series yang sesuai dengan citarasa kita? Mengapa dia perlu berbuat begitu? Bukankah itu kerja atau tugas orang Islam –khususnya agamawan – itu sendiri?

Tulisan-tulisan Faisal Tehrani –zaman dia Islamis seni–  suatu masa dulu dalam Sinema Spiritual harus dijadikan pedoman untuk para agamawan dalam kegiatan seni. Sampai bila agamawan harus berkhutbah dan berceramah agama dan meninggalkan lapangan kesenian? Apa konsep kesenian Islam? Adakah hanya Khat dan Kaligrafi? Adakah fiksyen –cerita rekaan– dibenarkan dalam Islam? Jika ya, apa hujahnya, apa sandarannya? Hal ini yang harus dititikberatkan dahulu buat para agamawan yang bersendi segala lapangan hidupnya pada dalil (apatah lagi sekarang kecoh isu hadith, maka adakah hadith yang membenarkan seni lakonan?). Jadi dalil harus dicari untuk menyuguhkan teori Kesenian Islam atau Pop Culture Islami. Jadi sebelum pergi ke peringkat ikhtilat, keganasan, kelucahan dsbnya dalam filem-tv series, konsep cerita rekaan (cerita bohong/tidak benar) itu adakah dibenarkan di dalam Islam? 

Ini belum kita masuk lagi perbahasan tentang animasi, kartun, komik dll. Jadi walaupun Islamis akan jadikan Upin-Ipin sebagai model rujukan sopan-santun ala Asia, apa hukum melukis makhluk hidup? Benarkah dibolehkan membuat animasi dalam Islam? Apa hadith-hadith yang membenarkan? Atau lebih banyak hadith yang mengharamkan dan melarang melukis? Jadi jika tiada lukisan, bagaimana mungkin adanya animasi itu? Buku Fatwa-fatwa Kontemporari Yusuf Qardhawi harus dibelek-ulang oleh para agamawan yang hendak berkecimpung atau berbicara persoalan seni dalam Islam. Adakah konsep kesenian Islam ini jelas atau sangat kabur dan buruk sekali rupanya?


Fokus cerita

Sementara Ustaz Rohidzir yang bertumpu pada elemen ganas dan lucah dalam Squid Game yang tidak berapa minit (yang entah berapa kali diulang itu), watak Ali Abdul yang ditindas oleh majikannya tidak pula menjadi perhatian agamawan yang korup mindanya dan rosak mata hatinya. Ali Abdul terpaksa migrasi dari Pakistan sampai ke Korea Selatan untuk cari nafkhah hidup bersama dengan isteri yang dibawa bersama.

Baru-baru ini ada buruh dari Indonesia yang dikurung oleh majikannya dan ditahan gajinya selama tiga tahun di Perak. Juga sebelum ini ada beratus-ratus buruh dari luar yang dipaksa duduk berhimpit-himpit dalam kontena selama musim PKP tahun lepas. Adakah ini sesekali pernah menjadi perhatian para ustaz kita ketika melihat pop-culture yang bersurah tentang persoalan ini? Tentang penindasan dan pemerasan anehnya jarang sekali mendapat perhatian mereka, sebaliknya babak yang tidak penting mana itu yang begitu sekali mendapat perhatian mereka. Kalangan agamawan tidak pula berfikir ketika mereka membuka sekolah-madrasah-pusat tahfiz, berapa gaji yang mereka bayar kepada guru-guru mereka? Berapa gaji guru-guru PASTI? Hal ini juga ada disinggung dalam Drama Nur keluaran penerbit tempatan. Dan seharusnya lebih banyak lagi drama atau tv series yang bercakap tentang kepincangan kaum agamawan seperti yang dikatakan oleh Prof. Tajudin dari Perak.

Ustaz-ustaz yang hanya memikirkan persoalan sepele seharusnya berhenti sahaja menghabiskan masa mereka menonton benda “lagho” yang bukan bersifat ibadah ini, seperti yang didakyahkan Regim Islam Aiman Banna. Mereka sepatutnya menghabiskan doplohempatjam mereka dengan kegiatan mereka sahaja.

Selain watak Ali Abdul, watak Gi Hun selaku tahi judi juga menarik untuk dilihat. Meskipun pengarah dan penulis dan penerbitnya bukan Islam, mereka menghasilkan karya tentang keburukan judi. Orang boleh melihat judi ini ibarat barah yang merosakkan masyarakat. Jadi keburukan judi dipaparkan dalam sebuah karya “lagho” sebegini. Babak dia dipukul oleh ahlong akibat tabiat judinya itu lebih lama dari adegan seks. Tetapi yang difikirkan oleh agamawan adalah yang itu juga. Ustaz-ustaz yang hanya memikirkan persoalan sepele seharusnya berhenti sahaja menghabiskan masa mereka menonton benda “lagho” yang bukan bersifat ibadah ini, seperti yang didakyahkan Regim Islam Aiman Banna. Mereka sepatutnya menghabiskan doplohempatjam mereka dengan kegiatan mereka sahaja.

Adakah para agamawan ini sebelum membuka mulut mereka untuk bersurah tentang tabiat orang awam, apakah sesekali mereka pernah memikirkan bahawa filem-filem di Malaysia ini tidaklah berapa ganas dsbnya, tetapi tetap juga ada kes guru agama yang meliwat budak, mencabul pelajar dsbnya lagi? Drama Korea manakah yang mereka tengok? Atau sebenarnya ini adalah suatu lagi hipokrasi nafsu tak tertahankan kaum agamawan? 

Jadi sepatutnya sama ada Netflix ini difakwakan sebagai haram mutlak (atau PKP Paling Penuh), atau golongan agamawan diharamkan dari memiliki atau mempunyai Netflix di telefon mereka masing-masing. Hanya itu sahaja yang boleh menyelesaikan pertelingkahan ini.

Alternatif?

Netflix memang penuh dengan benda-benda tidak elok. Dia belum tengok lagi Vikings, Narcos (PU Rahmat dah pun tengok, mungkin juga telah berair), Game of Throne dll lagi. Sama juga dengan Youtube. Anda boleh cari sahaja apa yang anda nak cari. Atau lebih tepat lagi, internet sendiri memang lubuk benda-benda tak elok. Tapi kenapa kaum agamawan masih menyundalinya? Kenapa masih “makan babi” itu kalau dah tahu “babi” itu haram? Atau syubhah misalnya? Bukankah lebih baik ditinggalkan sahaja, dan beribadahlah doplohempatjam?

Cerita Melayu kita bagaimana? Adakah lebih baik? Atau masih bertema Megah Holding, syarikat ratus juta, minum fresh orange, kena kahwin paksa dll? Adakah itu “bermoral” dan tidak “lucah”kan pemikiran anak bangsa kita?

Dan bagaimana pula dengan streaming Islami Nurflix?

Ataupun lebih baik agamawan kita ini tengok sahaja Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Mari Mengaji, Al-Kulliyah, Tanyalah Ustaz dan sekian banyak program bersifat agamis lagi maha membosankan.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P