Skip to main content

Gagasan Konsep Feudal



Oleh: Ammar Redza Ahmad Rizal

Feudal adalah perkataan Bahasa Inggeris yang berasal daripada Bahasa Latin iaitu Feudum. Feudum pula adalah sinonim kepada perkataan fief yang membawa maksud “satu kawasan yang diketuai oleh lord/ketua”.

Dalam wacana psikologi feudal pula, ia membawa maksud kepada perbincangan perihal pemikiran feudal itu sendiri yang terwaris dari zaman ke zaman tanpa sempadan garis masa. Tetapi apakah pula itu feudal? Dan apakah pula feudal bagi Alam Melayu? Apakah feudal terhad kepada konsep kesultanan ataupun feudal berbalik kepada tafsiran latinnya yakni perihal subjek yang dikawal oleh seorang ketua.


Apakah feudal terhad kepada satu zaman sahaja?

Argumen kepada konsep feudal dalam sosiologi mahupun psikologi akan mengatakan bahawa feudal adalah hanya satu peristiwa yang berlaku pada garis masa kewujudan manusia itu sendiri. Sama seperti perihal komunis, sosialis dan sewaktu dengannya. It just a mere event that happen in human history. Perihal ini mungkin benar jika kita hanya melihatnya dari sisi sejarah semata.

Dalam konteks sosiologi, perbincangan feudal berkait rapat dengan pengemblengan kuasa dan bagaimana perihal kuasa itu dipastikan kekal kepada dirinya dan juga keturunan pilihannya. Seperti contoh seorang pembesar menjaga keturunannya bagi memberikan legitimasi mereka sebagai ketua kepada subjek (rakyat) di bawah naungan mereka. Jadi kuasa itu hanya akan kekal kepada kitaran mereka sahaja. Bukan itu sahaja, pembesar akan menggunakan kuasa bagi memastikan kelangsungan pemerintahannya manakala subjek (rakyat) pula akan tunduk dan akhirnya akur kerana gusar akan keselamatan diri dan keluarga.

Pengenalan demokrasi kepada struktur masyarakat tersebut mengubah pusat kuasa ini daripada warisan keluarga kepada subjek (rakyat) tersebut. Rakyat berhak bukan sahaja untuk memilih pemimpin namun menawarkan diri sebagai pemimpin (ketua) kepada kelompok berkenaan. Bukan itu sahaja, demokrasi mengukuhkan institusi yang memberi ruang kepada subjek (rakyat) untuk bersuara dan membantah pemimpin mereka tanpa khuatir akan keselamatan diri dan keluarga.

Inilah yang berlaku kepada dunia Eropah dan Barat dan juga beberapa negara Asean yang lain. Tetapi bagaimana pula dengan Alam Melayu terutama Semenanjung Tanah Melayu. Adakah persoalan soal feudal ini persoalan yang kabur? Ataupun ia hanya naratif yang dibawakan kolonial yang akhirnya telah tersilap garap oleh ilmuwan kita?

Barangkali mungkin kabur, tetapi ia tidak lemah dan tidak pula terlalu berpusat kepada kolonial (colonial-centric). Untuk memberikan illustrasi tentang keadaan ini, saya mulakan dengan anekdot popular yang sering saya dengar. Ia adalah berkaitan perihal kemerdekaan. Dikhabarkan Orang Melayu gusar untuk merdeka kerana khuatir mereka tidak akan mampu bertahan. Katanya, buat jarum pun orang Melayu masih belum tahu apatah lagi mentadbir negara.

Namun, ia bukan sekadar anekdot yang mengisi naratif ini. Antara yang lantang mengkritik soal orang Melayu ini adalah Profesor Datuk Pendita Zainal Abidin Ahmad atau Za’aba. Za'aba dalam dua makalahnya iaitu “Jalan Keselamatan Orang Melayu (The Salvation of The Malays) dan Kemiskinan Orang Melayu (Poverty of The Malays). Za'aba mengkritik keras sikap orang Melayu yang terlalu taat kepada Feudal. Bagi Za'aba, ia menghalang untuk orang Melayu maju kehadapan. Jika Za'aba sebelum ini merasakan kolonial adalah punca kepada kejatuhan orang Melayu, ketika ia semakin matang, ia mula lihat keadaan orang Melayu itu sendiri ketika itu yang mempengaruhi nasib diri mereka.

