Skip to main content

Mengenang Sebulan Pemergian Ahmad Lutfi Othman: Wartawan Rakyat Perjuangan (1963-2022)

 




Oleh: Benz Ali 

Saya pernah bertandang ke rumahnya sekali, ditemani bakal isteri saya ketika itu, juga bersama Arif Atan, seorang wartawan muda yang juga menurut saya pengikut dan mentee Ahmad Lutfi Othman.


Saya mengenali nama beliau sudah sangat lama, ketika di bangku sekolah rendah lagi. Melalui pembacaan di akhbar Harakah. Selain Ishak Surin, Ahmad Lutfi Othman adalah teraju utama Harakah selama ini. Tetapi PAS, selaku organisasi penaung Harakah seperti biasa, yang selama ini berfikiran binari (us or them, hitam putih) jarang sekali menghargai sosok seperti ini. Mereka yang berbeza dan punyai fikiran berlainan, selalunya akan dikesampingkan. Kesalnya dan kesannya, Harakah mati selepas para pelopor keluar dan generasi kemudian PAS, anak-anak gerakan Islam tiada sejarah, atau sejarah pergerakan mereka jadi kontang-kanting, digunting di sana sini, kerana para pelopor sudah tiada lagi, yang cuma ada hanyalah mereka yang berkuasa, dan masih mempertahankan kuasa.


Ahmad Lutfi Othman, seorang yang sangat prolifik dan produktif ini, entah dari mana dan dari siapa yang mengubah laluan hidupnya, seorang yang di kampus bukan mengambil pengajian media, kewartawanan mahupun bahasa dan sastera, apatah lagi agama, kemudian terjun melibatkan diri dalam perjuangan kewartawanan rakyat – dan Islam.


Islam menjadi kredo kepada Ahmad Lutfi Othman. Beliau bukan seorang yang liberal, sekular, mahupun Kiri, atau Kanan (Nasionalis), sebaliknya Islam. Antara sebab beliau disingkirkan dari UTM sebelum ini kerana membela mahasiswi berpurdah yang dipecat. Jatuh bangun Ahmad Lutfi Othman atau sebahagian umurnya dihabiskan dalam kegiatan pergerakan Islam – dalam kewartawanan. Kita boleh melihat tendensi keislaman dalam politikal itu bilamana beliau menghabiskan banyak masanya dengan PAS – bukan dengan PKR, DAP dll –sebelum Amanah.




 

Rupanya beberapa tahun kemudian, selepas meningkat usia barulah saya tahu bahawa penyair Dinsman itu ialah abang kepada Ahmad Lutfi Othman. Nama panjang Dinsman ialah Shamsudin Othman. Dan kedua-dua adik beradik berasal dari Kedah ini sememangnya banyak menyumbang untuk kegiatan pergerakan Islam, yang tidaklah secara literal seperti politikal parti atau di tamrin dan usrah. Tetapi Dinsman dari sudut seni-budaya, seperti puisi dan teater, dan Ahmad Lutfi dari sudut kewartawanan. Yang kedua-dua ini sangatlah lompong sekali, apatah lagi selepas era suratkhabar telahpun mati.

 

Ahmad Lutfi Othman terlibat dalam menerbitkan dan mengasaskan majalah Tamadun, sebuah majalah siasah yang sangat gah waktu itu. Di dalamnya saya ingat lagi, ada wawancara, tulisan-tulisan Suria Janib, novel bersiri atau cerpen dari Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, yang ketika itu semakin ganas menjolok pihak penguasa dengan mata penanya.




 

Majalah Tamadun yang sangat politikal itu sampai juga ke Kedah, lewat tangan kakak saya yang belajar di UIA pada masa itu. Gelombang perubahan yang sedang menggelegak dari Indonesia telah sampai ke Malaysia. Di Indonesia, regim Orba (Orde Baru) Soeharto tumbang. Di Malaysia, Mahathir lebih bijak membaca keadaan, terus mengundurkan diri selepas keputusan PRU 1999 menampakkan kecenderungan dan kemenangan pada pembangkang. PAS menang di Terengganu. Regim Haji Hadi naik. Mahathir mengatur Pak Lah yang lebih lembut darinya mengambilalih posisinya. UMNO BN menang bergaya pada pilihanraya 2004.

 

Orang politik yang menggagalkan

Selain cd-cd ceramah yang membentuk latar penentangan terhadap regim Dr. Mahathir Mohamad, percetakan juga memainkan peranan yang sangat penting. Dan penggiat utamanya di Malaysia era reformasi ialah Ahmad Lutfi Othman. Sementara tokoh-tokoh pembangkang yang lain lebih popular dan dikenali di atas pentas, Ahmad Lutfi Othman dengan pena dan penerbitannya.

 

Saya lebih melihat Ahmad Lutfi Othman sebagai aktivis, berbanding seorang wartawan atau penulis. Beliau seorang aktivis yang kental. Penerbitannya satu demi satu ditutup. Tetapi beliau tetap cekal dan tekal. Beliau tidak melarikan diri dari perjuangan atau mengundurkan diri dari perjuangan perubahan. Walaupun bukan seorang agitator atau penceramah atau terkenal sebagai demonstran di acara-acara demonstrasi, Ahmad Lutfi Othman menunjukkan bahawa dengan pena (hari ini, papan kekunci) dan penerbitan-percetakan juga boleh dan penting untuk melancarkan perubahan. Tidak mesti petah bercakap atau berdada dengan pihak polis sahaja untuk memperjuangkan perubahan.

 

Saya nampak beliau pada banyak masa lebih lone ranger berbanding bergerak secara jamaah atau kolektif atau parti. Beliau keluar masuk Harakah beberapa kali sebelum ini. Ketangkasan dan kelincahan penanya tidak sesuai untuk organisasi yang lembab dan konservatif untuk membuat perubahan. Setahu saya penerbitan-penerbitannya adalah dari duit koceknya sendiri. Nampaknya takdir hidup dan matinya di dunia ini, ialah untuk melakukan kerja-kerja ini; penulisan, penerbitan, kewartawanan dan aktivisme. Inilah Ahmad Lutfi Othman.

 




Beliau gigih berhempas pulas membongkar salah laku Khir Toyo. Yang pada akhirnya, Khir Toyo ini menerima hukum yang sangat sedikit. Saya tertanya sendiri, berbaloikah perjuangan ini? Sementara Ahmad Lutfi Othman di kemudian hari menerima sakit yang bukan sedikit. Dalam kes Khir Toyo itu beliau bertindak lebih dari sekadar wartawan biasa. Tidak cukup dengan puluhan aduan kepada BPR, beliau turut mengedarkan risalah, memorandum dan kenyataan akhbar (termasuk mengadakan sidang akhbar di lobi sidang Dun Selangor ketika Khir Toyo membentangkan bajet Selangor); menerbitkan akhbar tidak berkala (tetapi semua 43,000 naskhah dirampas di kilang percetakan sebelum sempat diedarkan); menganjurkan forum awam di sebuah hotel dekat Stadium Merdeka; berkempen dalam pilihan raya kecil di Anak Bukit (Kedah) dan Indera Kayangan (Perlis); merakamkan video (dengan bantuan Dinsman dan Nasir Jani), juga berceramah di Tanjung Karang (termasuk di sebelah rumah Khir di Simpang Lima! (Sumber: Buku Detik Utopia)

 

Ahmad Lutfi terlibat dalam kegiatan kewartawanan-aktivisme ini bukan baru. Seperti disebutkan, hampir separuh umurnya diperuntukkan untuk itu. Beliau ada di era Fadzil Noor masih hidup yang memimpin Barisan Alternatif, seterusnya selepas barisan itu berkubur, naik pula Pakatan Rakyat, yang akhirnya nasibnya pun berkubur sepertimana Barisan Alternatif. Kemudian naik pula Pakatan Harapan yang kali ini tanpa PAS di dalamnya, tidak seperti Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Pun, persekongkolan ini juga tidak mampu bertahan lama. Pastinya orang politik mendapat laba yang bukan sedikit. Sementara rakyat di bawahnya termasuk para aktivis seperti Ahmad Lutfi Othman, tetap tidak mendapat apa-apa. Malahan semakin sakit. Detik Utopia, Revolusi Tanpa Darah, antara buah tangan Ahmad Lutfi Othman dalam membayangkan sebuah Malaysia yang baru. Tetapi impian murni dan luhur seperti ini nampaknya masih kabur, ataupun sudah terkubur? Sehingga Ahmad Lutfi Othman semakin uzur hari demi hari, belum nampak sinar harapan pada Pakatan Harapan.

 

Ahmad Lutfi Othman selaku aktivis media nampak optimis dengan pakatan pembangkang, meskipun dari sudut realitinya, pakatan pembangkang sering sahaja gagal –bergabung untuk satu jangka masa yang sangat sementara, kemudian berpecah– kerana keinginan masing-masing untuk merebut kuasa dan menjadi pemimpin.

 

Pemergiannya baru-baru ini buat kita yang pernah mengenalinya jadi canggung. Riwayat tokoh ulung ini akhirnya berakhir jua. Beliau meninggalkan kita semua di dunia fana ini, pada tarikh yang sama beliau dilahirkan. Sehari sebelum hari raya aidiladha tahun ini.

 

Orang politik mendapat laba begitu banyak dari perjuangan rakyat. Sama ada perjuangan rakyat itu menang atau tidak, orang politik tetap menang. Sementara orang perjuangan yang bukan menjadi orang politik banyak yang menderita dan sengsara. Ramai yang mati, sakit, terseksa, menderita kerana idealism dan ideologi politik yang mereka imani. Orang politik seperti melihat orang lain hanyalah sebagai alat demi cita-cita kuasa mereka. Ramai tokoh politik dari PAS dan Amanah (kedua-dua parti yang Ahmad Lutfi Othman sertai) telah berjaya dari sudut karier politik. Ada yang sudah menjadi MP, ada yang telah mendapat Dato’. Tetapi belum lagi sehinggalah hari kematiannya, Ahmad Lutfi Othman, mendapat apa-apa penghormatan yang wajar, atas dedikasinya selama ini. Sekurang-kurangnya dari organisasi atau parti politik yang beliau pernah ceburi dan dokongi.

 

Di Malaysia ini, inilah nasib yang kita harus tengok dan telan untuk beberapa lama.

 


Comments

Popular posts from this blog

Membalas Hujah Noor Deros dalam Persoalan Hadith Lalat

Oleh: Benz Ali Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”. [Riwayat al-Bukhari (5782)]   Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”. [Riwayat al-Bukhari (3320)] Persoalan Hadith Lalat bukanlah bukan persoa

PFLP: Menembak Kebiulan Ayman Rashdan

(Cuba tanya Ayman, siapa minah ni?) Oleh: Benz Ali Kekeliruan pelopor baru mazhab Kanan di Malaysia iaitu The Patriots nampaknya makin menjadi-jadi. Lapor Azrhul Niezam dalam sebuah komen, aku dah sound juga diorang samakan liberal dgn kiri ni. diorang jawab lantaklah, bagi diorang kiri is liberal, liberal is lgbt, lgbt is sjw, sjw is ateis, ateis is komunis dan seterusnya . Ini adalah sesebuah kekeliruan mantik yang parah. A = B, B = C, C = D dst sampailah Z, jadi A itu Z. Dan keparahan mereka semakin lama seolah-olah menunjukkan penyakit biul mereka itu tidak dapat diubati lagi. Tidak ada masalah jika mereka hendak membenci Kiri pun (bukan Kiridaren) tetapi berilah fakta yang betul. Jangan menjadi bias jika hendak berlakon neutral sekalipun. Jika hendak dilihat kita ini jujur dalam neraca dan laras academia, maka penilaian harus diberi jujur dan saksama. Jika kita tidak suka kepada Komunis, kerana traumatik makcik-makcik pada PKM, maka sebutkan juga tentang

'Mewargakan Proletar Tanda Kad Pengenalan'

Oleh: Pencinta Wollstonecraft Di petang yang ceria ini, biarlah saya membebel lebih panjang tentang pendatang asing (imigran). Saya rasa pemikiran "pendatang mengalami kompleks inferioriti" adalah suatu idea yang harus kita buang jauh-jauh. Antara rakyat Malaysia dan imigran, yang pertama itulah yang lebih layak menderita kompleks inferioriti. Pertama: kita terlalu suci dan berpelajaran untuk memegang sekop dan mengendalikan pembancuh simen demi membuat lebuhraya yang kita sendiri dan anak-cucu kita akan gunakan. Saya tidak katakan tiada langsung pekerja buruh daripada kalangan warganegara, namun mereka ini pun selalunya dipandang rendah. Baju berbau masam dan pengap. Muka berdebu, jari-jari berkematu. Kedua: secara implisitnya, kita berasakan manusia tidak berkad pengenalan itu adalah perampas hak kita. Tanah kita habis mereka beli. Misalnya, pasaran tekstil dan restoran-restoran, dan sebagainya di daerah saya sendiri didominasi oleh orang Pakistan. P