Selain Za'aba, kita boleh lihat lagi bagaimana buah fikir orang Melayu untuk mengkritik bangsanya sendiri dan kerajaan adalah sangat sukar didapati ketika itu. Kebanyakan harus diekstrak daripada karya-karya kreatif. Karya Ruhi Hayat atau Ahmad Boestamam seperti Api dan Air Mata dan Api Itu Masih Membara kebanyakannya adalah luahan hatinya terhadap keadaan tidak adil yang melanda dirinya. Apatah lagi ia pernah merasai peritnya kesan salah guna kuasa terhadap dirinya.

Disini ia menjadi menarik apabila subjek (rakyat) dilihat takut untuk bersuara secara lantang dan terpaksa berlapik-lapik dalam membuat teguran kerana risau akan dirinya. Ini adalah satu bentuk warisan yang lahir daripada sistem feudal di Tanah Melayu ketika itu. 

Makanya, naratif ini berterusan sehinggalah kepada kewujudan demokrasi. Malah konflik antara demokrasi dan feudal ini menyebabkan berlakunya perubahan kepada sistem politik kita. Perihal feudal masih lagi tertegak dan boleh diperlihatkan dengan jelas dalam sistem politik. Kajian mengenai pengaruh feudal baik di peringkat pimpinan mahupun di peringkat akar umbi boleh sahaja didapati dalam pelbagai korpus. Ambil sahaja buku Prof Shaharuddin Maaruf sebagai contoh. Di situ sahaja sudah jelas perbincangan transisi dan pengaruh feudal kepada sistem-sistem politik dan ekonomi moden di negara kita.

Sekarang kita berbalik semula kepada perbincangan soal feudal. Adakah perihal feudal adalah satu konsep pinjaman daripada Barat dan adakah kita kekurangan konsep untuk menerangkan perihal negatif dalam masyarakat Melayu. Pertamanya kita harus jelas, konsep feudal bukanlah satu konsep yang dibawakan Barat untuk menerangkan hubungan  lord/king dengan subjeknya malah ia adalah konsep universal yang boleh untuk menerangkan juga perihal tuan-subjek bagi tamadun-tamadun lain bahkan untuk tamadun yang lebih awal berbanding monarki di Barat. Namun konsep feudal ini dilihat lebih banyak digunakan pada era pertengahan kerana lebih ramai lord (tuan tanah) yang lahir ketika itu dan lebih rumit hubungan antara mereka sesama mereka, mereka dan subjek dan mereka dan raja.

Situasi ini juga terpakai di Alam Melayu pra kolonial dan semasa kolonial. Pertembungan antara pembesar merebut kawasan sesama pembesar dan pertembungan pembesar-raja serta pertembungan pembesar-subjek (rakyat). Atas asbab ini, penggunaan konsep feudal dilihat mempunyai asas malah menerangkan interaksi dan kesan perhubungan ini sepertimana yang telah saya bincangkan di atas. Cuma, kita tidak bolehlah menganggap gagasan konsep itu akan sama seperti yang berlaku di Barat. Adalah normal untuk wujudnya perbezaan dalam perihal ini.  

Konsep lain yang menerangkan tatacara politik, sosiologi dalam masyarakat juga mempunyai perbezaan. Marxisme contohnya, pandangan Lenin berbeza dengan Stalin dan berbeza pula dengan Mao.  

Saya berharap, sedikit sebanyak secara asas saya berupaya menerangkan peri pentingnya konsep feudal dalam wacana ilmu rentas disiplin. Penggunaan konsep feudal tergunapakai baik dari sudut siasah, sosiologi mahupun ke perihal agensi dan psikologi bagi seseorang. Justeru dengan banyaknya korpus yang menerangkan konsep ini baik dari kacamata akademia tempatan mahupun luar. Baik perbincangan semasa kolonial mahupun pasca kemerdekaan dan zaman informasi. Adalah mustahil untuk menafikan gagasan konsep feudal ini.

Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang